Thursday 17 March 2011

ISU PLUMBUM BERGEMA DI DEWAN RAKYAT



Oleh: MUTALIB M.D

NAMPAKNYA Sabahkini.net tidak bersendirian memperjuangkan alam sekitar terutama pencemaran logam berat seperti plumbum bagi memastikan kualiti alam sekeliling selamat untuk rakyat Malaysia setelah Loji Janakuasa Arang Batu di Sinakut, Sabah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Persidangan Parlimen kali ini agak unik kerana isu penting ini dibawa oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Raime Unggi, menunjukkan pembangkang di Malaysia tidak prihatin terhadap isu alam sekitar yang semakin memuncak ekoran letupan loji nuklear di Jepun dana kematian lebih 400 kanak-kanak di Nigeria, Afrika dan lebih 2,000 kanak-kanak sedang nazak di China akibat keracunan plumbum.

Isu plumbum bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar malah menyebabkan berlaku ketirisan kepada tabung pembangunan kerajaan akibat manipulasi kontrak secara rundingan terus sehingga menyebabkan kontrak yang bernilai RM2 juta ditawarkan pada kadar RM5 juta.

Berikut sedutan daripada Hansard Parlimen pada 15 Mac 2011 yang menunjukkan kematangan Ahli Parlimen Barisan Nasional menguasai perbahasan demi kepentingan rakyat kerana tidak gentar membelasah kementerian terbabit;

Sedutan Hansard:

Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing [Tuaran]: Terima kasih Yang Berhormat Tenom. Saya terkilan mengenai dengan perkara Yang Berhormat sentuh mengenai dengan bekalan elektrik melalui hybrid solar system bagi sekolah-sekolah.

Di kawasan saya sendiri Yang Berhormat, ada satu sistem yang dibekalkan kepada sebuah sekolah iaitu sekolah yang mempunyai pelajar hanya seramai 48 orang dan peruntukan solar hybrid ini kosnya ialah RM5 juta. Baru-baru ini saya telah melawat sekolah ini melihat facility ini, dan membawa satu kumpulan pakar untuk menilai projek ini. Mereka berpendapat bahawa setinggi-tingginya kos projek ini hanya RM2 juta.

Pada masa pelancaran Yang Berhormat, saya katakan kepada kementerian, ada talian elektrik, mengapa perlu hybrid? Dan sekarang ini apabila saya melawat, elektrik sudah sampai.

Jadi facilitynya redundant. Jadi saya terkilan. Kalau ini diteruskan di sekolah-sekolah yang kosnya tinggi ini dan saya dapati juga seperti Yang Berhormat katakan, ia tidak beroperasi. Dua buah rumah guru tidak ada elektrik, tidak disambungkan daripada facility ini. Jadi inilah apa yang kita lihat agak tidak sesuai daripada segi perancangan.

Apakah pendapat Yang Berhormat Tenom?

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Setuju Ahli Yang Berhormat. Saya pun merasakan apabila kerajaan memperuntukkan, contoh di SK Sumambu tersebut, RM6 juta. Sedangkan kerajaan memberikan saya dana untuk membantu rakyat. Saya gunakan peruntukan itu tidak banyak, RM1 juta sahaja. Sepertimana yang telah dikatakan oleh Yang Berhormat Tuaran tadi, saya harap pihak kerajaan meneliti kembali tentang projek-projek yang dilaksanakan. Kita tidak mahu berlakunya pembaziran.

Apabila berlakunya pembaziran, kita lihat target tidak kena seperti mana yang telah dihadapi di sekolah-sekolah yang mendapat sistem solar. Saya harap pihak kerajaan dan kementerian melihat kembali. Begitu juga dengan kesannya terhadap alam sekitar. Kita harus sedari bahawa keracunan plumbum ini amat bahaya. Pada hari ini kita tidak nampak dan merasa tetapi apa akan terjadi pada masa akan datang.

Datuk Dr. Marcus Mojigoh [Putatan]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Putatan bangun

Yang Berhormat.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Ya, Yang Berhormat Putatan silakan.

Datuk Dr. Marcus Mojigoh [Putatan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan sahabat saya Yang Berhormat Tenom. Tiga minggu yang lalu saya menghadiri satu mesyuarat di mana Jabatan Pelajaran Negeri Sabah memberi taklimat kepada pegawai-pegawai di bandar raya Kota Kinabalu. Beliau telah menyentuh soal pelantikan kontraktor yang melaksanakan projek-projek di bawah Kementerian Pelajaran di negeri Sabah.

