TAHNIAH...Rosnah ketika menyampaikan anugreh cemerlang kepada salah seorang pelajar sempana majlis tersebut
PAPAR: Ibubapa diingatkan agar menolak tanggapan pelajar aliran agama tidak mempunyai prospek masa depan bagi memasuki unversiti atau mendapat pekerjaan sebaik tamat pengajian mereka.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Hajah Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, ibubapa pelajar perlu mengubah pandangan tersebut.
Hal ini kerana, pelajar dalam aliran agama juga berpeluang untuk meneruskan pengajian mereka ke unversiti tempatan dan luar negara yang bukan sahaja dalam bidang pengajian agama namun turut menyediakan pengajian dalam bidang bidang lain perubatan, ekonomi dan perundangan.
“Hakikatnya pelajar aliran agama hari ini bukan seperti era 1970-an, mereka sudah memiliki pelbagai peningkatan yang mengkagumkan dan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dan ada yang lebih baik dari aliran lain” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang sesi 2014 Sekolah Agama Negeri Pengalat Kecil dekat sini kelmarin.
Menurut Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar, walaupun ada pelajar mengambil aliran agama namun tidak 100 peratus mereka menumpukan perhatian pada subjek agama, sebaliknya ada juga mata pelajaran lain seperti geografi,sains dan Matematik.
Katanya, pendidikan Islam juga merupakan pemangkin kepada pembentukan peribadi anak-anak, untuk menjadi modal insan yang berkualiti bagi menghadapi cabaran dari kepesatan pembangunan yang perlu diimbangi dengan kemantapan minda dan akhlak yang baik.
"Berbeza dengan sekolah aliran agama sebelum ini,nkini sekolah agama kebangsaan yang sudah diselaraskan silibusnya mengikut silibus kebangsaan," katanya.
Tambah Rosnah, kemungkinan pada awal penubuhan sekolah aliran agama, ianya kurang mendapat sambutan kerana sistem pengurusannya kurang teratur selain kekurangan prasarana.
Walau bagaimanapun, kesedaran masyarakat yang semakin meningkat menyebabkan kerajaan mengambil langkah memperkasakan pentadbiran dan kurikulum di sekolah agama agar selari dengan keperluan semasa.
Dalam perkembangan yang lain, Rosnah juga berharap agar ibubapa melakukan refleksi kendiri agar tidak menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah dan guru-guru untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka.
Sebaliknya, ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah.
“Jika selama ini, masyarakat beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak” katanya.
No comments:
Post a Comment