Thursday 24 March 2011

PELUPUSAN PLUMBUM SECARA SEIMBANG



Oleh: PUSAT RACUN NEGARA

PEMBANGUNAN seimbang merupakan satu inisiatif yang amat besar maknanya kepada rakyat, khasnya dalam membentuk satu masyarakat yang benar-benar berupaya mengecapi kesejahteraan dalam semua aspek.

Kesihatan merupakan salah satu tonggak dalam semua program pembangunan. Apa lagi memandangkan bahawa taraf kesihatan kini sering terancam berikutan pembangunan yang tidak seimbang.

Daripada satu aspek, tahun 90-an mempunyai pengertian istimewa dalam hal pembangunan seimbang. Satu contoh adalah pencemaran alam akibat daripada penggunaan petrol berplumbum di negara ini.

Misalnya mulai tahun 1999, syarikat-syarikat minyak di Malaysia telah digesa mengurangkan pembekalan petrol berplumbum ke stesen-stesen minyak mereka. Ini sejajar dengan gesaan United Nation Commission on Sustainable Development yang dibuat pada April 1994. langkah ini telah disambut baik oleh beberapa syarikat untuk menghentikan penjualan petrol berplumbum sejak baru-baru ini.

Bahaya Plumbum

Plumbum hasil daripada penggunaan petrol berplumbum merupakan satu-satunya sumber utama pencemaran alam sekitar. Ia boleh menyebabkan keracunan dan berbagai gejala kesihatan khasnya kepada kanak-kanak. Ini adalah kerana sistem penghadaman kanak-kanak dapat menyerap sehingga 50% daripada plumbum yang memasuki tubuh mereka. Tambahan pula, apabila tubuh badan dicemari plumbum, ia boleh menjejaskan proses pembangunan dan sistem tubuh buat berpuluh-puluh tahun.

Kesemua ini telah terbukti daripada berbagai kajian antarabangsa. Kaitannya dengan petrol berplumbum juga agak jelas. Misalnya di Amerika Syarikat, di antara tahun 1976-1991, terdapat pengurangan sebanyak 77% kandungan plumbum di dalam darah kanak-kanak yang dikaji berikutan langkah melupuskan penggunaan petrol berplumbum.

Sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa antara 15-18 juta kanak-kanak di negara-negara membangun mengalami kerosakan otak yang berkekalan akibat daripada keracunan plumbum. Lagi sekali pencemaran daripada kenderaan menggunakan petrol berplumbum terlibat.

Usaha pelupusan yang sama juga telah disokong oleh Bank Dunia. Mengikutnya lebih daripada 80 peratus kanak-kanak antara umur 3 - 5 tahun diagakkan mempunyai paras plumbum dalam darah yang membimbangkan.

Melalui program Pengurusan Pencemarannya, Bank Dunia berhasrat untuk melupuskan bekalan petrol berplumbum di seluruh dunia.

Kata C. Koch-Weber, Pengarah Pengurusan Bank Dunia di satu persidangan antarabangsa: “Faedah diperolehi berikutan melupuskan gasolin (petrol) berplumbum adalah serta merta dan boleh diukur, dan jauh lebih banyak mengatasi kos.”

Dalam laporannya pula, Bank itu mengatakan bahawa pelupusan petrol berplumbum adalah satu langkah dasar yang membawa faedah sodial yang ketara. Namun iltizam politik, dasar sokongan, penyelarasan berbagai sektor dan kefahaman serta sokongan masyarakat umum adalah elemen-elemen penting unutk tujuan ini.

Pendedahan Plumbum di Malaysia

Setakat ini data-data tentang keracunan plumbum di Malaysia masih belum lengkap. Kajian tempatan yang ada walaubagamanapun menunjukkan beberapa petanda bahawa masalah ini juga berlaku di kalangan masyarakat kita khasnya kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun.

Pusat Racun Negara (PRN) bersama-sama Yayasan Sabah sejak tahun 1996 telah mendokumentasikan bibit sedemikian pada segolongan kanak-kanak pra-sekolah di kawasan Pantai Barat Sabah.

Kajian ini telah masuk fasa kedua (1997) dan dijangkakan akan diteruskan pada fasa ketiga dan keempat (1999-2000). Fasa terkemudian akan melibatkan kajian pengaruh pendedehan plumbum ke atas kecerdasan mental (IQ) kanak-kanak.

Dalam pada itu, kajian awal yang serupa telah dijalankan di Kawasan Jelutong, Pulau Pinang. Ia juga menampakkan kecenderongan yang sama, yakni anggaran 6 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji mempunyai paras plumbum dalam darah membimbangkan (lihat sebelah). Namun penemuan ini belum dapat memberi gambaran sebenarnya apa yang berlaku.

Walau bagaimanapun PRN kini sedang merancang untuk meluaskan kawasan yang sama di beberapa tadika di negeri Johor. Oleh itu, pihak yang berkenaan digesa untuk memberi perhatian selanjutnya dalam hal ini.

Kesan utama kehadiran plumbum di dalam darah khususnya bagi kanak-kanak

-Anemia (kekurangan darah) sehinggalah koma (tidak sedarkan diri).

