Thursday 27 June 2013

PEGAWAI KHAS WAJIB LALUI SARINGAN




                     
SEMUA pegawai khas kepada menteri Kabinet akan dikehendaki menjalani proses saringan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tapisan keutuhan dan proses tapisan halus oleh polis, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan urus tadbir yang baik dan meningkatkan ketelusan di kalangan pegawai-pegawai khas berkenaan.

Perkara tersebut dipersetujui pada mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian NKRA Membanteras Rasuah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

"Peranan seorang Pegawai Khas adalah penting kerana dalam sesetengah kes, mereka bertindak sebagai 'pengawal' kepada menteri dan mempunyai keistimewaan kepada maklumat-maklumat yang amat sulit," kata Low dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Selain proses saringan, pegawai khas perlu mengisytiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri setiap tahun sama seperti menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, katanya.

Low berkata dengan mengasaskan langkah-langkah itu, peluang untuk salah laku dapat dikurangkan.

Beliau berkata mesyuarat itu juga meluluskan pelantikan Lembaga Penasihat Antarabangsa kepada SPRM yang ditugaskan untuk memberi nasihat dan kajian inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) khusus di bawah transformasi SPRM dalam sektor pencegahan.

Beliau berkata ahli lembaga itu termasuk individu berprofil tinggi daripada Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) New South Wales dan Hong Kong.

"Tujian lembaga itu adalah penanda aras prestasi SPRM setanding dengan amalan terbaik antarabangsa serta meningkatkan persepsi antarabangsa terhadap SPRM," katanya.

5 comments:

  1. Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan akan menggugurkan calon-calon yang sudah disenarai pendek sekiranya didapati mempunyai masalah berkaitan rasuah, hutang atau kes jenayah.

    ReplyDelete
  2. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses menggugurkan calon akan dilakukan selepas menjalani proses tapisan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    ReplyDelete
  3. Menurutnya, setiap calon perlu melalui proses penting itu bagi memastikan mereka yang terpilih benar-benar bebas daripada masalah tersebut.

    ReplyDelete
  4. Walaupun mereka (calon) mempunyai syarat-syarat lain, tetapi apabila didapati bermasalah secara automatik tidak akan dimasukkan dalam senarai akhir calon bertanding, bahkan akan dikeluarkan daripada senarai itu.

    ReplyDelete
  5. ya.. ia perlu bagi memastikan pegawai khas yang dipilih adalah orang yang telus

    ReplyDelete