Thursday 27 June 2013

HAKIM SOKONG TUBUH IPCMC





         
Oleh : KOH JUN LIN
         
HAKIM Mahkamah Tinggi Datuk VT Singham menyokong cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi menangani peningkatan kes kematian dalam tahanan.

Katanya, saranan oleh Suruhajaya Siasatan Diraja untuk menubuhkan IPCMC tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.

“Ia perlu diaktifkan secepat mungkin untuk memberi keyakinan kepada semua pihak terbabit, termasuk anggota keluarga individu yang meninggal dunia, bahawa satu agensi bebas sedang meneliti perkara itu tanpa apa-apa pengaruh dari pegawai polis tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penghakimannya dalam kes saman ke atas polis dan kerajaan yang dikemukakan oleh keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia, A Kugan.

Pemerhatian berkenaan bagaimanapun tidak terikat kepada undang-undang.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan menolak cadangan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan kerana wujudnya pertindihan dengan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata pertindihan itu antaranya seperti yang telah sedia ada dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) serta Seksyen 172 (a) Akta Kanun Jenayah.

"Kerajaan amat prihatin sebagaimana keprihatinan ahli pembangkang yang lain. Biarpun IPCMC dicadang sebagai sebuah badan untuk lakukan penyiasatan dan penambahbaikkan, tetapi setiap agensi penguatkuasaan telah dibadankan.

"Kenapa IPCMC ditolak kerana terdapat berlakunya pertindihan di dalam cadangan yang dibuat IPCMC. Contoh umpamanya fungsi siasatan dan pendahuluan.

"Seperti rasuah, perkara itu ada di dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), serta tidak selaras dengan Akta Kesalahan-Kesalahan di Luar Negeri 1976 dan Seksyen 172 (a) Akta Kanun Jenayah," katanya.

Zahid (BN-Bagan Datoh) berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan menubuhkan IPCMC.

Zahid yang juga naib presiden Umno turut berkata berdasarkan statistik dari tahun 2000 hingga Mei tahun ini, seramai 231 kes kematian dalam tahanan telah direkodkan.

Menurutnya, seramai 196 kematian dalam tahanan adalah disebabkan penyakit antaranya HIV, asma dan sakit jantung.

Manakala, seramai 29 kematian disebabkan gantung diri dan dua kematian akibat pergaduhan sesama sendiri dan tergelincir di dalam lokap serta dua lagi kematian akibat dicederakan oleh pihak polis, tambahnya.

"Kematian yang disyaki oleh perbuatan pegawai hanya dua, yang lain adalah disebabkan kematian akibat penyakit yang ada pada mereka... 196 orang yang mati adalah disebabkan penyakit. Adakah ini disebabkan oleh keganasan polis? Tidak begitu," katanya lagi.

Zahid juga menambah, berdasarkan statistik kematian itu juga, seramai 97 orang terdiri daripada bangsa Melayu, 49 (Cina), 51 (India), 25 warga asing dan sembilan lagi daripada lain-lain bangsa. (MKINI)

1 comment: