Wednesday 21 September 2011

KEMBARA NYALAKAN OBOR SEMANGAT



DOA…Jamawi bersama rombongan turut mengaminkan doa yang dipimpin oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno Tenom, Imam Mohd.Taslim.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

Tarikh 16 September amat bermakna buat negara kerana pada tahun 1963 itu, 14 buah negeri di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung membentuk Malaysia dan hari tersebut kini diisytiharkan sebagai Hari Malaysia.

Tahun ini sambutan mencatat momentum tersendiri apabila sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 dan Hari Malaysia dirai serentak buat julung kalinya menjadikan edisi kemerdekaan kali ini sesuatu yang istimewa.

Perasaan ini patut meresapi generasi muda masa kini agar pengertian kemerdekaan dan semangat patriotisme bukan sahaja dirasai tetapi dapat dipupuk sejak awal begitu juga ianya perlu dikongsi oleh rakyat tidak kira di bandar atau di luar bandar.

Bagi memeriahkan acara sambutan Kemerdekaan yang bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera' ini, penyertaan anggota pergerakan pemuda Umno bahagian Tenom yang dipimpin oleh Ketuanya, Jamawi Jaafar bersama ahli jawatankuasanya baru-baru ini, telah melaksanakan program Kembara Merdeka dengan berkonvoi menaiki kenderaan dari Pekan Tenom menuju ke tiga buah kampung iaitu Kampung Bunut, Sugiang Tengah dan Ladang Sapong dengan harapan membawa ‘Obor Semangat Kemerdekaan’ ke kawasan luar bandar.

Katanya, semangat serta kemeriahan sambutan Kemerdekaan perlu dikongsi bersama oleh masyarakat luar bandar agar mereka turut merasai dan menghargai makna sebuah negara yang bebas dan merdeka.

“Kita tidak seharusnya menumpukan perhatian di kawasan bandar sahaja untuk merayakan sambutan hari kemerdekaan ini kerana mereka yang tinggal di luar bandar perlu dilibatkan sama agar mereka dapat berkongsi kemeriahan di samping menghargai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan hari ini dalam mengisi keperluan pembangunan sebagai sebuah negara yang merdeka,” katanya ketika ditemui semasa program ini berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya, rakyat di luar bandar perlu memahami pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN ke luar bandar seperti kemudahan asas jalanraya, bekalan air, api kemudahan pendidikan, kesihatan dan sebagainya merupakan nilai yang amat bermakna mereka kecapi selama ini dari sebuah negara yang merdeka.

“Dengan adanya program ini, kita dapat menjelaskan isu serta program pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan sendirinya dapat menangkis dakyah pembangkang yang masuk kampung keluar kampung dengan budaya adu domba, kononnya kerajaan hari ini gagal membawa pembangunan untuk rakyat,” jelas Jamawi.

Tambah Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, program ini juga memberi kesempatan kepada pemuda untuk mendekati masyarakat setempat sambil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

''Ini merupakan salah satu usaha kami dalam melihat generasi muda bukan sekadar pemerhati sahaja tetapi turut dilibatkan dengan aktiviti kemasyarakatan. Sepanjang kembara ini, kita turut melihat kesusahan beberapa penduduk sehingga menyebabkan kita sedar banyak yang perlu dilakukan untuk membantu mereka," katanya.

Dalam pada itu, Jamawi memberitahu, program tersebut dilihat sebagai salah satu arus perubahan oleh generasi muda yang kini tidak lagi dipimpin, tetapi memimpin dalam semua aktiviti dilakukan.

Jelas beliau, program seperti itu juga dilihat sebagai satu platform terbaik untuk golongan belia mendekati masyarakat setempat selain membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Pelbagai program semasa Kembara Merdeka ini dijalankan turut dilakukan oleh Pergerakan Pemuda Umno Tenom bagi menjalin hubungan muhibbah bersama penduduk luar bandar termasuk sukaneka, penyampaian sumbangan, program gotong royong dan juga persembahan kebudayaan yang lebih bersifatkan semangat patriotik.

No comments:

Post a Comment