Thursday, 24 March 2011

KABINET SABAH DIKUASAI PARTI SEMENANJUNG?



Oleh: JACKSON LU

PENSTRUKTURAN Kabinet Sabah yang terkini menyaksikan penguasaan lebih kepada parti-parti berasal daripada luar Sabah dengan UMNO yang menguasai 6 potfolio dan Parti Gerakan 2 potfolio menjadikan jumlahnya kepada 8 potfolio, selepas mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang menyertai Parti Gerakan sebuah parti berasal dari Semenanjung baru-baru ini.

Sementara selebihnya disandang parti tempatan Sabah iaitu PBS 2 potfolio dan UPKO 1 potfolio. Manakala LDP yang merupakan di antara parti tempatan yang ‘senior’ dalam BN kini tidak mendapat sebarang posisi di dalam kabinet yang baru dibentuk itu menimbulkan seribu satu persoalan rakyat Sabah; bahawa benarkah BN Sabah telah mengaplikasikan sistem perkongsian kuasa yang tulen atau sebaliknya.

Melihat kepada penstrukturan itu adalah jelas bahawa parti-parti tempatan sudah tidak mempunyai hak bersuara lebih kerana tergolong dalam kumpulan minoriti dalam Kabinet Sabah berbanding dengan parti parti di luar Sabah khususnya Umno dan Parti Gerakan yang menjadi suara majoriti di barisan Kabinet Negeri Sabah.

Penguasaan suara majoriti dalam kabinet oleh Umno dan Parti Gerakan adalah jelas bahawa sekali lagi Sabah telah kehilangan taringnya untuk bersuara lantang setelah parti-parti tempatan seperti PBS dan UPKO menjadi kumpulan minoriti dalam Kabinet Sabah, malah lebih menyedihkan lagi apabila LDP terus tersisih dalam barisan Kabinet Sabah.

Pengguguran LDP dalam kabinet Sabah sudah pastilah tindakan itu telah mengguris perasaan segenap lapisan ahli dan penyokong LDP di seluruh negeri ini yang disifatkan parti itu seolah-olah mereka disisihkan; malah terus dipinggirkan sebagai rakan kongsi dalam kerabat BN, hanya kerana perbalahan pendapat yang sedikit tetapi enggan diterima pakai oleh kuasa besar yang berada dalam golongan suara majoriti.

Tanggapan rakyat terhadap senario politik di Sabah dalam BN bukan lagi sebagai igauan semata-mata tetapi adalah realiti bahawa kini Sabah telah dijajah oleh Semenanjung setelah parti Umno dan Gerakan menguasai suara majoriti di dalam Kabinet Negeri Sabah dan membiarkan parti tempatan PBS dan UPKO menjadi suara minoriti.

Apa tidaknya jika kombinasi susunan struktur kabinet yang tidak mantap mengikut penyertaan parti-parti komponen BN berlandaskan sistem perkongsian kuasa yang menjadi tunggak kekuatan BN di Sabah sebelum ini; namun di sebaliknya jika keadaan sebegini rupa berterusan pasti ia bakal menghancurkan BN sebelum tumbang pada PRU13.

LDP yang terus dimalukan dan dikecewakan dalam susunan kabinet kali ini sudah pastilah LDP dalam diam akan berbuat sesuatu untuk memastikan BN akan tumbang dalam PRU13 kelak. Harus diingat bahawa jangan melihat LDP itu kerdil namun bebisa, ibarat pepatah Melayu ada mengatakan, “Kecil jangan disangka anak, besar itu jangan disangka bapa.”

1 comment:

  1. Saya sarankan selepas ini LDP harus menyatakan pendirian sama ada ingin terus membanggakan BN yg dikuasai UMNO atau atau bertindak keluar dari gabungan dan membentuk sebuah gabungan pembangkang yg kuat di Sabah. Masa depan sabah kini terbahagi kepada 3. yg pertama, akan selama-lamanya dikuasai oleh pemimpin umno yg korup, yg kedua, dirampas oleh Sultan Akjan iaitu kesultanan sulu yg berada dlm bayangan (Harus diingat 'pilak' sudah terlalu ramai di Sabah dan pada bila2 masa boleh mengangkat bendera sulu), dan yg ketiga adalah membentuk pembangkang yg kuat dan menyelamatkan Sabah dari cengkaman kedua-dua "parasit" di atas.

    ReplyDelete