PERSATUAN Komuniti Bugis Sabah (PKBS) akan memberi fokus untuk memperhebatkan lagi imej dan sumbangan etnik itu dalam pelbagai sektor terutama dalam ekonomi dan perpaduan masyarakat di Sabah.
Presidennya, Datuk Osman Jamal berkata sehubungan itu, imej sosial, pendidikan dan perekonomian komuniti berkenaan akan dirangka supaya selari dengan aspirasi semasa dasar-dasar sosial, politik dan ekonomi negeri dan negara.
Pendekatan PKBS selepas proses penjenamaan semula termasuk meningkatkan perpaduan yang penting untuk kestabilan dan dalam memastikan rancangan pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna, katanya kepada pemberita selepas majlis rumah terbuka Hari Raya bersama media dan pelantikan anggota Jawatakuasa PKBS Tawau, baru-baru ini.
Osman yang juga Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berkata persatuan akan mengadakan pelbagai aktiviti dan program yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi komuniti berkenaan.
"Kita juga ingin menjaga imej etnik Bugis dalam bidang pelajaran. Kita tidak mahu melihat ada lagi komuniti Bugis Sabah atau kaum Melayu keturunan Bugis di Sabah yang tidak dapat bersekolah kerana kemiskinan.
"Kita juga tidak mahu melihat atau mendengar ada anak-anak komuniti Bugis yang berpotensi tinggi untuk cemerlang dalam pelajaran tetapi tercicir atau tidak boleh melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan," katanya.
Katanya masalah itu akan diatasi melalui penubuhan tabung pendidikan persatuan dan bantuan tuisyen.
Selain itu, Osman berkata PKBS akan membina sebuah masjid, dewan dan pusat komersil di tapak seluas 5.2 hektar di Pasir Putih di sini untuk kegunaan masyarakat pelbagai kaum di Tawau.
Katanya dewan yang dinamakan ‘Dewan Poado’ itu akan bercirikan etnik Melayu utama di Tawau seperti Bugis, Tidong, Banjar, Bajau dan Suluk bagi melambangkan perpaduan masyarakat berkenaan.
Katanya nama Poado dipilih sempena nama penyandang jawatan penghulu pertama di Tawau iaitu Poado atau La Toampong Andi Buku @ Haji Hasan yang tiba di Tawau pada tahun 1882 untuk membuka penempatan di daerah itu. (BERNAMA)
No comments:
Post a Comment