Oleh : SEKRETARIAT PEMUDA UMNO SEMPORNA
PADA 6 September 2011, lebih kurang jam 10 malam bertempat di Balai Polis Kota Kinabalu, satu laporan polis telah dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO Semporna melalui Ketuanya, Mohd Azis B Jamman berhubung satu artikel yang diterbitkan melalui ruangan Sabahkini.net bertajuk: "Polis Tutup Kes Maut Di Rumah Shafie?".
Artikel bertarikh 4 September 2011 tersebut telah ditulis oleh Citra Masadi yang juga merupakan ahli Angkatan Muda Parti Keadilan. Di dalam artikel tersebut, amat jelas Citra telah dengan sengaja dan dengan niat bertujuan untuk mengaib, menghina dan menjatuhkan maruah YB Dato’ Seri Mohd Shafie Bin Hj Apdal yang juga merupakan seorang pemimpin besar yang disayangi oleh sebilangan besar masyarakat di Daerah Semporna.
Malah kedudukan Shafie sebagai Naib Presiden UMNO Malaysia telah mengakibatkan ada di kalangan mereka yang mencemburui beliau dan berusaha untuk mereka-reka cerita kononnya berlaku kemalangan jiwa seorang warga PATI semasa keadaan bersesak-sesak masyarakat Semporna di rumah YB Dato’ Seri di Semporna semasa bulan puasa yang lepas.
Malah peristiwa kematian Abdul Rahman Awang juga telah dipolitikkan dan disebut di dalam artikel tersebut kononnya disebabkan oleh beliau mengalami sakit jantung akibat terkejut melihat keadaan bersesak-sesak hingga mengakibatkan warga PATI meninggal dunia.
Citra bukan sahaja memfitnah, malah tanpa memikirkan perasaan keluarga Allahyarham yang pastinya pada hari ini masih bersedih di atas pemergian beliau telah mempolitikkan isu kematian Abdul Rahman Awang; demi niat jahat mereka untuk menjatuhkan dan memburukkan kepimpinan Dato’ Seri Hj Mohd Shafie Apdal.
Isu ini merupakan satu pembohongan besar Citra bertujuan untuk memalukan Shafie Apdal. Hakikat sebenarnya, Abdul Rahman Awang meninggal dunia selepas sholat maghrib iaitu semasa Program Berbuka Puasa di Kg. Damai, DUN Sinallang anjuran masyarakat Kg Damai itu sendiri dan ‘BUKANNYA’ di rumah Shafie di Daerah Semporna sebagaimana disebutkan di dalam artikel tersebut.
Malah isu kononnya terdapat seorang warga PATI meninggal dunia juga satu pembohongan kerana tiada kemalangan jiwa berlaku pada malam pagar besi tangga di rumah Shafie roboh akibat keadaan sesak pada malam tersebut.
Selain daripada memfitnah melalui artikel tersebut, Citra juga secara tidak langsung telah menghina dan merendah-rendahkan kejujuran, ketelusan dan kewibawaan pihak Polis bilamana tajuk artikel tersebut sendiri dengan jelas menuduh pihak Polis kononnya menyembunyikan dan menutup kes kematian seorang warga asing sedangkan pada hakikatnya tiada kematian pun yang berlaku.
Apa yang jelas, beberapa siri artikel yang berbaur fitnah terhadap Shafie sejak kebelakangan ini baik yang melibatkan kementerian beliau serta kepimpinan beliau di Daerah Semporna yang disiarkan di Sabahkini.net; adalah amat jelas bertujuan untuk menjatuhkan Shafie serta sifat takutkan bayang-bayang pihak-pihak tertentu di atas keupayaan Shafie memimpin bukan sahaja diperingkat daerah, negeri dan negara malah di peringkat antarabangsa.
Umum mengetahui sifat pemurah dan suka membantu Shafie sejak beliau masih berkerja dengan kerajaan; semasa menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Negeri Sabah sehinggalah sekarang. Sifat suka bersedekah dan membantu sememangnya sudah lama sebati di dalam diri beliau.
Apa yang jelas, mereka yang hanya tahu mengkritik hasil kerja orang ini tidak pula menyebut tentang sifat Shafie yang akan melayan setiap masyarakat yang datang ke rumah beliau di Semporna; khasnya mereka yang tidak berkeupayaan pergi ke Kuala Lumpur untuk berurusan.
Setiap kali berada di Semporna, rumah Shafie merupakan pejabat tidak rasmi beliau yang akan buka sehingga pukul 2 atau 3 subuh untuk menerima surat-surat permohonan rakyat yang dimajukan kepadanya pada masa itu.
Peliknya kebaikan seperti ini tidak pula disebut oleh orang seperti Citra. Pemuda UMNO Semporna yakin dan percaya, Citra sendiri tidak akan berani membuka pintu rumahnya sendiri sehingga pukul 2 pagi untuk melayan keluarga beliau sendiri; apa lagi untuk membantu masyarakat di Daerah Semporna.
No comments:
Post a Comment