Sunday, 8 March 2015

MASYARAKAT ISLAM DIAJAK TINGKATKAN UKHWAH KATA ZAKARIA


OLEH: SHAIMON S JUMADI


SAMPAIKAN HADIAH……Kelihatan Zakaria menyampaikan hadiah kepada pemenang Qari Tilawah Al-Quran peringkat DUN Gum Gum



GUM-GUM : Masyarakat diajak memupuk dan meningkatkan ukhuwah Islamiah ke arah membina ummah bersatupadu, dinamik dan progresif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Gum Gum Datuk Zakaria Haji Mohd  Edris berkata, perkara itu penting kerana kemajuan dalam kesatuan Islam memerlukan penyeimbangan antara kemajuan dunia dan kebahagiaan akhirat.


Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kekuatan ilmu dan ekonomi di samping kekuatan rohani masyarakat itu agar usaha itu terus tercapai.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat DUN Gum Gum di Kampung Sungai Tiram.

Menurut beliau, dalam proses menjadi sebuah negara maju, usaha untuk membanteras kemiskinan sewajarnya mengambil kira kedua-dua aspek kemiskinan yang dimaksudkan, iaitu kemiskinan kebendaan dan kemiskinan rohani.

Dalam usaha untuk membanteras kemiskinan kebendaan, Islam menganjurkan umatnya supaya bekerja kuat untuk memperoleh rezeki atau pendapatan yang halal yang akan membolehkan kita menunaikan kewajipan menyara keluarga dan tanggungan, katanya lagi.

Ianya juga membolehkan kita melaksanakan kewajipan berzakat, memberikan sedekah, mewakafkan harta dan memberikan hadiah sebagai satu cara untuk membersihkan rohani dan harta yang kita miliki, tambah beliau.

“Selain memerangi kemiskinan kebendaan, miskin kerohanian merupakan penyakit yang lebih bahaya. Penekanan dalam membanteras kemiskinan rohani merupakan antara hikmah agama Islam diturunkan,” kata Zakaria.

Salah satu strategi memerangi dua bentuk kemiskinan ini ialah dengan menghidupkan serta mengembalikan semula peranan masjid dalam membangun komuniti Islam dalam setiap lapangan hidup, katanya.


Sejarah membuktikan bahawa masjid menjadi titik tolak terbinanya peradaban Islam yang unggul pada kaca mata dunia sebagaimana yang pernah dirintis oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, kata Zakaria.

No comments:

Post a Comment