Wednesday, 11 March 2015

SKIM SKWAK DIPERLUAS KE SABAH DAN SARAWAK MULAI TAHUN INI, ROSNAH



TURUT SERTA...Rosnah bersama Ghulam turut serta  mengcat rumah warga emas yang dibantu dalam program tersebut


PAPAR: Sejajar dengan kehendak serta keperluan semasa bagi membantu kontraktor dan usahawan binaan bumiputera, Kementerian Kerjaraya  melalui Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU)  akan memperluaskan Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) ke Sabah dan Sarawak bermula tahun ini.


Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kontraktorf Gred G2 hingga G5 yang berdaftar dengan CIDB dan BPKU yang memperolehi projek-projek kerajaan Persekutuan khususnya dari Kementerian Kerjaraya layak memohon skim tersebut.

“Perluasan skim ini akan bermula tahun ini (2015)  dan bagi kontraktor yang berminat, boleh menghubungi pejabat BPKU di Sabah dan Sarawak atau terus berhubung dengan pihak Ibu pejabat di Putrajaya” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Khidmat Masyarakat (CSR) Membaikpulih Kediaman Warga Tua Jais Rasian anjuran Kementerian Kerja Raya dan CIDB Negeri Sabah dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah melalui Pejabat Daerah Papar di kampung  Anak Kinarut dekat sini kemarin.

Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Insfrastruktur Sabah yang juga wakil Rakyat Kawasan Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan.

Selain itu, Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar berkata  di bawah skim SKWAK ini, kontraktor G1 (Kelas F) juga akan dibuka di seluruh negara bagi yang berdaftar dengan CIDB dan BPKU yang memperoleh projek-projek kerajaan Persekutuan. 

“Tempoh pemprosesan skim ini bagi gred G1 akan dipendekkan kepada sepuluh (10) hari bekerja, berbeza dengan gred G2-G5, memandangkan kerja-kerja kontrak bagi kelas ini adalah singkat dan memerlukan bantuan kewangan modal secepat mungkin” katanya. 

Menurut Rosnah, dengan adanya perluasan serta permohonan baru bagi kelas F ini, sedikit sebanyak akan dapat menyokong Usahawan Binaan untuk terus bekerjasama dengan pihak Kontraktor memajukan Industri binaan.

Dalam perkembangan yang sama, Rosnah  juga berkata BPKU akan melaksanakan program “Outreach” bagi permohonan baru dan permohonan taraf bumiputera untuk kemudahan kontraktor-kontraktor yang menetap jauh di Pedalaman dengan menubuhkan satu “Stop Centre” bagi mereka mengemukakan permohonan. 

“Ianya akan ditubuhkan di Miri Sarawak dan di Tawau Sabah, ianya bertujuan   untuk meringankan beban kontraktor dari segi kos dan masa untuk berulang alik ke Kuching dan juga Kota Kinabalu untuk mendapatkan perkhidmatan daripada BPKU, Pemohon (kontraktor) hanya perlu mengemukakan permohonan mereka di ‘stop centre’ dan pihak BPKU akan turun ke sana untuk memberikan perkhidmatan” jelas Rosnah. 

Mengulas program tersebut, Rosnah yang Ahli majlis Tertinggi Umno itu berkata,  ianya mencapai matlamatnya dengan penglibatan  seramai 50 orang kontraktor Bumiputera (Gred G1-G7) bersama  lebih dari 200 orang penduduk kampung.

Katanya, melalui program seumpama itu dapat memberikan kesedaran dan mengukuhkan lagi ikatan tali persaudaraan  antara penduduk kampung bersama para kontraktor selaku pemain industri pembinaan. 

“Program ini memberi peluang dan ruang kepada kontraktor untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan di antara satu sama lain, seterusnya meluaskan jaringan perniagaan.” Katanya 


GALERI ACARA:




TERBAIK...Rosnah, Ghulam bersama para kontraktor dan peserta menunjukkan isyarat bagus sebelum memulakan kerja-kerja gotong-royong tersebut.




DIHARGAI…Rosnah menerima cendera kenangan dari penganjur selepas merasmikan program tersebut.




AMANAT...Rosnah ketika berucap merasmikan program tersebut.




DIBANTU...Rosnah bersama warga emas Jais Rasian yang dibantu dalam program tersebut.





MEMULAKAN…Rosnah bersama Ghulam ketika memulakan kerja-kerja gotong-royong mengecat dinding rumah warga emas yang dibantu dalam program tersebut.

No comments:

Post a Comment