Saturday 24 September 2011

MANDAT SAMBUT POSITIF PEMANSUHAN ISA



Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH

MAJLIS Bertindak Deklarasi Suara Anak-Anak Daerah Tuaran (MANDAT), menyambut baik keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengumumkan pemansuhan Akta Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat setelah 48 tahun pembentukan Malaysia.

Sememangnya pemansuhan akta ini telah telah lama dinanti-nantikan bagi memberikan satu kebebasan berfikir serta bersuara kepada keseluruhan rakyat tanpa mempunyai perasaan bimbang dan takut.

Ketua Penerangan MANDAT, Rabin Haji Muatib yang juga Pengerusi Tetap Persatuan Bekas Perajurit Malaysia Cawangan Tuaran menyeru keseluruhan rakyat pelbagai kaum agar berfikiran matang dan terbuka dengan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib selaku Ketua Eksekutif pemerintahan negara dalam usaha menjaga keselamatan dan kententeraman negara.

Beliau bagi pihak Ahli Jawatankuasa MANDAT menyatakan demikian, ketika mengulas mengenai tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memansuhkan ISA yang diumumkannya pada 16 September bersempena dengan merayakan Hari Malaysia yang disambut di seluruh negara.

Rabin yang pernah berkhidmat sebagai Anggota Tentera memberitahu, dengan adanya ISA telah mengakibatkan beberapa orang rakyat termasuk ahli politik terkenal ditahan tanpa bicara; sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada keluarga tahanan; yang bukan sahaja tertekan dari segi fizikal, malah tekanan dari segi kewangan.

Sehubungan dengan pengumuman pemansuhan ISA oleh Perdana Menteri itu, Rabin percaya akan membawa satu transformasi kebebasan bersuara, termasuklah isu-isu mencakupi pelbagai perkara, khususnya berkaitan hak berpolitik yang lebih relevan di negara ini.

"Sehubungan dengan pemansuhan ISA yang tepat pada ketikanya ini, MANDAT amat menyambut baik ketegasan Perdana Menteri dan menaruh penuh kepercayaan bahawa keputusan itu akan memberikan impak terbaik untuk keselesaan serta kesejahteraan rakyat pada keseluruhannya," kata Rabin yang berharap senario pemansuhan akta itu akan memberi perubahan drastik dalam soal keselamatan negara.

Dalam pada itu, Rabin mengharapkan tidak akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjadikan ia sebagai bahan berpolitik yang mengandaikan pemansuhan akta itu satu tekanan kepada kerajaan; malah sengaja memutar belitkan keikhlasan pimpinan negara untuk melakukan satu perubahan dan kebebasan bersuara yang ingin dikecapi oleh rakyat pelbagai lapisan.

"Kami sesungguhnya merasa kecewa sekiranya niat ikhlas Perdana Menteri ini dijadikan bahan politik yang tidak berasas dan bagi MANDAT, Pemansuhan ISA ini jelas diambil berdasarkan kepada kepekaan kerajaan terhadap keperluan semasa," tegas Rabin lagi.

Rabin menegaskan, sebagai NGO, MANDAT juga mengharapkan beberapa akta-akta lain seperti Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 serta Akta Kediaman Terhad yang hanya diperbaharui pada setiap tahun sewajarnya dapat dipertimbangkan kerajaan agar ianya iuga dapat dimansuhkan.

No comments:

Post a Comment