Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH
PENGUMUMAN Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Datuk Peter Pang En Yin keluar serta merta dari parti itu memberikan satu tamparan yang terus merumitkan hubungan dan kedudukan LDP dalam Komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Pengumuman Peter Pang itu bukan sekadar keluar dari LDP malahan mengistiharkan perletakan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sekali gus melibatkan jawatannya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Tindakan pemimpin kanan LDP ini jelas menjadikan kedudukannya sebagai anggota tertua BN di Sabah semakin parah, ia bertambah perit lagi apabila pengumuman Peter Pang meninggalkan LDP telah disambut pula oleh pengumuman Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak yang menyatakan pemimpin LDP itu akan menyertai parti Gerakan yang berpangkalan di Semenanjung.
Apakah dengan perkembangan muktahir ini menjadikan kedudukan LDP dalam BN semangkin goyah? Masih bermaruahkah lagi LDP sekiranya parti ini terus berada di dalam BN sedangkan terang dan jelas Presidennya, Datuk V.K.Liew telah menyokong kenyataan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin terhadap ketegasannya yang tidak menyokong ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, tetapi pada masa yang sama menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Berdasarkan kepada tindakan keluar pemimpin kanan LDP ini menunjukkan yang ia tidak ingin bersekongkol dengan dalang untuk menjatuhkan Musa sebagai Pengerusi BN di Negeri Bawah Bayu ini, sepertimana yang didakwa oleh Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak bersabit dengan kenyataan keras dan terang dari Chin Su Phin selepas mesyuarat BN Negeri Sabah baru-baru ini.
Salleh yang juga Mantan Ketua Menteri Sabah mempersoalkan rasional di sebalik kenyataan Chin Su Phin dengan menganggap plot itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk meminta Najib selaku Ketua BN pusat agar mengguggurkan Musa selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah.
Pemimpin Nombor Dua Umno Sabah ini sempat memberikan nasihat kepada pimpinan LDP termasuklah Presidennya, V.K Liew agar tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.
Sehubungan dengan itu LDP tidak harus mempersoalkan sesiapa kerana seorang pemimpin yang menconteng arang di muka LDP mengakibatkan pemimpin kanannya, Peter Pang bertindak meninggalkan parti yang pertama dianggotainya dalam krier beliau menyertai politik.
Sejajar dengan senario baru ini, apakah Parti Gerakan Sabah akan menambahkan lagi kekuatannya? Lebih tepat lagi, untuk mengantikan kedudukan LDP dalam gabungan kerajaan negeri.
Selepas Peter Pang meletakkan jawatan, apakah parti Gerakan akan mengisi kekosongan Timbalan Ketua Menteri Kuota Cina yang ditinggalkan pemimpin LDP itu atau Peter Pang yang menjadi ahli Parti Gerakan akan kembali ke posisi asal sebagai Menteri Kabinet.
Bagaimanakah kedudukan Pemimpin Kanan Gerakan Sabah, Datuk Ryemond Tan yang semasa parti Maju Sabah (SAPP) dalam BN beliau menjadi Timbalan Ketua Menteri.
Sesungguhnya dengan sikap berdegil tanpa tolak ansur dari Chin Su Phin telah membawa padah kepada LDP, yang bukan sahaja meletakan kedudukan parti itu bagai ‘Telur Di hujung Tanduk’ kerana apabila semua parti komponen BN di Sabah telah menyatakan kesetiaan tidak berbelah bagi terhadap Musa, sudah tentu hanya menunggu saat dan ketikanya untuk BN Sabah memberikan isyarat kepada BN pusat untuk mengambil tindakan memecat LDP kerana dikhuatiri jika LDP masih bersama BN ia akan menjadi barah terhadap persiapan parti menjelang Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment