Oleh : HAZLAN ZAKARIA
SETIAUSAHA Dewan Rakyat,
Datuk Rosmee Hamzah (gambar) berkata proses pemilihan Yang diPertua Dewan Rakyat akan
dijalankan melalui "undi bersurat".
Bagaimanapun, beliau tidak
menyatakan secara terperinci sama ada pengundian itu dijalankan secara rahsia
bagi mengelakkan perkara itu menjadi isu.
"Ia akan dilakukan
melalui undi bersurat. Sila rujuk kepada Peraturan Mesyuarat 4," katanya
sambil menegaskan bahawa cara itu telah dilakukan bagi memilih Yang diPertua
Dewan Rakyat sejak ia ditubuhkan.
Menurut Peraturan Mesyuarat
4 (4), undi bersurat ialah setiap ahli parlimen yang hadir akan diberi sekeping
kertas undi dan ahli itu boleh menuliskan pada kertas itu nama ahli atau
seorang lain yang hendak diundinya.
Kertas-kertas undi hendaklah
dilipat supaya nama ahli atau seorang lain yang tertulis pada kertas itu tidak
boleh dilihat, dan hendaklah ditandatangan oleh ahli yang mengundi.
Bagi peraturan 4 (5),
kertas-kertas undi hendaklah dipungut oleh Setiausaha atau oleh siapa-siapa
pegawai Majlis yang diwakilkan olehnya dan hendaklah dijumlahkan oleh
Setiausaha di Meja Mesyuarat.
Keputusan undi itu pula
hendaklah dimasyhurkan oleh Setiausaha.
Sebelum ini, Blok
pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan
Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi
rahsia.
Ketua Umum PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar"
dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.
"Kalau kamu gagal
bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu
berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya.
Beliau mensasarkan amaran
tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian
tersebut.
Bercakap dalam sidang media
selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan
bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir
Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pakatan juga akan
mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan
speaker.
Anwar berkata Pakatan
dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini.
Menurutnya lagi, Pakatan
Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di
Dewan Rakyat
Anwar turut mengulangi
bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi
menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini. (MKINI)
No comments:
Post a Comment