WALAUPUN RM1.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memperkasa ‘Teknologi Hijau’ Negara, namun ‘Gelombang Hitam’ masih menutupi kehijauan yang digembar-gemburkan disebabkan fahaman yang sempit dan know-how yang dangkal. Ikuti perbahasan di Dewan Rakyat kelmarin yang bagaikan hebat gendang daripada tari!.
Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang] minta Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air menyatakan, sejauh manakah kemajuan penyediaan dan taraf teknologi hijau dalam negara kita. Apakah pencapaian-pencapaian yang signifikan yang menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air [Puan Noriah binti Kasnon]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ledang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat kerajaan sememangnya memberikan keutamaan kepada aspek pemeliharaan alam sekitar melalui aplikasi teknologi hijau.
Teknologi hijau adalah merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan sistem untuk memelihara alam sekitar, seterusnya meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Salah satu tindakan utama yang telah dilaksanakan oleh kementerian ialah memperkukuhkan kerangka institusi bagi teknologi hijau supaya pembangunan teknologi hijau adalah lebih sistematik dan berkesan.
Antaranya ialah penubuhan Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim atau MTHPI dengan izin, yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang berperanan sebagai platform peringkat tertinggi untuk menyelaraskan isu-isu mengenai teknologi hijau di antara kementerian, agensi dan pihak berkepentingan atau pun stakeholders dengan izin, yang utama.
Tuan Yang di-Pertua, selain itu kementerian juga telah menubuhkan Malaysian Green Technology Corporation atau dipanggil sebagai GreenTech Malaysia dengan izin, yang berperanan sebagai badan penasihat dan pelaksana kepada kerajaan bagi dasar-dasar yang berkaitan teknologi hijau. Tuan Yang di-Pertua, kementerian juga sedang mewujudkan garis panduan dan pelan tindakan perbandaran hijau di Putrajaya dan Cyberjaya.
Salah satu aspek yang diberi fokus penting di bawah program ini ialah penjimatan 10% penggunaan air dan tenaga elektrik di bangunan-bangunan kerajaan di Putrajaya. Garis panduan ini akan menjadi perintis kepada pembangunan perbandaran dan komuniti hijau di negara ini.
Kementerian percaya apabila garis panduan dan pelan tindakan perbandaran hijau ini dilaksanakan kelak, ianya akan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan seterusnya akan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, kementerian memfokuskan kepada pewujudan persekitaran teknologi hijau yang kondusif. Justeru itu, bagi mencapai matlamat ini, kementerian sedang bekerjasama dengan SIRIM Berhad untuk melaksanakan Program Perintis Perolehan Hijau dan Pelabelan Eko.
Program ini telah bermula sejak Ogos 2010 dan antara output yang disasarkan melalui program tersebut adalah penyediaan garis panduan pemeliharaan hijau kebangsaan, dokumen kriteria eko-label, pembangunan produk eko-label, penyediaan manual perolehan hijau dan seterusnya pembangunan technopreneur dalam bidang keusahawanan hijau. Secara keseluruhannya, pembangunan penglabelan eko ini akan membantu pengguna yang mengutamakan alam sekitar untuk memilih produk-produk yang mesra alam. Hal ini secara langsung akan mempengaruhi pihak industri untuk mencipta produk-produk yang mesra alam.
