Monday 14 March 2011

SEMANGAT ANTANOM MEMBARA DI PARLIMEN



Oleh: MUTALIB M.D

SETELAH sidang parlimen hangat dengan kes penggantungan Ketua Pembangkang pada tahun lalu, persidangan parlimen kali ini semakin membara dengan Semangat Pahlawan Murut yang perkasa, Antanom yang meresapi jiwa Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi; sekaligus membuktikan Parlimen Malaysia telah semakin matang dan tidak memerlukan pembangkang kerana Ahli Parlimen BN boleh berfungsi menjadi ‘pembangkang’ yang baik.

Raime yang telah dua kali membangkitkan isu plumbum pada 2009 dan 2010, memulakan langkah perbahasan Usul Terima Kasih kepada Titah DYMM Yang Di Pertuan Agong dengan menyuarakan kembali isu alam sekitar, tetapi lebih menumpukan perbahasan selama 15 minit terhadap isu penggunaan bateri asid plumbum di sekolah-sekolah di luar bandar, sebelum parlimen disambung pada jam 10 pagi esok.

Dalam ucapan membaranya, Raime mempersoalkan sikap dan keprihatinan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Pelajaran yang telah membazirkan wang rakyat melalui penggunaan bateri asid plumbum yang mahal dan berbahaya sehingga menyebabkan ketirisan tabung pembangunan dan akibatnya bumiputera Sabah menjadi mangsa ketidak seimbangan ekonomi.

Raime turut menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan menafikan hak pribumi Sabah untuk menikmati hak asasi dan kemudahan asas kerana terlalu banyak membazirkan wang di Semenanjung Malaysia; melakukan projek yang hanya menguntungkan pihak tertentu dan menyuburkan pengaruh pembangkang.

MELETUP....Bateri asid plumbum yang meletup di SK Sumambu hanya sehari setengah selepas digunakan.

Berikut bahagian pertama ucapan penuh Raime dan Sabahkini.net akan menyiarkan baki ucapan Raime selepas beliau menyambung ucapannya di Dewan Rakyat pada jam 11 pagi esok selepas sesi soal jawab.

Tuan Yang Di Pertua,

SAYA ingin membangkitkan permasalahan berkaitan dengan keracunan plumbum yang sedang berleluasa di Negeri Sabah menerusi penggunaan bateri asid plumbum.

Sebagaimana yang kita semua amat maklum, Negeri Sabah tidak mempunyai kemudahan untuk mengitar semula bateri asid plumbum yang terpakai. Akibatnya, pelupusan bateri asid plumbum yang terpakai di Negeri Sabah telah menjadi suatu punca kebimbangan kepada Wakil-Wakil Rakyat seperti saya kerana ia merupakan antara punca utama keracunan plumbum terhadap rakyat dalam kawasan Parlimen saya.

Sekiranya ia dilupuskan dengan cara menanamnya ke dalam bumi, asid sulfurik dan logam plumbum boleh meresap ke dalam bumi sehingga menembusi saluran bekalan air bawah tanah dan mencemari bekalan air bawah tanah.

Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di kawasan yang telah dicemari dengan keracunan plumbum akan turut tercemar dengan kehadiran logam plumbum di dalamnya. Haiwan yang memakan tumbuh-tumbuhan ini juga akan turut terdedah kepada keracunan plumbum.

Akhirnya, manusia yang meminum air dan memakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang telah diracuni dengan keracunan plumbum akan turut terdedah dan diracuni dengan keracunan plumbum.

Apa yang paling ketara daripada kenyataan ini ialah kesemua bateri asid plumbum akan mengakibatkan pencemaran kepada alam sekitar.

Kebimbangan juga turut menyelubungi benak kepala kami apabila memikirkan bahawa keracunan plumbum ini mengakibatkan kesan yang amat buruk khususnya kepada kanak-kanak.

Ujian saintifik telah membuktikan bahawa kanak-kanak amat mudah mengalami kemudaratan apabila terdedah kepada keracunan plumbum. Keracunan plumbum akan merosakkan sistem pernafasan, penghadaman, kecergasan dan mental kanak-kanak. Ia juga boleh mengakibatkan kecacatan kepada janin.

Bateri plumbum merupakan suatu bahan, dengan izin, ‘heavy metal toxic’. Ia mengakibatkan keracunan dan kerosakan yang tidak boleh diubah semula (unreversable effect).

Menurut satu laporan yang dilaporkan dalam Majalah Newsweek Magazine bertarikh 17.2.1992 di bawah tajuk ‘Special Feature Article : Review of Lead Toxicity, Part 1’ oleh Razak Haji Lajis, kajian yang telah dijalankan pada tahun 1992, melaporkan bahawa 6.9% kanak-kanak yang belum bersekolah (di bawah umur 6 tahun) di negeri Sabah mengalami keracunan plumbum melebihi paras merbahaya di daerah-daerah Ranau, Kota Belud dan Tuaran.

