KOTA KINABALU : Mahkamah
Tinggi di sini kelmarin diberitahu suara dalam dua perbualan telefon yang
dipintas dikenal pasti sebagai suara anggota polis yang sedang dibicarakan bagi
kesalahan berkaitan pencerobohan pengganas Sulu di pantai timur Sabah.
Saksi kedua yang dilindungi
itu berkata beliau mengecam suara Detektif Korporal Hassan Ali Basari dalam
komunikasi yang dipintas sebelum ini di mana tertuduh memperkenalkan identiti
dirinya.
Hassan dari Semporna dituduh
dengan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat
Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3
Mac tahun ini.
Pertuduhan mengikut Seksyen
130M Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau
denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Saksi berkenaan berkata pada
2 Mac tahun ini, Hassan dihubungi seorang lelaki Sabah pukul 7.37 malam untuk
bertanyakan jika satu peperangan sudah berlaku dan Hassan mengiyakannya.
Saksi berkata menurut
perbualan telefon yang diterjemahkannya itu, lelaki Sabah tersebut memaklumkan
dia ada menghubungi Filipina dan mengatakan lebih 400 orang akan memasuki Sabah
dari Bongao, Filipina.
Dalam perbualan telefon yang
dipintas pada 3 Mac tahun ini, Hassan sekali lagi dihubungi lelaki Sabah terbabit
pada pukul 9.28 pagi untuk memberitahu maklumat yang diperolehnya melalui
internet mengatakan jumlah penceroboh mencecah angka ribu dan memerlukan
sokongan kewangan yang banyak.
Menurut saksi itu, Hassan
memaklumkan lelaki Sabah berkenaan, Amerika Syarikat menyokong pencerobohan
itu, termasuk bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur
Misuari.
Penolong Kanan Pesuruhjaya
Polis Sabah Zulkifli Abd Aziz memberitahu mahkamah maklumat dalam pintasan
komunikasi antara tertuduh dengan lelaki Sabah tersebut penting untuk
keselamatan negara.
Ketika Zulkifli memegang
jawatan Timbalan Ketua Cawangan Khas 1 di Sabah, beliau berkata Hassan turut
terlibat dalam risikan ancaman pengganas Sulu di Lahad Datu.
Katanya, tertuduh dipilih
dalam tugas risikan ancaman pengganas Sulu kerana kebolehannya berbahasa Bajau
dan Suluk dan mempunyai ramai kenalan dari kalangan suku kaum tersebut di Lahad
Datu.
Beliau juga menafikan pernah
menerima maklumat mengenai ancaman pengganas Sulu atau kegiatan keganasan di
Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh tertuduh.
Menurutnya, maklumat
mengenai sebarang ancaman terhadap keselamatan negara yang diperoleh anggota
polis Cawangan Khas di peringkat daerah perlu segera dilaporkan kepada ketua
Cawangan Khas daerah.
Tertuduh diwakili peguam
Kamarudin Mohamad Chinki dan Ram Singh, manakala Datuk Nordin Hassan mengetuai
pihak pendakwaan.
Turut hadir isteri dan dua
anak tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim
P. Ravinthran bersambung hari ini). (Bernama)
jangan biarkan ada satu orang dalangpun yang terlepas.. jika benar pembangkang terlibat, jangan biarkan orang2 itu terus bebas berkempen menggulingkan kerajaan..
ReplyDelete