Friday 23 September 2011

FORMULA 2P, UMNO KEKAL BERKUASA?




Oleh: THAMPPAREQ KITOES

NAIB Presiden SAPP, Jimmy Jawatah menegaskan bahawa rakyat jelata di negeri ini mempunyai tugas getir dan amat penting menjelang PRU13; iaitu untuk memastikan kerajaan BN tumbang pada pilihanraya umum kali ke-13; sebelum boleh ditadbir urus secara adil mengikut lunas-lunas demokrasi dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dengan syarat bahawa pembangkang khususnya SAPP perlu mendapat sokongan padu daripada rakyat bagi merealisasikan misi dan visi tersebut kerana tanpa sokongan mereka, pastilah BN akan terus berkuasa, manakala rakyat akan menderita dengan masa depan yang gelap untuk selama-lamanya.

“Kita mahu semua lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit dan keturunan, sama ada golongan tua atau muda perlu bangkit menggalas tugas penting demi menyelamatkan maruah bangsa dan hak asasi kita yang semakin terhakis ini,” kata beliau seraya mendapat sorakan semangat oleh kira-kira lebih seratus orang hadirin bertempat di rumah Maturin Mohammad, di Kg Sawang Melalap, Tenom.

Jimmy yang juga Pengerusi CLC Melalap berkata, terdapat beberapa tanggapan rakyat yang mendakwa kononnya SAPP berkonsepkan perjuangan untuk membela masyarakat Cina; adalah tidak benar kerana status perlembagaan parti itu berkonsepkan perjuangan berbilang bangsa (multiracial).

“Sesungguhnya, Presiden SAPP diterajui oleh pemimpin Cina tetapi barisan saf kepimpinan SAPP adalah berbilang bangsa seperti pemimpin KDM, Melayu, Cina yang melambangkan penyertaan semua kaum yang ada di Sabah. Tidak seperti UMNO yang berjuang berkonsepkan satu kaum sahaja iaitu kaum Melayu,” tegasnya.

Modus operandi kepimpinan BN adalah mirip kepada sistem 2P iaitu ‘Pecah dan Perintah’ kerana Umno mewakili suku Melayu; manakala Parti Gerakan, MCA mewakili Cina; MIC dan PPP mewakili kaum India.

Selain itu, parti lain dalam kelompok komponen BN di Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada usaha mengecilkan suara mereka dengan mengkelompokkan kaum-kaum lain supaya ianya bersais kecil dan mudah bagi Umno menguasainya; kerana Umno kelompok yang bersaiz besar,” tambah beliau lagi.

Jelas Jimmy lagi, strategi itulah yang digunakan Umno dalam mengekalkan kuasanya di negara ini kerana Umno melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan semua kaum yang bukan Melayu mempunyai parti masing-masing sepertimana yang terbukti sekarang.

“Mereka melakukan sebegitu rupa kerana sebahagian daripada strategi ialah untuk meminimakan suara majoriti kaum lain dalam konteks dasar digunapakai untuk merealisasikan ‘Pecah dan Perintah’,” kata Jimmy yang terus berperanan dengan berkesan bagi mencapai matlamat dan cita-cita Umno yang mahu membolot kuasa mutlak di negara ini untuk selama-lamanya.

“Kita selama ini telah didungukan oleh kepintaran Umno menggerakan strategi secara senyap ‘Pecah dan Perintah’ yang diwarisinya daripada penjajah British yang berjaya menundukkan pejuang Melayu di zaman sebelum Malaya Merdeka pada tahun 1957,” jelas Jimmy lagi.

Tambah Jimmy, inilah perkara yang kita perlu sedar dan kita hendaklah berusaha melepaskan diri kita daripada cengkaman taktik Umno itu dan seterusnya kita berazam untuk mengubah sistem yang ada sekarang kepada suatu sistem yang lebih baik dan mesra rakyat.

“Kita juga mengharapkan supaya hasrat SAPP tidak disalah tafsir kepada suatu pengertian yang negative, tetapi niat kita sekadar ingin membetulkan kepincangan pentadbiran kerajaan BN termasuklah dokumen 20 Perkara perlu dikaji kepincangannya dan seterusnya dilaksanakan supaya tidak timbul kesangsian rakyat,” kata Jimmy yang menjelaskan perkara tersebut sering dipersoalkan.

Di akhir majlis, Jimmy turut menerima borang keahlian SAPP yang diwakili Latujin untuk menyertai perjuangan SAPP.

No comments:

Post a Comment