Di samping itu juga Tuan Yang di-Pertua, bagi memangkinkan perkembangan ekonomi rendah karbon, kerajaan telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau ataupun Green Technology Financing Scheme (GTFS) dengan izin, berjumlah RM1.5 bilion untuk membantu pengeluar dan pengguna teknologi hijau. Sehingga kini terdapat 96 permohonan telah diproses, 76 syarikat telah pun menerima pensijilan hijau dan daripada bilangan ini, sebanyak 17 projek telah mendapat kelulusan pinjaman institusi kewangan yang berkaitan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat seterusnya, satu lagi fokus penting kementerian adalah melalui aktiviti promosi dan kesedaran awam teknologi hijau. Justeru, aktiviti promosi dan kesedaran awam disasarkan melalui dua komponen utama iaitu melalui event dengan izin, dan juga promosi melalui media. Sepanjang tahun 2010, pelbagai aktiviti promosi teknologi hijau telah dilaksanakan. Tiga siri road show atau jelajah mengikut zon-zon negeri telah dijalankan dengan kerjasama FMM (Federation Manufacturer of Malaysia) dan Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Sabah. Secara keseluruhannya, semua road show teknologi hijau telah mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak.
Bagi memupuk kesedaran membudayakan amalan hijau di kalangan generasi muda pula, kementerian telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia serta Centre for Education, Training and Research In Renewable Energy and Energy Efficiency (CETREE), Universiti Sains Malaysia, untuk melaksanakan bengkel sekolah rintis amalan hijau bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Kemuncak promosi teknologi hijau pada tahun lepas adalah melalui penganjuran IGEM 2010 ataupun dengan izin, International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia. Kejayaan terbesar adalah menerusi business matching session apabila jumlah potensi transaksi perniagaan adalah sebanyak RM1.2 bilion.
Pada tahun ini Tuan Yang di-Pertua, kementerian telah merancang persediaan bagi menganjurkan IGEM buat kali kedua yang akan diadakan mulai 7 hingga 10 September 2011.
Program ini diharap akan dapat memberikan usaha sama perniagaan bagi industri tempatan dan luar negara ke arah memacu ekonomi negara melalui pembangunan aplikasi teknologi hijau dan seterusnya menyumbang kepada kesedaran pemeliharaan alam sekitar. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Ir. Haji Hamim bin Samuri [Ledang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Panjang jawapan. Soalan tambahan saya ialah tentang keterlibatan media ini. Sejauh mana media seperti media elektronik, cetak dan sebagainya faham dan terlibat serta bekerjasama dalam mempromosi dan menyebar luas tentang kefahaman dan kesedaran teknologi hijau tersebut? Adakah apa-apa geran Tuan Yang di-Pertua, kepada media bagi tujuan tersebut? Kalau tidak ada, adakah kerajaan bersedia untuk mempertimbangkannya dalam usaha untuk memberikan kesedaran yang menyeluruh dan akhirnya memulihara alam sekitar? Sekian, terima kasih.
Puan Noriah binti Kasnon: Terima kasih Yang Berhormat Ledang yang begitu banyak menunjukkan minat terhadap isu teknologi hijau di negara kita ini. Syabas. Sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, memandangkan teknologi hijau ini merupakan satu bidang yang baru di Negara kita, saya kira sebagaimana saya nyatakan tadi, promosi yang cukup efektif untuk kesedaran awam melalui dua komponen iaitu event ataupun pelaksanaan program-program dan juga melalui media yang saya kira akan mempengaruhi kejayaan pembangunan teknologi hijau di negara kita ini.
Pelbagai bentuk promosi telah dijalankan secara bekerjasama dengan pihak media melalui event misalnya, mereka ataupun pihak media terlibat dalam iklan-iklan ataupun hebahan-hebahan termasuklah melalui pameran, taklimat, pertandingan-pertandingan teknologi hijau.
Untuk road show juga media terlibat secara langsung dan begitu juga dengan Bulan Teknologi Hijau Negara dan juga terbaru melalui pelaksanaan event Karnival Komuniti Hijau di Titiwangsa,
Yang Berhormat. Untuk bajet ataupun peruntukan yang telah disediakan oleh pihak kementerian untuk tujuan promosi kesedaran tentang teknologi hijau ini Yang Berhormat, untuk tahun 2010 adalah sebanyak RM3 juta dan juga untuk tahun 2011 ini kementerian menyediakan sebanyak RM5 juta untuk tujuan promosi. Walaupun ia tidak secara langsung berbentuk geran kepada media, bagaimanapun saya kira ianya pasti akan mendapat kerjasama meluas daripada pihak media sebagaimana tahun lepas. Khasnya juga termasuk mempromosikan IGEM 2011 yang mana kita mempunyai kos ataupun bajet untuk promosi khas sebanyak RM1.8 juta pada tahun lepas dan RM1.4 juta khas untuk promosi IGEM untuk tahun 2011.
