Monday 12 September 2011

MUSA TOLAK HADKAN TEMPOH JAWATAN



KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengetepikan cadangan Presiden Barisan Bersatu Borneo (UBF) Datuk Dr Jeffrey Kitingan kepada Kerajaan Persekutuan supaya menetapkan satu dasar kebangsaan yang menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, kepada hanya dua penggal.

"Mereka berhak menyuarakan pendapat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Maksak dekat sini hari ini.

Musa, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Jeffrey, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini mengetuai badan bukan kerajaan iaitu UBF dan Yayasan Warisan Borneo, baru-baru ini dipetik sebagai berkata ingin menamatkan sistem yang diamalkan di negara ini sekarang yang membolehkan Perdana Menteri atau Ketua Menteri menjawat jawatan selama beberapa dekad.

"Kita seharusnya mencontohi negara-negara maju dan tidak mengikut jejak langkah negara yang mempunyai sejarah pemimpin berkhidmat terlalu lama," katanya.

Menurut bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri itu, jika seseorang pemimpin itu boleh digantikan setiap dua penggal, keseluruhan generasi tidak akan ketinggalan dalam proses membuat keputusan.

Sementara itu, Musa berkata rumah terbuka Hari Raya memberi peluang untuk saling kunjung mengunjung dalam kalangan anggota keluarga dan sahabat handai dalam semangat muhibbah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment