Oleh : KOH JUN LIN
HAKIM Mahkamah Tinggi Datuk
VT Singham menyokong cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah
Laku Polis (IPCMC) dengan segera bagi menangani peningkatan kes kematian dalam
tahanan.
Katanya, saranan oleh Suruhajaya
Siasatan Diraja untuk menubuhkan IPCMC tidak sepatutnya dibiarkan begitu
sahaja.
“Ia perlu diaktifkan secepat
mungkin untuk memberi keyakinan kepada semua pihak terbabit, termasuk anggota
keluarga individu yang meninggal dunia, bahawa satu agensi bebas sedang
meneliti perkara itu tanpa apa-apa pengaruh dari pegawai polis tempatan,”
katanya.
Beliau berkata demikian
ketika membacakan penghakimannya dalam kes saman ke atas polis dan kerajaan
yang dikemukakan oleh keluarga seorang tahanan yang meninggal dunia, A Kugan.
Pemerhatian berkenaan
bagaimanapun tidak terikat kepada undang-undang.
Dalam pada itu, Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini berkata kerajaan menolak
cadangan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan
kerana wujudnya pertindihan dengan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata pertindihan
itu antaranya seperti yang telah sedia ada dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
(SPRM) serta Seksyen 172 (a) Akta Kanun Jenayah.
"Kerajaan amat prihatin
sebagaimana keprihatinan ahli pembangkang yang lain. Biarpun IPCMC dicadang
sebagai sebuah badan untuk lakukan penyiasatan dan penambahbaikkan, tetapi
setiap agensi penguatkuasaan telah dibadankan.
"Kenapa IPCMC ditolak
kerana terdapat berlakunya pertindihan di dalam cadangan yang dibuat IPCMC.
Contoh umpamanya fungsi siasatan dan pendahuluan.
"Seperti rasuah,
perkara itu ada di dalam SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah), serta tidak
selaras dengan Akta Kesalahan-Kesalahan di Luar Negeri 1976 dan Seksyen 172 (a)
Akta Kanun Jenayah," katanya.
Zahid (BN-Bagan Datoh)
berkata demikian semasa menjawab pertanyaan daripada Datuk Johari Abdul
(PKR-Sungai Petani) yang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan menubuhkan
IPCMC.
Zahid yang juga naib
presiden Umno turut berkata berdasarkan statistik dari tahun 2000 hingga Mei
tahun ini, seramai 231 kes kematian dalam tahanan telah direkodkan.
Menurutnya, seramai 196
kematian dalam tahanan adalah disebabkan penyakit antaranya HIV, asma dan sakit
jantung.
Manakala, seramai 29
kematian disebabkan gantung diri dan dua kematian akibat pergaduhan sesama
sendiri dan tergelincir di dalam lokap serta dua lagi kematian akibat
dicederakan oleh pihak polis, tambahnya.
"Kematian yang disyaki
oleh perbuatan pegawai hanya dua, yang lain adalah disebabkan kematian akibat
penyakit yang ada pada mereka... 196 orang yang mati adalah disebabkan
penyakit. Adakah ini disebabkan oleh keganasan polis? Tidak begitu,"
katanya lagi.
Zahid juga menambah,
berdasarkan statistik kematian itu juga, seramai 97 orang terdiri daripada
bangsa Melayu, 49 (Cina), 51 (India), 25 warga asing dan sembilan lagi daripada
lain-lain bangsa. (MKINI)
patut tidak ada salah laku seperti ini.
ReplyDelete