Friday 28 June 2013

NOMBOR TELEFON KEPUNYAAN ANAK TERTUDUH






KOTA KINABALU: Satu daripada nombor dalam perbualan telefon yang dipintas oleh polis adalah kepunyaan anak lelaki anggota polis yang dibicarakan kerana menyembunyikan maklumat mengenai aktiviti keganasan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Lahad Datu ASP Ang Seow Aun, yang juga pegawai penyiasat kes, berkata nombor 0138888359 didaftarkan atas nama Mohd Esham Hassan.

"Berdasarkan siasatan saya, pemilik nombor itu ialah anak lelaki tertuduh," katanya.

Ang memberi keterangan pada perbicaraan Detektif Koperal Hassan Ali Basari kerana menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan di pejabat Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, antara Januari dan 3 Mac tahun ini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria memberitahu mahkamah beliau menerima permohonan daripada Supt Anwar Ahmad dari ibu pejabat Cawangan Khas di Bukit Aman untuk memintas perbualan telefon seorang anggota polis pada 15 Februari.

Beliau berkata, pintasan komunikasi itu diperlukan untuk memperoleh maklumatkeselamatan dan memastikan hubungan tertuduh dengan penceroboh Kampung Tanduo.

Pendakwaan menutup kes selepas mengemukakan 18 saksi.

Hakim P. Ravinthran menetapkan 4 Julai untuk mendengar penghujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan. (Bernama)

12 comments:

  1. Sejumlah 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah termasuk melancarkan perangan terhadap Yang dipertuan Agong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi

    ReplyDelete
  2. Seramai 25 orang yang tidak mengaku bersalah di Mahkamah tinggi Kota Kinabalu manakala empat lagi Basad H. Manuel, Binhar Salid Akhmad, Anwar Salid Akhmad dan Islami Yassin sudah didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau.

    ReplyDelete
  3. Sementara itu seorang lagi tertuduh, Habil Suhaili yang tidak dapat datang kerana sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau akan direkodkan pengakuannya pada 12 Julai di Tawau.

    Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon kepada mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan bersama.

    ReplyDelete
  4. Antara 29 individu yang hadir di mahkamah ialah seorang wanita tempatan yang berdepan kemungkinan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.

    Norhaida Ibnahi, 46, didakwa melindungi sekumpulan pengganas antara 9 Feb dan 22 Mac di sebuah rumah di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

    ReplyDelete
  5. Dua anak tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

    Abd Hadi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Perigi, Semporna, antara 9 Feb dan 14 Mac manakala Abdul Majil didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lihak-Lihak, Semporna, antara 9 Feb dan 13 Mac.

    ReplyDelete
  6. Warga Filipina adalah antara tertuduh yang berdepan dua pertuduhan sama seperti Abd Hadi dan Abdul Majil.

    Datu Amirbahar Hushin Kiram, Rijmal Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil Samiul dan Rizman Gulan didakwa melakukan kesalahan antara 9 Feb dan 10 April di Kampung Tanduo, Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan Jalan Lihak-Lihak, Semporna.

    ReplyDelete
  7. Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas, satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika disabitkan.

    ReplyDelete
  8. Totoh Hismullah didakwa melakukan kesalahan sama antara 9 Feb dan 29 Mac di Kampung Simunul, Semporna.

    Turut didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar, , Masir Aidin, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman alias Abdul, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.

    ReplyDelete
  9. Mereka didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi dan Timhar Hadir.

    Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas manakala Salib Akhmad berdepan pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan itu.

    ReplyDelete
  10. Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Gani berkata beliau berharap mahkamah akan menetapkan venue yang lebih besar bagi perbicaraan itu memandangkan tahap keselamatan ketat diperlukan dalam memastikan prosiding berjalan lancar.

    Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah dengan menaiki empat trak polis.

    ReplyDelete
  11. Tiga belas daripada individu terbabit, termasuk wanita itu dan seorang tertuduh yang berkerusi roda, memakai ‘straight jackets’ dan topi hitam yang menutup mata mereka.

    Mahkamah diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat sejak awal pagi, dengan dikawal anggota polis bersenjata di dalam dan sekeliling perkarangan mahkamah.

    ReplyDelete