MANUGAL....Kelihatan Masiung mengepalai manugal padi bersama-sama penduduk-penduduk kampung berkenaan.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
GOLONGAN belia luar bandar lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar untuk mencari pekerjaan walaupun gaji hanya RM300 sebulan daripada bekerja sendiri untuk mengerjakan tanah-tanah, mahupun kebun-kebun mereka yang terbiar begitu saja.
Sedangkan kalau mereka mengusahakan tanah-tanah yang terbiar ditanam dengan pelbagai jenis pokok buah-buah, khususnya padi huma (bukit) sudah pastinya akan mengeluarkan hasil yang lumayan untuk menaikkan taraf kehidupan yang lebih baik.
Sebagai belia yang merupakan tunggak harapan bangsa kepada Negara, seharusnya mereka mempunyai sikap pandang ke hadapan untuk memajukan diri sendiri dan berdaya saing dengan bangsa-bangsa lain yang ada di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah berkata demikian kepada Sabahkini.Net sejurus selepas melancarkan Program Penanaman Padi Bukit Berkelompok di Kampung Tongodon, Tongod, kelmarin.
Beliau risau sekiranya belia yang ada pada hari ini sanggup melupakan warisan turun menurun sedangkan kalau dimanfaatkan bukan sahaja dapat mengekalkan warisan dan budaya sedia wujud bahkan mampu untuk menjana dan meningkatkan sosio ekonomi mereka tanpa perlu berhijrah ke mana-mana.
“Sebagai contoh terdekat, penanaman padi bukit atau padi huma seumpamanya golongan berkenaan seharusnya tampil untuk mengusahakannya tanah-tanah terbiar bukanlah bergantung dan mengharap pada ibubapa selama ini mengerah kudrat,” jelas Masiung.
Tambah Masiung, beliau tidak berniat untuk melarang belia berhijrah ke bandar semata-mata mahu mencari pekerjaan, tetapi kalau gaji cuma RM300 hingga RM500 sebulan; apa yang cukupnya kerana mereka terpaksa membayar sewa rumah, tambang bas dan makan minum.
Namun jika mereka mengusahakan penanaman padi bukit, keadaan berbeza, kerana kerajaan BN melalui Jabatan Pertanian telah menyediakan pelbagai bantuan untuk disalurkan, termasuklah pemberian subsidi tanaman kepada petani terbabit.
Acara ‘Manugal’ menurut Masiung, adalah warisan zaman-berzaman yang perlu dipertahankan kerana dapat memupuk semangat kerjasama di kalangan penduduk setempat dan sekaligus mampu memelihara budaya agar tidak lapuk ditelan zaman.
“Penanaman padi bukit masih lagi dijalankan sehingga ke hari ini oleh orang tua-tua, pada hal golongan muda sepatutnya tampil untuk mewarisi tanaman secara tradisional itu,” ujarnya.
Turut hadir pada pelancaran tersebut ialah Pegawai Daerah Tongod, Thomas Logijin; Pegawai Pertanian Tongod James Arah dan pemimpin-pemimpin masyarakat lainnya.
No comments:
Post a Comment