Thursday 1 September 2011

V.K.LIEW CUBA NASIB DI KKLW?



Oleh : CITRA MASADI

POLEMIK antara Parti Liberal Demokratik (LDP) yang berseteru dengan Pengerusi Barisan Nasional Sabah disambut baik oleh Pakatan Rakyat sebagai formula terbaik untuk menawan banyak kerusi LDP dan UMNO pada pilihanraya umum akan datang di Sabah.

Sebelum ini ruang dan peluang tidak tersedia kerana perpaduan erat di kalangan pemimpin BN di Sabah, namun sejak Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan kini Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong bersengketa dengan Pengerusi BN Sabah, maka Pakatan Rakyat mempunyai peluang untuk menggempur BN di setiap sudut; terutama menumpukan serangan kepada LDP dan merampas semua kerusi yang diwakili dan bakal diwakili LDP.

Memang diakui semua pemimpin LDP yang sedia ada pada hari ini ialah Pemimpin Autokratik iaitu yang dilantik oleh pucuk pimpinan terdahulu dan bukan dipilih oleh ahli atau perwakilan parti; sekaligus menunjukkan LDP dipenuhi ahli ‘Hantu’ malah dipimpin oleh Pemimpin ‘Hantu’ yang membelakangkan Perlembagaan Parti.

Peranan LDP sama seperti ditubuhkan iaitu untuk melumpuhkan sokongan masyarakat Cina terhadap Parti Bersatu Sabah; malah kini menjadi pengacau kepada parti komponen yang mewakili masyarakat Cina; tetapi mempunyai serampang dua mata iaitu memastikan Pengerusi BN Sabah tersingkir dan melonjakkan Naib Presiden UMNO, Datuk Shafie Apdal ke tampuk kuasa Kerajaan Negeri.

Buktinya, Chin Su Phin telah memperolehi kontrak lebih RM500 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), bukan untuk LDP tetapi sebagai dana pilihanraya dan upah untuk melancarkan perang saraf dan menggempur Pengerusi BN Sabah dari dalam dengan mencipta pelbagai polemik.

Kejayaan Chin Su Phin ini dicemburui V.K.Liew yang kini mengorak langkah yang sama dan seiiring kerana bimbang jawatannya direbut pada pilihan pucuk pimpinan parti LDP yang masih tertunda sehingga ke hari ini.

V.K.Liew mencuba nasib untuk mendapatkan habuan daripada Shafie Apdal dengan mencipta sengketa dengan Musa Aman; mendapat dana untuk LDP yang semakin kering dan menutup rungutan 26 Bahagian LDP yang semakin tidak puas hati kerana Chin Su Phin dan V.K.Liew hanya menjaga kroni mereka; tetapi membiarkan bahagian tercungap-cungap bagaikan ikan kena tuba.

Mengikut maklumat dalaman LDP, sekurang-kurangnya 16 Bahagian LDP telah memulakan perang dingin menolak kepimpinan V.K.Liew dan Chin Su Phin dan jika hasrat mereka tidak dilayan, kemungkinan besar 16 Bahagian LDP akan dibubar dan mereka akan menyertai Parti Komponen BN lain di Sabah, terutama parti berbilang kaum.

Peluang inilah yang harus dilihat oleh Pakatan Rakyat untuk menggempur BN dan sekurang-kurangnya dapat menawan 15 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen majoriti Cina untuk mengurangkan dominasi BN di Sabah.

Walaupun berdasarkan rekod, senario ini tidak menjanjikan sebarang peluang kerana segala kemungkinan boleh terjadi terutama politik wang yang berleluasa, pengundi hantu, salah guna kuasa dan adu domba BN; namun membuka ruang yang terbentang luas kepada Pakatan Rakyat untuk menggembleng usaha secara bersepadu; kerana LDP mudah ditumpaskan tanpa sokongan UMNO dan BN.

Chin Su Phin dan V.K.Liew adalah lowongan terbuka bagi Pakatan Rakyat merampas kerusi LDP dan dominan Cina kerana rekod buruk LDP di semua kawasan yang mereka wakili; terutama setelah sengketa dimulakan oleh Mantan Presiden LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat dalam isu Patung Dewi Laut Mazu.

Terima kasih LDP, terima kasih Chin Su Phin dan terima kasih V.K.Liew kerana memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi berkenaan dan membolehkan Pakatan Rakyat berkhidmat dengan jujur kepada rakyat sebagaimana telah dibuktikan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

No comments:

Post a Comment