Kajian tersebut mengatakan bahawa kanak-kanak di daerah-daerah tersebut lebih terdedah kepada keracunan plumbum berbanding dengan kanak-kanak di daerah lain di negeri Sabah. Ini adalah bukti bahawa pendedahan kepada keracunan plumbum secara berterusan akan membawa kesan yang amat negatif, khususnya kepada kanak-kanak.

Tuan Yang DiPertua

Saya ingin mengemukakan soalan khususnya kepada Kementerian Penerangan, Kesenian dan Komunikasi (KPKK), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkaitan dengan aktiviti pembangunan sama ada yang mereka telah bangunkan atau di bawah seliaan mereka.

Syarikat-syarikat komunikasi menggunakan bateri asid plumbum di stesen utama mereka atau dengan izin ‘Base Station’, sistem solar elektrik yang dipasang di sekolah-sekolah dan sistem solar elektrik yang dipasang di kawasan kampung-kampung dan luar bandar oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang kesemuanya menggunakan bateri asid sulfurik bagi tujuan menyimpan bekalan letrik yang dijana secara solar selama beberapa dekad. Saya ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk melupuskan bateri asid plumbum secara selamat?

Bateri asid plumbum yang digunakan dalam pembangunan yang telah saya nyatakan di atas adalah sama seperti bateri asid plumbum yang kita gunakan dalam kenderaan kita yang lazimnya hanya bertahan selama setahun.

GERMANY...Bagaimana bateri asid plumbum buatan Germany sebesar ini boleh masuk ke Sabah masih menjadi misteri.

Saya percaya sehingga ke hari ini, tiada apa-apa kontrak penyelenggaraan ke atas bateri asid plumbum pernah dibuat. Bagaimanakah usaha kita menegakkan slogan ‘Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’?

Perlembagaan Persekutuan menjamin keistimewaan kepada bumiputera yang sering dilaung-laungkan oleh Yang Berhormat Pasir Mas. Orang Pribumi Sabah yang merupakan majoriti penduduk Sabah adalah juga bumiputera. Lebih daripada tiga puluh peratus (30%) kawasan di Sabah tidak mendapat bekalan elektrik secara sistem grid. Akibatnya, penduduk-penduduk di kawasan yang terlibat terpaksa bergantung penuh kepada sistem set generator yang tidak terjamin keberkesanannya untuk mendapat bekalan tenaga atau tidak mendapat bekalan tenaga langsung.

Tuan Yang Di Pertua,

Kita mengambil maklum bahawa Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk menghubungkan kawasan-kawasan yang terbabit dengan bekalan tenaga daripada sistem grid bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan asas abad ke dua puluh satu atau dengan izin ‘21st Century Amenities’ pada kos abad ke dua puluh satu.

Saya ingin menimbulkan isu kepada Yang Berhormat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bahawa beliau seharusnya menyedari orang pribumi Sabah masih belum mendapat peluang ekonomi di abad ke dua puluh satu. Bagaimanakah boleh kita menghendaki mereka untuk membayar perkhidmatan pada harga abad kedua puluh satu?

Beratus-ratus juta ringgit telah dibelanjakan untuk membekalkan tenaga ke kawasan-kawasan luar bandar hanya untuk terputus bekalan beberapa bulan kemudiannya kerana orang kampung tidak mampu menanggung kos untuk menyelenggara sistem yang telah dipasang tersebut.

Saya telah menggunakan dana yang diperuntukkan kepada saya oleh pihak kerajaan untuk memasang sistem solar yang menggunakan bateri lithium polymer lebih kurang setahun yang lalu.

Pada akhir tahun yang lalu, saya telah memasang di Kampung Sumambu dalam Daerah Tenom untuk 41 isi buah rumah dan pada awal tahun ini untuk 39 buah lagi isi rumah di Kampung Katubu di daerah kecil Kemabong dalam Daerah Tenom.

Kedua-dua pemasangan tersebut memakan belanja sejuta ringgit lebih dan menghasilkan bekalan sebanyak 40 Kilowat sejam dan jaminan selama 5 tahun dan dibekalkan oleh kontraktor tempatan.

Tuan Yang DiPertua,

Sebaliknya, saya perhatikan bahawa sistem solar yang telah dibangunkan di sekolah-sekolah seperti di Sekolah Rendah Sumambu, di Kampung Sumambu oleh Kementerian Pelajaran telah dipasang dengan sistem berkuasa 15 Kilowat sejam dan pada kos sebanyak RM 6 juta ringgit.

Sistem tersebut telah berfungsi selama satu setengah jam hanya untuk bateri asid plumbum meletup. Berdekatan dengan sekolah tersebut mengalir Sungai Padas yang merupakan, bekalan air utama untuk Daerah Tenom dan kawasan sekitarnya.

Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah berapa banyakkah plumbum dan asid sulfurik telah berada dalam Sungai Padas ini akibat pelupusan bateri asid plumbum yang terpakai ke dalamnya?

Daripada perkara-perkara yang telah saya bangkitkan dia atas, saya ingin menambahkan peringatan kepada Kerajaan bahawa kaum pribumi di Sabah telah diperuntukkan dengan beberapa keistimewaan khas oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun demikian, peratusan besar kaum pribumi kami masih belum dapat menikmati bekalan air bersih, bekalan tenaga elektrik mahupun kemudahan perhubungan jalanraya.

