ALOR SETAR : Seorang lelaki
bertindak cuba terjun dari tingkat dua bangunan Kompleks Mahkamah Alor Setar
semalam sejurus Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan tertuduh kes bunuh
melibatkan anak perempuannya tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, tindakan
pantas wartawan dan jurugambar berjaya menghalang niat Chee Ah Sau, 57, sebelum
dia ditenteramkan ahli keluarga lain dan meninggalkan bangunan tersebut.
Kejadian itu berlaku pada pukul 11 pagi.
Sebelum itu, Pesuruhjaya
Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab yang bersidang di Mahkamah Tinggi di
sini melepaskan dan membebaskan ahli perniagaan, Shahril Jaafar, 32, selepas
mendapati tiada kes prima facie atas tuduhan membunuh eksekutif pemasaran, Chee
Gaik Yap yang berusia 25 tahun ketika kejadian.
Mayat Gaik Yap ditemui dalam
keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh dan dirogol di kawasan perumahan Kelab
Cinta Sayang, Sungai Petani, tujuh tahun lalu.
Menurut Mohd. Zaki, mangsa
didapati mati akibat luka di leher namun tiada langsung keterangan pihak pendakwa
ia dilakukan oleh tertuduh.
“Pendakwaan terpaksa
bergantung kepada keterangan mengikut keadaan bagi membuktikan fakta itu
seperti tertuduh tinggal berhampiran tempat kejadian dan keluarga tertuduh
mempunyai sebuah kereta bercermin gelap yang dilihat dipandu laju semasa
kehilangan mangsa.
“Namun ia tidak cukup kuat
untuk mengaitkan tertuduh dengan pembunuhan tersebut. Laporan DNA juga
menunjukkan terdapat kehadiran orang ketiga yang terlibat dan oleh itu mahkamah
mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap
tertuduh,” katanya.
Shahril yang merupakan anak
seorang kenamaan bergelar Datuk didakwa membunuh Gaik Yap(gambar) di kawasan
kelab tersebut antara pukul 5.30 petang 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi
keesokannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen
302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit
kesalahan.
Ah Sau dan isterinya
menyatakan yang mereka mungkin akan membuat rayuan manakala Shahril enggan
ditemu bual.
Pendakwaan dikendalikan oleh
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani manakala tertuduh diwakili peguam
Shamsul Sulaiman.
Pada 2006, Kosmo! melaporkan
Gai Yap tidak sempat meraikan sambutan Tahun Baru Cina apabila dia dibunuh dan
dirogol di kawasan tersebut. -MD
No comments:
Post a Comment