Wednesday 28 September 2011

PELADANG PERLU SEDIA BERUBAH



SUMBANGAN….Lajim diiringi oleh Mohd.Zahari, John dan Edmond ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli PPK Kuala Penyu yang akan mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KERAJAAN kini menghala usaha ke arah transformasi sektor pertanian dalam usaha menjadikan bidang berkenaan sebagai antara produk yang mampu menjana pendapatan, khususnya bagi penduduk di negeri Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, petani perlu mempertingkatkan hasil kerja termasuk menggunakan kaedah terkini dalam usaha menambahkan hasil pertanian masing-masing.

"Dalam zaman sekarang, peladang, penternak dan nelayan tidak boleh lagi terlalu bergantung semata-mata kepada sistem yang dijalankan sekarang, sebaliknya mereka perlu menambah baik sistem sedia ada itu menerusi kaedah terkini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Jamuan Hari Raya Aidil Fitiri Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Penyu (PKK) bersama ahli-ahlinya di pejabat pertubuhan tersebut di Kampung Kayul, Kuala Penyu, pagi kelmarin.

Hadir sama Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmond Teo dan Pengerusi (PPK) Kuala Penyu Mohd.Zahari Zinin.

Sehubungan dengan itu Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort berharap ahli-ahli pertubuhan tersebut seharusnya merebut peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian yang kini merupakan antara industri penting bukan sahaja di Perlis malah di negara ini.

"Pertanian merupakan industri yang berpotensi untuk diceburi oleh rakyat di negeri ini dan peluang seumpama ini seharusnya direbut," tambah beliau.

Bagaimanapun, kata Lajim, peladang perlu sentiasa bersedia untuk membuat perancangan termasuk menerima perubahan dalam bidang diceburi supaya ia selaras dengan tuntutan semasa.

"Di samping itu, semua agensi berkaitan pertanian perlu berganding bahu dalam menjayakan transformasi pertanian di negeri ini supaya setiap hasrat dapat dicapai," kata beliau.

Menurut beliau, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk terus membela nasib masyarakat peladang.

Katanya, melalui PPK segala bantuan dan projek pembangunan dapat disalurkan kepada masyarakat peladang tanpa sebarang masalah.

"Di peringkat Parlimen Beaufort, kita ada Majlis Pembangunan Pertanian (MPP) yang turut membantu PPK melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan ahlinya,“ katanya.

Di majlis tersebut, Lajim turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada Pengerusi PPK Kuala Penyu, Mohd.Zahari Zinin kepada 14 orang ahli PPK dari daerah ini yang akan mengerjakan fardu haji tahun ini.

No comments:

Post a Comment