Satu daripadanya adalah pembinaan solar hibrid di sekolah-sekolah di luar bandar dan termasuk juga kawasan di Kota Kinabalu pun ada juga solar hibrid dilaksanakan. Bukan sahaja itu, kontraktor-kontraktor ini bukan orang tempatan atau rasanya orang dari Sabah, ini penting Tuan Yang di-Pertua. Kontraktor-kontraktor yang melaksanakan projek-projek pengkomputeran di sekolah-sekolah di Sabah juga banyak yang dilaksanakan belum dapat beroperasi dan masih menjadi seperti gajah putih. Jadi masalahnya di sekolah lebih kurang berpuluh di negeri Sabah yang belum beroperasi. Saya minta Yang Berhormat masukkan ucapan ini untuk Menteri menjawab siapa kontraktor itu.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Ya Tuan Yang di-Pertua, ucapan Yang Berhormat Putatan masukkan dalam ucapan saya, biar kementerian menjawab sebab kita lihat berkenaan dengan solar yang dipasang di sekolah-sekolah ini menimbulkan banyak keraguan. Saya lihat RM6 juta bukan satu kos yang sedikit, banyak. Saya menggunakan peruntukan khas yang saya nyatakan tadi RM1 juta saya dapat memberi kepada penduduk-penduduk kampung sebanyak 41 buah rumah yang selama ini tidak pernah mimpi pun mendapat elektrik tetapi hari ini syukur alhamdulillah mereka dapat nikmati cahaya ataupun elektrik.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Arau bangun Yang Berhormat.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Ya, Yang Berhormat Arau.

Datuk Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Tenom. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat tentang teknologi solar. Jikalau mengikut perkembangan terbaru, teknologi solar sekarang kita boleh memasang hanya melalui cermin tingkap yang sebenarnya sudah pun diguna pakai di beberapa negara maju. Mengapa kita masih menggunakan kaedah atau teknologi yang lama yang saya rasa dari segi maintenancenya agak tinggi jika dilihat dari tahun ke tahun, maknanya ia sudah tidak sesuai lagi digunakan di negara kita.

Jadi oleh sebab itu dalam teknologi terkini ini boleh digunakan apabila pemasangan bangunan baru ia boleh dimasukkan sebagai sebahagian daripada spesifikasi tender yang saya rasa dalam kadar tiga jam sahaja ia boleh dapat menjana tenaga elektrik untuk kegunaan sehari bagi kipas dan juga lampu. Itu lebih reasonable dan munasabah kalau kita bandingkan dengan teknologi lama yang saya lihat terlalu tinggi kos penyelenggaraan.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Saya setuju.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Yang Berhormat, boleh jawab sekali?

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Okey Yang Berhormat Kinabatangan.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Jikalau soalan tadi terlampau mendalam, jadi soalan saya senang sedikit. Yang Berhormat Tenom sedar tidak, saya sebenarnya sudah kemukakan soalan ini, solar hibrid di sekolah-sekolah. Projeknya kepunyaan Kementerian Pelajaran, pelaksanaannya JKR. Mesyuaratnya lebih kurang sembilan agensi yang terlibat dan malangnya mesyuarat ini jika satu daripada agensi itu tidak hadir, maka tidak jadi mesyuarat.

Jadi rata-rata kontraktor datang menghubungi saya bahawa mereka mengalami kesulitan yang amat berat sebab Kementerian Pelajaran beri notis siap kerja-kerja enam bulan. Sampai sekarang surat-surat extension belum ada, cuma ada diberi dalam e-mel. Oleh sebab dia tidak boleh bermesyuarat kerana salah seorang pegawai daripada sembilan agensi itu kalau tidak cukup seorang, tidak boleh bermesyuarat. Sedangkan Perdana Menteri telah menegaskan kita ada berbagai-bagai badan mempercepatkan projek, program dan sebagainya untuk rakyat.

Namun, saya lihat mereka tidak mendengar arahan Perdana Menteri, ini satu penganiayaan.