Untuk TV-TV ataupun media cetak, media elektronik yang terlibat, saya kira bolehlah saya sebutkan di sini Tuan Yang di-Pertua melibatkan stesen-stesen televisyen kerajaan dan juga swasta seperti TV3, Astro, RTM, Bernama, stesen-stesen radio seperti Sinar FM, Radio BERNAMA 24, Hitz FM, 175 Sport dan juga Business FM dengan izin Tuan Yang di-Pertua. Manakala media cetak termasuklah akhbar New Straits Times, Berita Harian, The Star, Harian Metro dan The Edge Weekly termasuklah juga yang kita paparkan melalui internet, Tuan Yang di-Pertua.
Berhubung dengan cadangan untuk memberi dana khas kepada media ini, insya-Allah, kita akan teliti perkara ini sewajarnya dan saya mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak media yang sentiasa membantu untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat tentang dasar-dasar dan juga amalan-amalan teknologi hijau di negara kita.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua soalan tambahan. Cakapan sejengkal dibawa sehasta. [Disampuk] Yang Berhormat, dengan jawapan yang begitu panjang, apakah sebenarnya yang berlaku di negara ini misalnya di Sungai Besar sendiri, apakah promosi dan pameran ini telah membawa kesan untuk mengurangkan penggunaan karbon? Apakah yang dilaksanakan untuk mengurangkan karbon, bekalan elektrik dengan berjuta-juta kenderaan di negara ini? Bolehkah Yang Berhormat terangkan dari segi hasil kerana kita NKRA dan sebagainya, kita pentingkan hasil dan meritokrasi yang dapat menghasilkan itu. Sekian, terima kasih.
Puan Noriah binti Kasnon: Terima kasih Yang Berhormat Kepong, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat, sejengkal kalau tidak dibantu oleh orang-orang seperti Yang Berhormat, dia tidak akan jadi sejengkal Yang Berhormat.
Jadi saya kira peranan dan tanggungjawab untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat tentang amalan teknologi hijau yang pastinya untuk jangka panjang akan mengurangkan lepasan gas rumah hijau ataupun greenhouse gas dengan izin Tuan Yang di-Pertua, perlu turut sama dimainkan oleh Ahli Yang Berhormat sama ada di kalangan Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional termasuklah juga saya kira Ahli-Ahli Yang Berhormat daripada pihak pembangkang. Ini kerana ianya Tuan Yang di-Pertua menjangkaui fahaman politik riadah bumi untuk kita, Negara Malaysia, untuk hidupan kita.
Banyak juga Yang Berhormat program-program sebagaimana yang saya sebutkan tadi yang telah kita bawa turun ke akar umbi untuk turut sama memberi peluang kepada rakyat akar umbi memahami apa itu aplikasi teknologi hijau dalam kehidupan dan bagaimana ianya akan memberi kesan kepada pemeliharaan alam sekitar jangka panjang.
Juga akan menjadikan bumi ini sebagai satu bumi yang lebih selesa, lebih selamat untuk didiami khasnya di negara kita ini termasuklah juga dengan apa yang telah dipersetujui oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam deklarasi Copenhagen 15 pada tahun yang lalu.
Saya kira ianya semua akan menjurus kepada kejayaan negara dalam menyediakan satu platform kepada kita semua untuk tinggal dalam sebuah negara yang lebih mesra alam dan lebih bersih untuk jangka masa yang panjang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
No comments:
Post a Comment