TONGOD : Meskipun diberi
minum racun dan dibuang tanpa sehelai pakaian sebaik dilahirkan, namun nasib
tetap menyebelahi seorang bayi lelaki apabila ditemui penduduk dalam keadaan
masih hidup sebelum diberi rawatan tradisional.
Namun, keadaan bayi malang
itu ditemui di depan rumah kongsi pekerja ladang kelapa sawit di Ladang KJS di
Kampung Inarad, di sini, kira-kira jam 5.30 petang pada 16 Jun lalu, dilihat
semakin lemah.
Keadaan itu menyebabkan
penduduk segera menghantarnya ke klinik bergerak, kelmarin, bagi mendapatkan
rawatan.
Difahamkan, bayi itu
dipercayai cuba digugurkan ibunya ketika kandungan berusia lima bulan, tetapi
sebaik ‘dilahirkan’, bayi berkenaan terus bernyawa.
Tidak sanggup membunuh
dengan mencederakan bayi itu, pelaku yang lebih kejam daripada binatang itu
kemudian memberi insan kecil itu racun sebelum meninggalkan bayi terbabit dalam
keadaan bogel di hadapan rumah pekerja ladang sawit.
Individu menemui bayi
terbabit mendakwa mulut bayi itu berbau racun dan masih hidup sebelum dirawat
menggunakan perubatan tradisional.
Ketua Polis Daerah
Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu ketika dihubungi semalam,
mengesahkan kejadian itu dan pihaknya masih melakukan siasatan.
“Saya difahamkan sebaik
menemui bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu, pekerja ladang hanya
membawanya berubat menggunakan kaedah tradisional berikutan kedudukan ladang
yang jauh dari hospital.
“Namun, oleh kerana
keadaannya semakin lemah, bayi itu dihantar ke Klinik Bergerak Kampung Inarad,
kelmarin, bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Klinik Kesihatan Telupid
sebelum satu laporan polis dibuat,” katanya.
Martin berkata, siasatan
awal mendapati, mulut bayi itu berbau racun ketika ditemui dan sehingga kini,
belum ada individu yang tampil menuntut bayi terbabit.
“Polis akan menjalankan
siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi
balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Martin berkata, kes disiasat
mengikut Seksyen 31, Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. (MD)
No comments:
Post a Comment