Mereka menganiaya amanah Perdana Menteri dan amanah rakyat. Jadi apakah Yang Berhormat mencadangkan agensi-agensi ini supaya lebih efisien. Jika mereka tidak mahu bekerja, berhenti dan jangan makan gaji percuma. Letak jawatan dan jangan susahkan kerajaan dan rakyat. Minta Yang Berhormat Tenom.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Terima kasih Yang Berhormat Kinabatangan.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Sedikit Yang Berhormat.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Nanti dulu Yang Berhormat Kota Belud. Ini dalam betul. Terlampau dalam Yang Berhormat Kinabatangan. Sekiranya mereka ini tidak dapat memberikan perkhidmatan, saya setuju dengan Yang Berhormat Kinabatangan dan kalau boleh kerajaan kita hari ini ia bekerja ataupun memberi khidmat seperti korporat. Jangan hendak balik modal sahaja.

Mesti bekerja dengan lebih keras. Saya melihat daripada Yang Berhormat Arau tadi, saya setuju bahawa hari ini banyak teknologi-teknologi yang telah kita lihat terutama dalam sistem solar ini.

Tuan Yang di-Pertua, pada pendapat saya panel solar semuanya sama tetapi perbezaannya bateri, bagaimana tenaga solar itu dapat disimpan. Jika kita lihat daripada pemasangan sistem solar yang lama, masalah yang saya lihat ialah bateri tersebut. Belum pun sampai setahun bateri itu sudah rosak. Akan tetapi apa yang saya guna pada hari ini untuk memberi bekalan elektrik kepada 41 buah rumah di Kampung Katubu dan Sumabu, syukur alhamdulillah masih beroperasi seperti biasa. Ya, Yang Berhormat Kota Belud.

Datuk Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Satu soalan tentang Suruhanjaya Tenaga ini Yang Berhormat Tenom. Suruhanjaya Tenaga ini telah ditubuhkan untuk memperjuangkan isu-isu tenaga yang ada kaitan dengan negara kita. Of course, TNB dan kementerian ada tetapi Suruhanjaya Tenaga ini apa fungsinya Yang Berhormat, yang selama ini ramai orang tidak tahu tentang kewujudan mereka, itu satu.

Kedua, apakah Yang Berhormat bersetuju dengan saya kalau saya katakan bahawa kalau teknologi-teknologi baru atau renewable energy, dengan izin, ini jangan diletakkan di bawah Kementerian KeTTHA ini sebab mereka agak terlalu taksub kepada teknologi yang sudah lama dan tidak mahu berubah. Mungkin perlu kita letakkan teknologi ini di bawah MOSTI kerana mereka adalah teknologi dan inovasi. Jika kita letak di bawah KeTTHA ini, saya melihat mereka tidak begitu responsive dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Arau dan banyak lagi teknologi baru (renewable energy) ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, boleh gulung Yang Berhormat.

Datuk Raime Unggi [Tenom]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kota Belud. Soal hendak tukar-tukar itu kita pulangkan kepada kerajaan. Dia hendak letak mana pun letaklah tetapi apa yang penting bagi saya Tuan Yang di-Pertua, ialah saya ingin menekankan bahawa kita atau rakyat di negeri Sabah terutama di kawasan saya sehingga hari ini masih belum mendapat kemudahan-kemudahan seperti yang saya nyatakan tadi.

Agak malang Tuan Yang di-Pertua, saya lihat trend hari ini bagi kawasan-kawasan yang menyokong pembangkang pula mendapat banyak peruntukan sedangkan kami di kawasan saya sentiasa menyokong kerajaan. Masalahnya Tuan Yang di-Pertua, bila kerajaan hendak tolong kawasan-kawasan pembangkang, tetapi mereka tidak pernah bersyukur.

Tuan Yang di-Pertua, saya harap kerajaan mengambil berat tentang apa yang telah saya nyatakan. Jadi saya mohon menyokong.

6 comments:

  1. Hope that a further study is made to come up with the best solution for this issue.

    ReplyDelete
  2. nampaknya isu plumbum telah diperbincangkan ke dewan rakyat. harap dengan ini, isu ini dpt diselesaikan demi kepentingan penduduk.

    ReplyDelete
  3. harap isu ini akan mendapatkan perhatian yang sewajarnya dan akan dapat diselesaikan.

    ReplyDelete
  4. Semoga penggunaa plumbum ini akan dapat diselesaikan secepatnya.

    ReplyDelete
  5. saya harap isu yang telah diperdebatkan di dewan rakyat akan dapat diselesaikan dalam waktu yang terdekat. masalah seperti ini tidak boleh dilengah2kan memandangkan risikonya terlalu besar kepada rakyat di negeri ini.

    ReplyDelete