Wednesday, 26 June 2013

SASARAN 1,652 GURU SABAH






SIDANG....Ghazali (duduk dua kanan) bersama Jame (duduk dua kiri) dan pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri pada sidang media kelmarin.

Oleh : SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan mensasarkan seramai 1,652 guru tidak berijazah di Sabah dapat melanjutkan pengajian peringkat ijazah menerusi Program Pengsiswazahan Guru Ambilan Khas September 2013.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata bermula 1 hingga 5 Julai depan, BPG akan menjalankan promosi program berkenaan mengikut zon tertentu di negeri ini.

Menurutnya, promosi berkenaan melibatkan zon Keningau pada 1 Julai, Kota Marudu 2 Julai, Kota Kinabalu 3 Julai, diikuti Sandakan pada 4 Julai dan Tawau 5 Julai.

Katanya, usaha berkenaan bagi memberi penjelasan kepada pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai kerangka gerak kerja dan tindakan yang akan dilaksanakan pihaknya.

“Pegawai BPG akan memberi penjelasan kepada guru-guru yang terlibat dan menyediakan borang bagi membolehkan mereka terus mendaftar sebagai calon program pengsiswazahan ini.

“Ini adalah pengambilan terakhir memandangkan sebelum ini kita sudah melaksanakan empat pengambilan melibatkan seramai 6,479 guru daripada Sabah,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Beliau berkata, Sabah adalah negeri pertama yang dilawati untuk promosi berkenaan dan berharap perjalanan promosi di setiap zon berjalan lancar.

Ghazali berkata, masalah utama yang dihadapi pihaknya adalah melibatkan guru-guru yang berada di kawasan luar bandar.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengumpulkan semua guru yang terlibat bagi memudahkan pegawai daripada BPG menyerahkan borang sekaligus memberi penjelasan kepada mereka.

“Kos pengajian ditanggung keseluruhannya oleh kerajaan dan para guru diberi peluang untuk memilih sendiri institut pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/S) serta Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk mereka lanjutkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata, tempoh pengajian yang ditetapkan adalah selama tiga tahun dan ia dijalankan menerusi kaedah Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Jame Alip berkata pihaknya turut mengambil pendekatan ‘cari dan bantu’ bagi memastikan guru-guru terbabit dapat mengikuti program berkenaan.

“Kita tidak perlu lagi menunggu guru-guru ini datang ke pejabat bagi mendapatkan borang permohonan.

“Langkah yang kita ambil ini juga bagi menyakinkan mereka inilah peluang terakhir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah,” katanya.

Jame berkata, kadang-kadang ada guru yang tidak faham dan kurang bermotivasi dalam merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Justeru, pihaknya berharap usaha yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan ini dapat membantu para guru mengikuti pengajian di peringkat ijazah. (UB)

9 comments:

  1. DALAM memastikan negara tidak ketinggalan dan mampu berdaya saing, Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menyediakan satu sistem pendidikan negara yang berkualiti melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

    ReplyDelete
  2. Laporan awal pelan tersebut memaklumkan, pelan itu menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

    ReplyDelete
  3. Pelan tersebut juga dihasilkan oleh kementerian melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

    ReplyDelete
  4. Lazimnya, kepelbagaian dan keadaan kompleks sistem pendidikan sesebuah negara yang ingin melaksanakan transformasi mengambil masa beberapa tahun sebelum hasilnya dapat dizahirkan dan dilihat.

    ‘‘Oleh yang demikian, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu segera memulakan tindakan berani, bersungguh-sungguh dan drastik dalam melaksanakan transformasi yang penting serta kritikal ini," jelas laporan itu.

    ReplyDelete
  5. Tambah laporan itu lagi, pelan tersebut mempunyai tiga objektif utama iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan negara melalui penambahbaikan akses kepada pendidikan, meningkatkan kualiti, merapatkan jurang pencapaian dan menggalakkan perpaduan di kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

    Jelas laporan tersebut, ia juga memberi fokus kepada mewujudkan visi serta aspirasi jelas bagi sistem pendidikan dan setiap murid bermula 2013 hingga tahun 2025.

    ReplyDelete
  6. Selain itu, pelan pembangunan pendidikan ini turut menggariskan program transformasi menyeluruh bagi sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam Kementerian Pelajaran yang membolehkan ia memenuhi permintaan baharu, jangkaan meningkat dan sokongan transformasi perkhidmatan awam," jelas laporan itu.

    Tambah laporan tersebut, hampir 98 peratus daripada lebih 3,000 responden yang mengikuti Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) berpendapat usaha kerajaan menjalankan kajian semula pendidikan adalah tepat pada masanya.

    ReplyDelete
  7. jangan hanya fokus kepada menambah bilangan guru.. jumlah sekolah juga perlu ditambah bagi memenuhi jumlah guru yang kian berlambak masa kini..

    ReplyDelete
  8. masa kini terlalu raai calon2 guru yang masih menganggur di sabah.. masalah ini sepatutnya diatasi terlebih dahulu sebelum menumpukan kepada penambahan bilangan guru..

    ReplyDelete