Tuesday 22 March 2011

SYABAS DAN TAHNIAH INNOVASI TNB



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

“SYABAS dan Tahniah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana berjaya mereka cipta teknologi aplikasi bateri asid plumbum yang boleh tahan lama sehingga 10 tahun dan wajar diiktiraf sebagai peneraju ‘tenaga hitam’ (timah hitam) oleh Guinness Books of World Record,” ujar Aktivis Alam Sekitar dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu.

Bagaimanapun kata Patrick, beliau kesal dengan sikap ‘egoistik’ TNB yang cuba membohongi dan memperbodohkan rakyat Sabah setelah mereka gagal tiga kali memujuk rakyat Sabah agar menerima Janakuasa Arang Batu.

“Kali ini mereka menghina rakyat Sabah dengan mendakwa bateri asid plumbum yang digunakan di stesen Janakuasa Solar Hibrid Pulau Banggi sebagai selamat, murah dan tahan lama sekalipun rakyat Malaysia sudah tahu bahawa bateri berkenaan telah diharamkan di negeri Perak dan 90 peratus negara di dunia,” tegas Patrick ketika mengulas laporan Sabahkini.net bertajuk TNB Kata Bateri Plumbum Selamat?’

Patrick tidak faham apakah agenda sebenar TNB mempertahankan penggunaan bateri asid plumbum dalam industri tenaga alternatif di Malaysia termasuk arang batu yang terbukti mencemar alam sekitar dan punca pemanasan global.

Memandangkan Malaysia adalah salah satu negara yang menandatangani Basel Convention, maka kata Patrick, apakah TNB berniat untuk memalukan Malaysia dengan meletakkan status negara ini sebagai tidak bertamaddun dengan menafikan hak rakyatnya untuk bebas daripada sebarang pencemaran logam berat yang berbahaya, sekaligus mencemar alam sekitar?

“Saya tidak faham kenapa TNB tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar sedangkan mereka telah melakukan kesalahan menyeludup plumbum ke Sabah tanpa lesen yang sah daripada JAS,” ujar Patrick yang kecewa kerana TNB lepas tangan ketika menjawab lapan soalan yang diutarakan Sabahkini.net kepada C.E.O TNB, Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Patrick lebih bingung kerana Sabah tidak mempunyai Pusat Pelupusan Plumbum dan sudah pastinya kontraktor yang dilantik TNB untuk melupuskan bahan berkenaan akan membuang bateri plumbum terpakai ke laut atau menanamnya ke dalam tanah atau meleburkannya secara haram di Sabah; sehingga kesannya akan menyebabkan kecacatan kekal dan kematian kepada kanak-kanak dan orang dewasa.

“Persoalannya apakah pihak berkuasa pelabuhan di Sabah akan membenarkan bateri terpakai tersebut dibawa keluar daripada Sabah dan apakah Pelabuhan Kelang akan membenarkan bateri tersebut masuk kerana mereka tahu plumbum bukan sahaja tidak boleh diimport, eksport malah tidak dibenarkan transit di negara yang menandatangani Basel Convention?,” tanya Patrick yang curiga dengan kaedah pelupusan bateri plumbum yang digunapakai di semua stesen janakuasa solar hibrid di Sabah.

Isu perbezaan harga antara bateri asid plumbum dengan lithium ion dan terkini lithium polymer, kata Patrick, tidak sepatutnya timbul kerana kos untuk memulihara dan menguatkuasa undang-undang alam sekitar lebih mahal daripada bateri lithium yang mesra alam dan boleh dikitar semula tanpa sebarang kesan kepada manusia.

“Bukankah bateri lithium polymer buatan Malaysia, yang bukan sahaja diimport oleh negara yang mengharamkan bateri plumbum, malah bateri tersebut diekport semula oleh negara maju ke Malaysia; sedangkan bateri tersebut dikilangkan di negara kita? Tidakkah berbaloi jika kita membeli terus daripada kilang kita di Malaysia?,” soal Patrick yang menggesa agar KKLW menilai semula sistem perolehan bagi bateri solar hibrid dengan mengharamkan penggunaan bateri asid plumbum buatan Jerman, Republik Checz, China, Taiwan dan sebagainya.

Patrick turut terkilan dengan jenaka TNB yang mendakwa bahawa bateri asid plumbum yang digunakan di semua Stesen Janakuasa Solar Hibrid tahan lama sehingga 10 tahun sedangkan teknologi sedia ada hanya memberi jaminan selama enam bulan sehingga setahun bagi jangkahayat bateri asid plumbum.

“Jika benar dakwaan TNB, pengguna kereta di Malaysia perlu mendapat khidmat nasihat daripada TNB bagaimana menggunakan bateri kereta mereka agar boleh tahan sehingga 10 tahun tanpa perlu mengantikannya setiap tahun,” ujar Patrick yang meminta agar TNB tidak membuat jenaka bodoh ketika rakyat Sabah bimbang dengan pencemaran plumbum di Sabah.

Sehubungan itu, Patrick mengingatkan TNB agar meningkatkan profesionalisme kerana anak syarikat mereka di Sabah, SESB gagal menjalankan tugas untuk menjana kuasa sehingga ganguan elektrik berlaku setiap hari dan kos operasi semakin meningkat menyebabkan SESB menanggung kerugian setiap bulan.

Walaupun sudah lebih 47 tahun Sabah merdeka, namun TNB dan SESB gagal memastikan rakyat di pinggir bandar dan di luar bandar Sabah dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari tanpa sebarang gangguan sebagaimana yang dinikmati oleh penduduk di Semenanjung Malaysia.

Keadaan ini, kata Patrick, memaksa pemimpin Sabah seperti Datuk Raime Unggi (MP Tenom) dan Mendiang Edmund Chong Ket Wah (MP Batu Sapi) menggunakan inisiatif mereka sendiri dengan menggunakan sistem solar yang menggunakan bateri lithium polymer untuk menjana elektrik bagi penduduk luar bandar yang dinafikan hak mereka oleh SESB.

“Ke mana menghilangnya peruntukan berbilion ringgit projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang disalurkan melalui KKLW dan dilaksanakan TNB kerana kualiti bekalan elektrik di Sabah semakin teruk dan menimbulkan rungutan orang ramai,” ujar Patrick yang menyebut gangguan bekalan elektrik di Pusat Peranginan Kundasang berlaku setiap hari tanpa ada usaha SESB untuk meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik.

No comments:

Post a Comment