Jadi, apakah makna dan di manakah keistimewaan khas ini? Atau apakah yang kita maksudkan dengan keistimewaan ini sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan jika kaum pribumi kami berterusan dinafikan dengan bekalan dan kemudahan asas ini?

Sekolah Rendah di Kampong Sumambu juga telah mendedahkan suatu isu lagi iaitu bumiputera yang serba miskin dan kekurangan dengan kemudahan asas telah dipergunakan untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu sementara anak-anak kami yang belajar di sekolah-sekolah ini pula terdedah kepada bahaya keracunan plumbum.

Saya ingin bertanya kepada Kementerian Pelajaran apakah status terkini berkenaan pemasangan sistem solar yang menggunakan bateri asid plumbum di sekolah-sekolah di seluruh Negeri Sabah yang mana salah sebuah sekolah yang dipasang dengan sistem tersebut telah terbakar?

Adakah sistem solar yang dipasang tersebut dapat menjamin bekalan yang berterusan dan stabil dan apakah jaminan yang dapat diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran bahawa anak-anak kami akan terlindung daripada bahaya keracunan plumbum menerusi sistem solar yang menggunakan bateri asid plumbum tersebut?

Tuan Yang DiPertua,

Saya amat berharap bahawa apabila Kerajaan bercakap tentang kemudahan asas di mana berpuluh-puluh billion yang akan dibelanjakan seperti peruntukan sebanyak RM 36 bilion untuk membangunkan, dengan izin, sistem ‘Mass Rapid Transit’ atau ‘MRT’ sedangkan kawasan yang terbabit telah pun mempunyai rangkaian jalanraya dan lebuhraya yang moden dan diswastakan.

Peruntukan sebanyak RM 8 bilion juga telah dibuat untuk membersihkan Sungai Klang sedangkan sungai ini telah dicemari oleh penduduk-penduduk di Lembah Klang sendiri. Mereka ini pula sentiasa tidak menunjukkan sokongan terhadap segala usaha pembangunan yang dibuat oleh Kerajaan dan sebaliknya hanya menyokong pihak pembangkang.

Saya sentiasa tertanya-tanya mengapakah Kerajaan harus memperuntukkan kepada mereka ini yang menyokong kerajaan pembangkang dengan peruntukan yang sebegitu banyak sedangkan bumiputera Sabah yang miskin dan sentiasa tidak berbelah bahagi menyokong Kerajaan masih belum dapat menikmati atau menikmati kemudahan asas yang amat tidak mencukupi sama ada bekalan air bersih, tenaga letrik atau kemudahan jalanraya.

Apa yang ketara, bumiputra kami di sebalik diberi peruntukan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka sebaliknya didedahkan dengan keracunan plumbum

Bersambung esok…..

12 comments:

  1. Harap penjelasan akan dibuat mengenai isu ini.

    ReplyDelete
  2. harap setiap persoalan yang dikemukakan akan dijawab dan tindakan yang sewajarnya dapat diambil bagi menyelesaikan setiap permasalahan rakyat.

    ReplyDelete
  3. Sudah tiba masanya untuk Sabah menikmati lebih banyak kemudahan sama seperti semenanjung. Hal ini kerana SM suda begitu maju dan tidak memerlukan begitu banyak pembangunan berbanding Sabah.

    ReplyDelete
  4. Apa sahaja untuk kemajuan Sabah, pasti disokong penuh oleh rakyat.

    ReplyDelete
  5. kementerian berkenaan harus bertanggungjawab dan memberikan penjelasan.

    ReplyDelete
  6. sabah juga berhak mendapat kemudahan yang selamat digunakan..

    ReplyDelete
  7. Ada2 isu yang timbul oo... Semoga penjelasan dapat diberikan bagi mengelakkan kekeliruan berlanjutan.

    ReplyDelete
  8. Suatu yang pasti Sabah dan Sabahn berhak utk nikmati kemajuan secara harmoni dan selamat:)

    ReplyDelete
  9. lebih baik hentikan sahaja penggunaan bateri plumbum. kan kita ada bateri lithium yang lebih selamat dan bersih. lebih baik beralih kepada bateri tersebut.

    ReplyDelete
  10. jika semua pemimpin2 BN di Sabah mempunyai semangat seperti Datuk Raime Unggi, pasti Sabah akan jauh lebih baik dari hari ini. saya harap kerajaan persekutuan tidak membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap isu yang telah dibangkitkan oleh beliau. dan saya juga berharap supaya Datuk Raime akan terus memperjuangkan nasib rakyat Sabah dan tidak sekali2 tunduk dengan kerajaan pusat.

    ReplyDelete
  11. Terima kasih kerana mementingkan hak penduduk yang terancam dengan penggunaan bateri plumbum ini. maka kerajaan akan bertindak bagi menyelesaikan masalah ini.

    ReplyDelete
  12. Hopefully there is a reasonable explanation regarding this.

    ReplyDelete