Friday 18 March 2011

KEDUDUKAN NCR LEBIH TERJAMIN DALAM FMU



Oleh: MAIL MATHEW

SEMUA pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Tinggi ke atas perbicaraan tuntutan hak NCR oleh penduduk Kg. Imahit di Kawasan Hutan Simpan Tomani baru-baru ini, kerana proses mahkamah jelas telah memberi keadilan dan hak NCR kepada Anak Negeri di Sabah.

Titik tolak keputusan itu, maka ia adalah satu bukti bahawa pihak Jabatan Hutan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan di luar batasan hak Anak Negeri yang terkandung dalam NCR.

Demikian dinyatakan Presiden SAKAG (Persatuan keturunan Dusun Liwan Anak Negeri Sabah) Haji Masmin Kadad (gambar), ketika memberitahu Sabahkini.net berhubung hak mutlak Anak Negeri dalam NCR (Native Customary Right) seperti dalam keputusan kes Kg Imahit baru-baru ini.

Dalam pada itu, anak negeri yang berkampung dan menetap di kawasan FMU juga akan menjadi lebih terjamin dengan keputusan Mahkamah tersebut oleh kerana kawasan FMU juga kawasan hutan simpan yang dilesenkan kepada syarikat-syarikat yang layak untuk mengurus pengurusan hutan mampan.

Tegasnya, malah dalam kawasan FMU, hak NCR lebih terjamin dan diperkukuhkan melalui perjanjian di antara syarikat FMU dan Jabatan Hutan.

“Saya difahamkan bahawa Perjanjian tersebut ia itu ‘Sustainable Forest management Licence Agreement’ yang di antara lain mensyaratkan bahawa mana-mana hak NCR yang terkandung dalam kawasan FMU perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut Enakmen Hutan 1968,” kata Masmin.

Selain daripada itu kata Haji Masmin, program Perhutanan Masyarakat, kemudahan asas, bekalan air, bekalan letrik dan jalanraya termasuk sekolah dan klinik juga menjadi tanggung jawab syarikat FMU untuk membantu kerajaan untuk melaksanakannya. Termasuklah juga memberi peluang pekerjaan dan latihan kemahiran kepada penduduk kampung dan sekitarnya dalam kawasan FMU.

“Ini bermakna bahawa kerajaan telah mengambil kira hak Anak Negeri semasa mewujudkan FMU pada ketika itu, jadi, saya merayu kepada pihak kerajaan supaya memantau dan dan memeriksa sama ada syarat-syarat perjanjian ini dipatuhi oleh pihak syarikat FMU atau tidak,” tegasnya.

Jika pelaksanan FMU tidak menepati perjanjian, kata Haji Masmin, maka hak NCR Anak Negeri akan juga tergugat dan malah diusir dari kawasan FMU seperti yang berlaku di Kg. Kawakahan.

Sehubungan itu, baru-baru ini beberapa wakil daripada Kg. Kawakahan bersama beliau sendiri telah buat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau terhadap sebuah syarikat FMU sebab telah mengabaikan hak NCR mereka.

“Kerajaan harus bertanggungjawab memastikan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian FMU dilaksanakan,” tegas Haji Masmin dengan serius.

No comments:

Post a Comment