Wednesday 14 September 2011

BUMBURING UNDUR KERANA KERAJAAN TIDAK JUJUR?



Oleh : MUTALIB M.D

TIMBALAN Presiden UPKO, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing yang mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti akan datang di Bahagian Tuaran bukan sahaja untuk memberi peluang kepada pemimpin muda semata-mata; malah melahirkan rasa kecewa kerajaan Kerajaan Malaysia tidak jujur kepada rakyat Sabah.

“Untuk apa saya mempertahankan Ketua UPKO Tuaran sedangkan suara rakyat Sabah yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD) tidak langsung diendahkan Kerajaan Persekutuan?” kata Bumburing dalam temuramah khas dengan Sabahkini.net, kelmarin.

Bumburing menjelaskan bahawa beliau ingin memberi peluang kepada orang muda untuk menerajui bahagian UPKO Tuaran kerana beliau sudah memegang jawatan Ketua Bahagian dalam beberapa parti sejak tahun 1981 dan merasakan sudah tiba masanya beliau memberi peluang kepada orang muda.

“Tambahan pula sehingga ke hari ini belum ada jawapan berhubung memorandum yang saya hantar kepada kerajaan persekutuan berhubung PATI dan syor penubuhan Suruhanjaya Siasatan di-Raja. Saya hanya diberitahu bahawa memorandum itu agak panjang dan kerajaan perlu lebih masa untuk mengkaji,” kata Bumburing yang menyifatkan jawapan KDN tidak ikhlas kerana sudah banyak laporan dan buku yang diterbit mengenai PTI di Sabah dan sudah tentu KDN sudah mempunyai fakta dan butiran mengenai masalah PATI tersebut.

Tegas Bumburing, pengunduran beliau dari jawatan dalam bahagian UPKO Tuaran tidak bererti beliau bersara dari politik kerana bagi beliau jawatan adalah tidak penting kerana masih boleh berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua kapasiti.

“Saya memilih untuk melibatkan diri dalam Amanah, sebuah NGO sebagai salah seorang Timbalan Presiden,” kata Bumburing yang menolak kemungkinan menyertai sebuah parti politik lain atau pembangkang.

Bersara daripada politik, kata Bumburing, adalah noktah terakhir untuk seorang pejuang yang merasakan Kerajaan Persekutuan tidak pernah mempedulikan aspirasi rakyat Sabah; terutama kesungguhan untuk menyelesaikan isu pendatang asing yang meranjau Sabah sejak zaman berzaman; namun belum masanya beliau melakukan demikian.

“Keadaan sekarang semakin meruncing dan kronik. Kerajaan Persekutuan bukan sahaja gagal menyelesaikan isu PATI di Sabah; terutama yang mendapat kerakyatan secara tidak sah; malah berbangga dengan jolokan ‘Fixed Deposit’,” kata Bumburing yang teramat kesal kerana Memorandum yang beliau hantar kepada Menteri Dalam Negeri tidak mendapat reaksi positif.

Kata Bumburing, ramai pemimpin Sabah telah menyuarakan isu PATI di Parlimen; tetapi Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan PATI mendapat kerakyatan Malaysia dan meminta bukti.

“Apabila saya menghantar bukti sahih yang diperlukan melalui Memorandum kepada KDN, mereka hanya menjawab memerlukan masa untuk mengkaji. Berapa masa yang mereka perlukan, sedangkan masalah ini sudah berlarutan sejak 1972 lagi? Apakah saya perlu mendedahkan memorandum sulit berkenaan kepada rakyat jelata barulah KDN mahu mengambil tindakan?,” tanya Bumburing yang jengkel dengan sikap acuh tidak acuh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien.

Bumburing turut kecewa dengan pendirian UPKO yang mengambil sikap berkecuali dengan tidak memberikan sebarang komitmen berhubung memorandum yang beliau sampaikan kepada KDN.

“Bagaimanapun ini bukan bererti saya kecewa kepada pemimpin UPKO kerana pendirian UPKO terutama Presiden, Tan Sri Bernard Dompok adalah konsisten terhadap masalah PTI di Sabah,” ujar Bumburing yang mengakui perjuangan UPKO tidak dibentengi Komponen BN yang lain dalam isu PATI.

Kata Bumburing, tidak ada gunanya lagi UPKO tidur satu bantal, tetapi mimpi lain-lain.

1 comment:

  1. hmmm .. btl juga -- bh org besar bn pun kecewa sudah , apa lg klu org sabah ...

    ReplyDelete