Monday, 24 June 2013

DUA BERADIK HAMBA SEKS BAPA IBLIS






TASEK GELUGOR : Tindakan seorang gadis berusia 16 tahun melarikan diri selama tiga hari dari rumah sejak Ahad lalu, membongkar rahsia remaja itu dan dua adiknya yang sebenarnya tertekan kerana menjadi hamba seks kepada bapa dan bapa saudaranya sejak sembilan tahun lalu.

Rahsia itu terbongkar hanya selepas remaja tersebut ditemui semula oleh ibu saudaranya lalu menceritakan peristiwa hitam dia dan dua adiknya berusia 11 dan 14 tahun dirogol kedua-dua suspek.

Ibu dan ibu saudara mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara sejurus selepas itu.

Difahamkan, bapa mangsa berusia 42 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan bapa saudara mereka berusia 37 tahun memaksa tiga beradik itu menerima wang setiap kali selepas dirogol selain diugut akan dipukul jika kejadian tersebut dihebahkan.

Perbuatan keji itu dipercayai telah berlaku sejak ketiga-tiga mangsa berusia tujuh tahun lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Supritendan Mohd. Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan penahanan kedua-dua suspek pada hari sama laporan dibuat.

"Siasatan mendapati remaja terbabit mendakwa dirogol bapanya sejak 2004 di rumah mereka di Kampung Permatang Berangan di sini setiap kali ibunya keluar bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini.

"Dia dan dua adik perempuannya juga dirogol di rumah bapa saudara mereka di Ladang Malakoff yang terletak tidak jauh dari rumah mereka tanpa mengira masa sejak masing-masing berumur tujuh tahun," katanya.

Mohd. Shukri berkata, ketiga-tiga beradik berkenaan tidak berani menceritakan apa yang berlaku kerana takut dicederakan biarpun ibu mereka yang berusia 40 tahun melihat perbezaan sikap tiga anaknya itu yang seolah-olah berada dalam keadaan trauma sepanjang masa.

Menurutnya, bapa mangsa tidak bekerja dan memegang kad OKU manakala bapa saudara mereka yang bekerja sebagai buruh tinggal seorang diri di ladang berkenaan dan belum berkahwin.

Kedua-dua suspek ujar beliau, kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376(A) Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

"Ketiga-tiga mangsa pula ditempatkan di hospital daerah di sini untuk pemeriksaan dan laporan awal perubatan mengesahkan kemaluan kesemua mangsa mempunyai kesan koyakan lama dan baharu," katanya.

No comments:

Post a Comment