Thursday 31 March 2011

LDP Vs SAPP=GERAKAN MENANG



Oleh: MUTALIB M.D

KEMELUT di sebalik enigma yang meranjau politik Sabah sejak kemasukan Mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin ke dalam Parti Gerakan baru-baru ini bukan sahaja menimbulkan chauvinistik perkauman, mentaliti prasangka dan libido parochial yang membuak-buak; malah halatuju dan halacara politik Sabah turut melonjak secara glokal.

Kemasukan Pang ke dalam Gerakan iaitu Adun Ketiga daripada Sabah selepas Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Au Kam Wah; melengkapkan ‘Fheng Sui’ iaitu angka ‘3’ atau ‘San’ yang bererti ‘Hidup’.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Malaysian People's Movement Party-GERAKAN) merupakan sebuah parti politik di Malaysia yang muncul daripada serpihan parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang diasaskan pada 24 Mac 1968 oleh bekas Presiden MCA yang kedua, Tun Dr. Lim Chong Eu. GERAKAN merupakan sebahagian daripada parti campuran iaitu Barisan Nasional semenjak 1974.

Presiden Gerakan terkini ialah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang mengambil-alih jawatan Presiden selepas Dr Lim Keng Yaik meletakkan jawatan pada 8 April 2007.

Gerakan hampir sirna pada Pilihanraya Umum 2008 dengan hanya memenangi 2 kerusi parlimen, berbanding 10 kerusi pada pilihan raya sebelumnya; sehingga dilucutkan jawatan kabinet dan paling parah, kehilangan kerajaan negeri Pulau Pinang; namun ‘Aura’ Gerakan mula bersinar di Sabah.

Walaupun digelar ‘Three-stooges’ oleh musuh politik mereka, namun dalam keadaan separa sedar, akhirnya ahli dan parti politik di Sabah akur kepada kepintaran ‘Three-Stooges’ ini yang sekaligus mengangkat martabat politik Sabah ke persada nasional.

Kejayaan rakyat Sabah ‘memperkuda’ UMNO pada 1991 telah dihalusi secara berhemah oleh ‘Three-Stooges’ bekas pemimpin LDP dan SAPP ini untuk menjinakkan Gerakan di Sabah, sekalipun tidak melalui pilihanraya umum kerana secara automatik Gerakan mengatasi kuasa legaslasi LDP dan MCA di Sabah.

Bak kata Abu Nawas, kemelut politik Sabah hanya boleh selesai jika dapat memasukkan unta melalui ke lubang jarum; maka ketiga ‘Three-Stooges’ ini berjaya memperkasa Gerakan; kerana secara saiwar politiknya, Gerakan ini merupakan ‘Gedung Politik’ era baru di Sabah sebagai parti alternatif; dan tidak mustahil suatu masa kelak menjadi nadi utama politik Sabah.

Mulai sekarang, Gerakan akan menjadi ‘Suara Timbang Tara Warga Tiong Hua’ dan dalam masa yang sama mula disukai masyarakat bumiputera di Sabah kerana konsep perjuangannya yang melata (merakyat) demi untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah melalui emansipasi politik secara terbuka.

Bagaikan sirih yang akan pulang ke gagang, Gerakan yang pernah dipimpin oleh Professor Syed Hussein Alatas (1968–1969) akan menjadi parti pelbagai kaum yang berasaskan komposisi masyarakat Cina seperti SAPP dan bukan lagi parti import, kerana ditunjangi oleh rakyat Sabah sendiri.

Tidak mustahil suatu masa kelak, jika UMNO gagal melayani aspirasi rakyat Sabah dengan baik dan saksama, maka Gerakan sudah tentu mampu mengemudi hasrat melambung rakyat Sabah, sekalipun pernah melakukan kesilapan besar dan melakukan ‘harakiri’ politik di Pulau Pinang.

Isu parti import hanyalah sentimen parokial dan chauvinistik perkauman yang sempit; tetapi terbukti berkesan apabila UMNO, MIC dan MCA berjaya menarik perhatian rakyat Sabah yang kini semakin matang dalam politik; tanpa terbuai oleh hasutan pembangkang di Sabah yang bagaikan lembut gigi daripada lidah.

Mungkinkah Gerakan akan menempah tiket dan meluaskan pengaruhnya di Sabah pada pilihanraya umum akan datang; apatah lagi selepas Pang digelincirkan daripada jawatan yang tidak wujud secara sah di dalam Perlembagaan Negeri Sabah iaitu Timbalan Ketua Menteri; tetapi menjadi rebutan dan agitasi poltik; ikuti analisa politik ini dalam siri kedua akan datang.

No comments:

Post a Comment