Wednesday 30 March 2011

SEDCO BANKRAP MANGSAKAN BUMIPUTERA?




Saudara Pengarang,

SEBAGAI sebuah GLC kerajaan yang paling berpengaruh, SEDCOVEST sewajarnya menjaga nama baik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang telah berjaya mengangkat martabat SEDCOVEST melalui beberapa pembaikan, namun sejak akhir-akhir ini menimbulkan rungutan ramai.

Saya tujukan surat terbuka ini kepada Pengerusi SEDCO dan Tetuan Antin Zakaria & Rauf yang bertindak di luar peri kemanusiaan dan membelakangi undang-undang yang berkuat kuasa dan menganiaya peniaga bumiputera seperti saya.

Syarikat saya mula menyewa premis Lot S-16 milik SEDCO di Wawasan Plaza, Kota Kinabalu pada 1 Febuari 2007. Pada mulanya tidak menghadapi sebarang masalah tetapi selepas satu tahun menyewa, SEDCOVEST mula menunjukkan sikap tidak professional mereka tidak lagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan.

Walaupun saya telah berpuluh kali membuat aduan kepada pihak pengurusan tetapi semua aduan saya dan penyewa lain bukan sahaja tidak diendahkan atau dilayan; malah kami pula diberi amaran.

Selama bertahun saya menyewa di Tingkat 2, Wawasan Plaza ini, tandas tidak boleh digunakan langsung namun hanya dua bulan lalu tandas tersebut telah dibaiki. Manakala lorong awam di hadapan premis yang saya sewa semuanya tidak berlampu, seperti berjalan di dalam gua batu.

Syarikat saya terpaksa mengeluarkan peruntukan untuk membeli dan memasang 14 unit lampu kalimantang di kawasan laluan awam di hadapan premis yang saya sewa dan hingga sekarang lampu tersebut masih digunakan oleh semua penyewa di kawasan tersebut.

Jika saya tidak memasang 14 unit lampu tersebut, mungkin sehingga hari ini para penyewa masih lagi menggunakan lorong tersebut dengan bergelap seperti ‘Sibuta Kehilangan Tongkat.’

Syarikat saya tidak pernah gagal membayar caj perkhidmatan kepada SEDCOVEST sejak bertahun lalu tetapi mereka tidak melakukan sebarang penyelenggaraan.

SEDCOVEST telah gagal dan ingkar untuk melaksanakan tugas penyelengaraan.

Ramai penyewa di kawasan ini tidak berpuas hati di atas kerja penyelengaraan yang sepatutnya dilakukan SEDCOVEST dengan baik. Tidak hairanlah banyak premis di kawasan ini kosong tiada penyewa.

Penghawa dingin/aircond selalu tidak berfungsi sehingga semua kakitangan syarikat MISB tidak boleh membuat kerja di dalam premis tersebut dan ramai kakitangan tidak tahan kepanasan lalu berhenti kerja.

Tahun lalu, premis saya tidak ada pendingin hawa selama 6 bulan disebabkan ada kerosakan teruk. Setiap dua atau tiga hari, saya terpaksa membuat aduan kepada petugas yang berada di lobi SEDCO disebabkan pendingan hawa tidak berfungsi dengan baik sehingga ke hari ini.

Walaupun saya tidak pernah gagal membayar kos ‘Service Charges’ tetapi SEDCOVEST tetap gagal melaksanakan tugas penyelengaraan di kawasan tersebut.

Saya telah membayar kos penyelangaraan (service charges) sejumlah RM 20,582.85 dan sewa premis RM 14,487.50. Oleh kerana pihak SEDCOVEST telah GAGAL dan INGKAR melaksanakan penyelengaraan maka saya terpaksa menuntut untuk dikembalikan kos ‘Services Charges’ sejumlah RM 15,355.41.

Lebih malang lagi baru-baru ini, Tetuan Antin Zakaria & Rauf yang mewakili SEDCO telah membuat tuduhan yang amat kejam dan berniat jahat (Male-Fide), menjatuhkan, memalukan, menghina, merosakkan atau memfitnah kerana menuduh saya menduduki premis tersebut secara ‘HOLDING OVER’.

Tetuan tersebut juga mengugut saya untuk mengenakan tindakan undang-undang untuk membawa kes ini ke Mahkamah dalam masa 7 hari dari notis mereka yang diserahkan pada 08 Mac 2011; selain mengugut saya untuk membuat laporan polis untuk menangkap saya yang dianggap sebagai penjenayah atau pun gangster yang ternama di Negeri Sabah.

Oleh kerana Tetuan tersebut telah mengeluarkan surat rasmi tersebut kepada saya, maka saya terpaksa bersedia menghadapi tindakan undang-undang di Mahkamah dan juga tindakan oleh pihak Polis.

Sebagai peguam profesional dan berintegriti, sepatutnya Tetuan tersebut tidak semudah itu mengugut dan menuduh saya sedemikian kerana telah menjatuhkan imej syarikat saya dengan menyatakan bahawa saya menduduki premis tersebut secara ‘Holding Over.’

Sehubungan itu, saya meminta jasa baik Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi SEDCO agar campurtangan sebelum terlambat kerana peguam yang dilantik mewakili SEDCO telah bertindak ‘ala Mafia’ dan menganiaya bumiputera yang berniaga secara ‘bonafide’.


Salam Hormat,


ABDUL KARIM AHMAD


Bagi Pihak MULTI INRICH SDN BHD

No comments:

Post a Comment