Thursday 15 September 2011

TINDAKAN AFIRMATIF BANTU BUMIPUTERA



PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan afirmatif untuk membantu Bumiputera, yang diperkenal di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), kekal tetapi berubah menjadi lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata strategi kerajaan sekarang yang mewujudkan lebih banyak peluang bagi Bumiputera, tanpa mengenakan kuota ke atas kaum lain, juga menarik bukan Bumiputera.

"Apa yang kita dapati ialah cara ini (tindakan afirmatif di bawah DEB), pertamanya, ia tidak popular dengan pasaran; dan keduanya, tidak benar-benar membantu bumiputera.

"Apa yang cuba kita lakukan sekarang ialah mengubahnya; tindakan afirmatif kekal, tetapi ia harus lebih mesra pasaran dan harus lebih berdasarkan merit," kata Perdana Menteri pada Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di sini Selasa.

"Dengan kata lain, kita mewujudkan peluang bagi mereka berkembang maju dan tidak mengenakan kuota ke atas pihak lain.

Jadi, itulah falsafah umumnya, kita menuju ke arah itu dan ia semakin baik dan lebih menarik kepada bukan Bumiputera jika kita melakukannya atas dasar itu," katanya.

Najib berkata demikian ketika berkongsi pandangannya tentang prestasi dan cabaran-cabaran yang dihadapi negara ini sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan pada 2009.

Dialog selama 45 minit itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarang dan Pengerusi Forbes Asia, Steve Forbes.

Mengenai sama ada telah tiba masanya bagi Asean mengkaji untuk memperkenal mata wang baharu, Najib berkata negara-negara Asean akan tetap terbuka kepada idea dalam jangka panjang tetapi pendekatan mestilah terkawal bagi mengelak daripada gangguan dalam pasaran kewangan dan mata wang.

"Saya menerima hakikat bahawa dalam jangka pendek dan sederhana, dolar AS akan terus menjadi mata wang utama antarabangsa dan euro juga akan menjadi mata wang penting. Saya tidak melihat gambaran berubah dalam jangka pendek dan sederhana.

"Tetapi dalam jangka panjang, ia (idea mata wang baharu bagi Asean) masih terbuka. Tetapi biarlah pelaksanaan terkawal supaya kami tidak mengganggu pasaran kewangan dan mata wang," kata Najib.

Beliau berkata Malaysia merupakan negara pertama menggunakan mata wang tempatan untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan China.

Mengenai pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Najib berkata kerajaan telah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri supaya mewujudkan sistem berkenaan untuk membolehkan pelaksanaannya.

Beliau berkata adalah penting untuk bersedia memandangkan akan terdapat gangguan dan penilaian semula apabila tiba masa pelaksanaannya.

"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Pada masa yang sama, beliau berkata penerimaan terhadap pelaksanaan GST semakin meningkat.

Daripada 12 juta rakyat, hanya 1.2 juta yang membayar cukai, kata Perdana Menteri.

"Rancangan kami ialah untuk mengurangkan defisit fiskal kami daripada 5.6 peratus kepada 5.4 peratus tahun ini dan turun kepada kira-kira tiga peratus dalam masa beberapa tahun akan datang.

Jadi, apabila kami mengurangkan defisit fiskal kami, akan terdapat lebih keyakinan dalam ekonomi serta kami akan dapat menyaksikan asas yang lebih kukuh di Malaysia," kata Najib. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment