Saturday 17 September 2011

JANGAN BANGGA JADI MISKIN TEGAR DI BANDAR!



WAWANCARA…. Pegawai Pertanian Tongod sedang ditemubual oleh Sabahkini.Net.

Oleh: SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

JABATAN Pertanian Daerah Tongod sedia membantu golongan petani dan mempelawa pemilik tanah terbiar yang bergran datang ke pejabat pertanian Tongod untuk meminta nasihat dan pandangan bernas bagi memajukan tanah mereka dengan pelbagai jenis tanaman yang sesuai.

Pegawai Pertanian Daerah Tongod, James Arah menjelaskan perkara tersebut kepada Wartawan Sabahkini.Net ketika ditemu ramah semasa di pelancaran Program penanaman anak pokok durian merah di Kampung Tongodon, Tongod, kelmarin.

“Sebagai agensi kerajaan, kami memang memandang serius mengenai permasalahan tanah-tanah yang terbiar tanpa diusahakan sehingga menjadi hutan belukar dan matlamat jabatan pertanian ialah untuk fokus kepada penjana ekonomi rakyat di luar bandar seperti di kawasan Kuamut, supaya peduduk terbabit turun untuk menerokai tanah-tanah mereka masing-masing,” kata James.

Penerapan nilai-nilai murni jati diri golongan belia, kata James, adalah amat penting bagi membantu ibu bapa mereka memajukan tanah-tanah terbiar sebagai sumber menjana pendapatan dan menaikkan taraf hidup mereka.

James sebagai mengulas kenyataan ADUN Kuamut, Masiung Banah yang kesal kerana golongan belia dan beliawanis di Kuamut, termasuk di kampung Tongodon, lebih berminat berhijhrah ke bandar-bandar untuk mencari pekerjaan di pusat membeli belah yang berhawa dingin; walaupun gaji yang ditawarkan hanya serendah RM300 sebulan.

LUAS....Pemaju Mukim Kuamut, Liasin Podok menunjukkan ke arah 1,000 ekar tanah yang sudah ditanamai pokok durian merah.

Kata James, mereka yang memilih untuk kerja di gedung membeli belah dari jam 9 pagi sehingga jam 10 malam bergaji antara RM300 hingga RM500 sebulan adalah bernasib malang dan terus berada di bawah paras kemiskinan tegar di bandar; berbanding mereka yang mengusahakan tanah terbiar di kampung yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Dalam kontek ini, saya menyarankan agar ibubapa menasihati anak-anak mereka supaya mengikut jejak mereka menjadi petani kerana kerajaan sekarang mengambil berat golongan petani moden yang boleh membawa kemajuan; bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan juga membawa hasil kepada Negara,” tegas James lagi.

Sementara dalam wawancara berasingan dengan Pegawai Daerah Tongod, Thoms Lingijin, beliau turut memuji usaha ADUN Kuamut yang begitu mengambil berat tentang kehidupan rakyatnya, terutama sekali dalam bidang sosio ekonomi.

“Saya akan sentiasa memberi bantuan dan galakan kepada golongan petani di Kuamut, khususnya penduduk Kampung Tongodon supaya mereka bersungguh-sungguh mengusahakan tanah-tanah mereka dengan penanaman sawit, padi dan juga durian merah,” tegas Thomas.

Dengan penanaman pokok durian merah sebanyak lebih 1,000 pokok itu, kata Thomas, dalam masa lima tahun dari sekarang, impian penduduk Kampung Tongodon akan menjadi kenyataan kerana Daerah Tongod bakal menjadi pengeluar utama Durian Merah khususnya di Sabah.

No comments:

Post a Comment