Sunday 18 September 2011

16 PEGAWAI SPRM IKUTI KURSUS SARJANA DI UKM



SERAMAI 16 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi kerajaan dan swasta akan mengikuti kursus Sarjana Sains Sosial ( Pengajian Rasuah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi sesi baru yang bermula pada 12 September 2011.

Pembangunan modal insan yang berpengetahuan, professional dan terlatih dalam memerangi jenayah rasuah merupakan salah satu hasrat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas rasuah.

Selaras dengan hasrat ini, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang merupakan sebuah pusat latihan pencegahan rasuah dalam negeri, serantau dan antarabangsa telah mengorak langkah untuk menawarkan kursus jangka panjang ini.

Kursus jangka panjang peringkat sarjana ini telah dirangka dan ditawarkan secara kerjasama dengan UKM sejak 2009. Pengambilan kali ketiga kursus ini akan memakan masa selama 18 bulan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Zakaria Jaafar berkata, Suruhanjaya ini sedang mempertimbang untuk membenarkan mahasiswa luar negara mengikuti program ini mulai tahun depan. Pertimbangan untuk memberi laluan kepada mahasiswa asing dalam program ini dibuat selepas agensi pencegahan rasuah dari Brunei menunjukkan minat menghantar mahasiswa mereka.

“Program ini bukan sahaja menarik minat pelbagai agensi untuk menghantar kakitangan mereka malah turut membuka mata agensi anti-rasuah dari luar negara,” katanya.

Pengarah MACA, Abdul Wahab Abdul Aziz, mengucapkan tahniah dan syabas kepada peserta-peserta program ini serta menasihati mereka untuk menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang pengajian.

Turut hadir bersama semasa majlis perasmian pengambilan baru ini adalah Ketua Penolong Pendaftar Kanan UKM Othman Ahmad serta Penyelaras Program UKM-SPRM Dr. Mohd. Fauzi Sukimi.

No comments:

Post a Comment