Friday 30 September 2011

PRUDENTIAL ASSURANCE SEMAKIN KUKUH



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Kiong berkata pelanggan Prudential Assurance Malaysia Bhd di Sandakan kini boleh menikmati kemudahan serta perkhidmatan pelanggan yang lebih baik berikutan pemindahan syarikat insurans itu ke pejabat lebih besar lagi canggih yang terletak di Dataran Prima KM 7.9, Jalan Utara, Sandakan.

“Pemindahan tersebut merupakan pemindahan kali keempat syarikat berkenaan sejak bertapak di Sandakan pada tahun 1991 dengan tujuan bagi menampung tenaga agensi dan pelanggannya yang semakin meningkat dari masa ke semasa,” katanya ketika berucap merasmikan pemindahan pejabat syarikat tersebut di Bandar Prima, petang kelmarin.

Bilangan agen, pelanggan serta perniagaan yang semakin meningkat maju di Sabah kata V.K.Liew, merupakan punca utama di sebalik keputusan untuk memindahkan cawangan Sandakan ke pejabat yang mempunyai ruang lebih besar, selain menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa untuk kakitangan syarikat tersebut.

“Saya dimaklumkan setakat 31 Ogos 2011, cawangan ini telah menyumbangkan APE perniagaan baru berjumlah RM2.5 juta yang menunjukkan pertumbuhan 23% peratus sejak tahun 2010. Saya percaya jumlah sedemikian akan terus meningkat dengan pemindahan cawangan ini ke pejabat barunya,” ujar V.K.Liew lagi.

V.K.Liew juga menjelaskan bahawa beliau dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prudential Assurance Malaysia Bhd, Charlie Oropeza, bahawa pejabat baru ini merangkumi dua bangunan tiga tingkat terletak bersebelahan dengan keluasan kira-kira 5,300 kaki persegi dilengkapi dengan bahagian pentadbiran cawangan dan perkhidmatan pelanggan.

Sementara itu dalam ucapan alu-aluan, Charlie Oropeza berkata, sejajar dengan perasmian gilang gemilang cawangan itu bersempena hari ulang tahun ke 20 Prudential bertapak di Sandakan, pihaknya menderma sejumlah RM6,000 kepada Rumah Amal Cheshire Home Saban-Sandakan dan Sekolah Menengah Yu Yuan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan berterusan yang diberikan masyarakat setempat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Wakil Rakyat Kawasan Elopura Au Kam Wah dan dif-dif kehormat lain.

No comments:

Post a Comment