Friday 28 June 2013

SUHAILI DILEPASKAN DARI STATUS BANKRAP







LABUAN: Mahkamah Tinggi Labuan telah mengetepikan notis kebankrapan terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, sekali gus status muflis terhadapnya dilepaskan. Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Duncan Sikodol.

Pada 10 Mac 2010, Suhaili, 50, didenda RM10,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Sesyen kerana gagal memaklumkan kepada pegawai Malayan Banking Berhad mengenai status muflisnya ketika bertindak sebagai penjamin kepada syarikat Saraequity Sdn Bhd pada 3 April 1996.

Pada tarikh tersebut, Saraequity mengemukakan permohonan pinjaman berjumlah RM110,000 dan kemudahan overdraf sebanyak RM50,000 untuk membeli sebuah unit apartmen di tingkat dua Pusat Api-Api, Kota Kinabalu.

Suhaili, yang juga bekas ketua Umno bahagian Labuan, didakwa mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Beliau diisytiharkan muflis menerusi perintah mahkamah bertarikh 19 Februari 1993 yang hanya ditarik balik pada 9 Mei 1997.

Pada 16 Mac tahun yang sama, Suhaili memfailkan notis rayuan dan usul untuk semakan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.

Pada 27 September 2010, Mahkamah Tinggi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap Suhaili dan mengarahkan denda yang dibayar oleh ahli politik itu dikembalikan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kebankrapan Suhaili telah dibatalkan kerana dia tidak sepatutnya diisytihar muflis terlebih dahulu. (Bernama)

13 comments:

  1. Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mencadangkan agar individu yang diisytihar muflis, bankrap dan disenaraihitam oleh insititusi kewangan diberi peluang kedua keluar dari kemelut kebankrapan melalui pelepasan automatik selepas tempoh tertentu.

    ReplyDelete
  2. Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin berkata amalan tersebut dilaksanakan di beberapa negara luar bagi membantu golongan itu agar tidak terus dibebani kepayahan membuat pinjaman dan disekat untuk ke luar negara umpamanya.

    ReplyDelete
  3. "Pelepasan automatik perlu diberikan selepas tempoh tertentu. Di luar negara, ada yang menetapkan diberi pelepasan ini selepas satu hingga tiga tahun (diisytihar bankrap).

    "Cadangan ini diharap dapat dimasukkan dalam pindaan Akta Bankrap 1967 yang saya difahamkan sedang dalam peringkat akhir untuk digubal sebelum dihantar ke Peguam Negara.

    ReplyDelete
  4. "Akta yang ada ketika ini terlalu ketat kepada mereka yang teraniaya ibarat pesalah yang menerima hukum mati ekonomi," katanya.

    ReplyDelete
  5. Pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas, Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi komitmen bahawa undang-undang kebangkrapan sedia ada akan dikaji dan dirombak bagi melepaskan individu dari kemelut kebankrapan.

    ReplyDelete
  6. Khairy berkata cadangan itu bagaimanapun perlu diteliti dan dikaji supaya golongan muflis dan bankrap itu tidak menyalahgunakannya sehingga wujud unsur penipuan.

    Pemuda Umno juga mencadangkan agar satu insurans perlindungan khas diwujudkan kepada penjamin dalam pindaan akta tersebut agar tidak lagi teraniaya menanggung beban orang yang berhutang, katanya.

    ReplyDelete
  7. Katanya ketika ini institusi kewangan akan membekukan atau menyita aset dan harta penjamin demi melunaskan hutang pemiutang dan perkara itu menjejaskan ekonomi dan kehidupan penjamin.

    "Mereka juga terpaksa menanggung pelbagai kos termasuk kos guaman," katanya.

    ReplyDelete
  8. Perubahan gaya hidup dan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di bandar besar menyebabkan peningkatan kes muflis atau bankrap sejak beberapa tahun lalu.

    ReplyDelete
  9. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah generasi muda yang teruja menjalani gaya hidup mewah di kota besar walaupun baru bekerja selepas tamat pengajian di universiti.Banyak yang hidup dengan slogan “tak ukur baju di badan sendiri” atau “biar papa asal bergaya”.

    ReplyDelete
  10. Terdapat laporan lebih 50,000 orang muda berusia 34 tahun ke bawah yang diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu bukan sesuatu yang mengejutkan.

    ReplyDelete
  11. Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan peningkatan jumlah kes muflis yang didaftar pada kadar 5.5 peratus setahun.Ianya bukan satu angka yang kecil sebenarnya.

    ReplyDelete
  12. Kalau sebut pasal muflis atau bankrap di Malaysia, angka-angka yang ditunjukkan sekarang memang agak membimbangkan.Kalau dah kena akta kebankrapan ini, bukan senang nak selesaikan.

    ReplyDelete
  13. bgslah lepas dari status bankrap

    ReplyDelete