KENANGAN……Sandra (tiga dari kanan), Musbah, (dua dari kanan), Abdul Rahman (kanan sekali), Dolkassim (kiri sekali) dan Abdullah Sibil (dua dari kiri) mengabdikan album kenangan di majlis berbuka puasa Datuk Musbah Jamli di Kg. Taun Gusi Padang, Kota Belud.
Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI
Sandra Lindmark, 20, dari Stockholm, Sweden tidak pernah merancang perjalanan percutiannya ke negeri di bawah bayu Sabah untuk bersama-sama umat Islam di Kampung Taun Gusi Padang, dekat sini untuk merasai suasana bersahur dan berbuka puasa dalam bulan ramadhan al-mubarak tahun ini.
Pengalaman Sandra tinggal bersama keluarga Dolkassim Andanan yang menentap di Kampung Taun Gusi Padang selama 10 hari dalam bulan ramadhan membolehkan beliau mengetahui serba sedikit erti berpuasa.
Pengalaman yang Sandra perolehi ketika bersama keluarga Dolkassim sudah cukup meninggalkan seribu kenangan yang tidak mungkin dapat beliau lupakan sepanjang hayatnya.
Menurut Sandra, beliau sebelum ini telah melancong ke beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti di Laos, Brunei dan Vietnam dan banyak mempelajari serta mengkaji cara hidup, budaya dan agama di negara-negara yang telah dilawati.
Katanya, lawatannya ke Sabah juga dengan tujuan yang sama bukan sahaja untuk mempelajari serta mengkaji seperti apa yang telah beliau lakukan sebelum ini malah beliau turut mengkaji bahasa-bahasa yang ada di negeri ini.
“Berbeza di Kota Belud, saya bukan hanya setakat dapat mempelajari bahasa Bajau, bahasa Dusun, bahasa Irranun walaupun sedikit sahaja, malah saya berpeluang melihat sendiri bagaimana penduduk di sini bersahur dan berpuasa diikuti dengan berbuka puasa bersama-sama keluarga dalam suasana yang harmonis,” kata Sandra yang menyifatkan pengalaman baru ini begitu mengesan jiwa dan raganya sebagai manusia.
Sandra yang boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia walaupun tidak sefasih penduduk di Kampung Taun Gusi Padang, memberitahu beliau amat kagum dengan keramahan serta budi bahasa masyarakat di kampung itu.
“Walaupun saya baru sahaja berada dengan mereka terutamanya dengan keluarga Dolkassim, layanan yang diberikan kepada saya terlalu baik, terlalu mesra. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga Dolkassim.
“Terima kasih juga kepada Wakil Rakyat DUN Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan juga Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan bukan sahaja sudi menerima kehadiran saya malah memberi layanan yang teramat istimewa,” ujar Sandra sambil meluahkan perasaan hatinya ketika di temui media di majlis berbuka puasa yang diadakan di Dewan Datuk Musbah Jamli di Kampung Taun Gusi Padang, baru-baru ini,
No comments:
Post a Comment