Monday 3 June 2013

OPERASI BANTERAS CURI AIR DI LAHAD DATU






LAHAD DATU: Jabatan Air Lahad Datu telah melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di tiga lokasi dikenalpasti dalam usaha membanteras kegiatan curi air di daerah ini.

Jurutera Air Bahagian, Haji Samsul Bahriy Marullah, berkata operasi dua hari itu yang berakhir pada Sabtu lepas, tertumpu di Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru dan PPRT belakang Taman Warisan.

Dalam operasi itu, katanya, pihaknya telah mengesan sebanyak 16 penghuni rumah yang didapati mencuri air dengan membuat penyambungan paip haram.

Jelasnya, antara modus operandi yang digunakan mereka ialah melakukan penyambungan paip dengan menebuk secara terus melalui paip air utama dan menanam paip bagi menggelak dikesan pihak jabatan air.

Sementara itu, kata Samsul, dalam operasi tersebut pihaknya turut menyita beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan curi air.

“Antara yang dirampas ialah enam buah pam air, lima berkuasa rendah dan sebuah pam berkuasa tinggi, perkakas yang digunakan untuk menembuk paip dan dua gulung poly paip yang masih baru.

“Kesemua barangan itu dirampas di dalam sebuah stor rumah ketika pihak penguatkuasaan cuba menjejaki lokasi tersebut dengan menyusuri paip yang disambung secara haram,” katanya di sini, kelmarin.

Tambahnya, kesemua barangan rampasan yang disita kemudian diserahkan ke bahagian Penguatkuasa Jabatan Air Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

”Kita memandang serius terhadap kegiatan curi air ini dan akan terus melaksanakan operasi seumpama dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kegiatan ini.

“Pihak kita juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati masih melakukan kegiatan itu,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, operasi dua hari itu disertai hampir sepuluh anggota terdiri dari bahagian penguatkuasa dan NRW Jabatan Air Lahad Datu dan diketuai oleh Abdul Salam Karim dan Jurutera NRW, Norsia Sappe.

Operasi turut dijalankan dengan kerjasama anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

No comments:

Post a Comment