-Pertumbuhan fizikal dan pembangunan mental.

-Kerosakan sistem saraf di otak.

-Pengurangan tahap kecerdasan (IQ) kanak-kanak.

-Kesukaran belajar, kurang beri tumpuan dan tingkahlaku luar biasa.

Di negara-negara maju, beberapa usaha pemantauan disusuli terutamanya pada kanak-kanak di kawasan berisiko tinggi. Ini termasuklah melalui pemantauan:

-paras plumbum dalam darah bagi kanak-kanak dari masa ke semasa.

-tahap kesihatan kanak-kanak akibat pendedahan kepada plumbum.

-prestasi pembelajaran kanak-kanak melalui ujian IQ.

-kualiti persekitaran - persekolahan, keluarga dan rekreasi.

-pemakanan seimbang.

Kajian pendedahan plumbum di Pulau Pinang

Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang (YBI) dan Pusat Racun Negara (PRN) telah melakukan satu kajian pendedahan plumbum di beberapa kawasan yang telah dikenalpasti oleh pihak YBI.

Tujuan kajian ini ialah untuk mengenalpasti tahap pendedahan plumbum pada kanak-kanak dalam peringkat umur pra-sekolah di kawasan kajian.

Aktiviti dan kaedah kajian

Sebanyak lima (5) kawasan di daerah Kampong Jelutong telah dikenalpasti untuk menyertai kajian ini; termasuk Kampong Kota Giam, Jalan Tengku, Jalan Masjid, Jalan Madrasah, Jalan Md. Taib, Jalan Pokok Asam dan Bukit Dumbar.

Seramai 162 orang pelajar terlibat. Sampel darah (3 ml) telah diambil oleh doktor panel YBI selepas mendapat izin secara bertulis daripada ibu-bapa/waris kanak-kanak berkenaan.

Sampel tersebut diuji menggunakan alat spektrofotometer serapan atom atau relau pemanasan bergrafit (Perkin Elmer SIMAA 6000) menggunakan pembetulan latar kesan Zeeman.

Alat ini adalah yang paling sensitif dalam pengesanan plumbum dalam darah pada tahap 0.025 mikrogram/100ml. Setiap sampel diulangi analisis sekurang-kurangnya tiga (3) kali dan nilai purata digunakan sebagai keputusan terakhir.

Ini adalah untuk memberi nilai yang benar-benar jitu. Apabila kepekatan plumbum didapati pada tahap 10 mikrogram/100ml atau lebih, kajian ulangan pengesahan dilakukan.

Sebelum daripada itu, satu sesi taklimat tentang tujuan dan tatacara kajian telah diberikan kepada penjaga/ibu-bapa kanak-kanak terbabit oleh kakitangan PRN dengan kerjasama pihak YBI. Sambutan yang diberikan amatlah menggalakkan.

Hasil kajian

Penemuan utama yang diperolehi adalah:

Penentuan tahap pendedahan plumbum keseluruhannya menampakkan sebanyak 5.5% daripada sampel darah kanak-kanak yang dianalisis mengandungi plumbum 10 mikrogram/100ml atau lebih berbanding dengan 37.7% antara 5-9.99 mikrogram/100ml dan 56.8% di antara 0.33-4.99 mikrogram/100ml.

Julat kepekatan plumbum dalam darah yang dianalisis adalah antara 0.48 hingga 17.14 mikrogram/100ml. Tiada sampel yang tidak mengandungi plumbum. Daripada segi populasi kanak-kanak yang terlibat, kajian ini menunjukkan bahawa peringkat umur mempengaruhi pendedahan plumbum.

Kanak-kanak dalam usia enam (6) tahun dan lebih mempunyai tahap pendedahan yang lebih tinggi berbanding dengan peringkat umur yang lebih awal pada kepekatan 55 mikrogram/100ml ke atas. Ini menampakkan kemungkinan besar berlakunya penyerapan plumbum secara berterusan dari masa ke masa.

Kesimpulan

Kesimpulan, walaupun secara umum tahap keracunan plumbum di kalangan kanak-kanak dianggap sebagai tidak membimbangkan, namun setakat ini hampir 6% daripada kanak-kanak yang dikaji memerlukan perhatian serius. Memandangkan kajian telah tertangguh sejak antara tahun 1997, langkah yang perlu diambil termasuklah:

-Mengulangi kajian pada populasi yang berkepekatan plumbum 5 mikrogram/100ml dalam masa 6–12 bulan.

-Membuat kajian susulan kepada ahli-ahli keluarga lain, khususnya bagi mereka yang mempunyai kepekatan plumbum 5 mikrogram/100ml atau lebih, serta

-Merancang dan menyusun kajian yang lebih meluas merangkumi seluruh Pulau Pinang.

Kelompok-kelompok umur yang terlibat juga perlu dikenalpasti dengan lebih dekat lagi. Ini akan membolehkan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan dilakukan secara berkesan lagi.

Pengenalpasti kawasan-kawasan berisiko tinggi juga masih belum begitu jelas setakat ini. Pemetaan kawasan dapat dilakukan apabila bilangan sampel yang diuji adalah cukup besar.

No comments:

Post a Comment