Saturday 22 June 2013

TIADA KERJASAMA, DOMPOK TINGGALKAN PSC






Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah hari ini diberitahu Tan Sri Bernard Giluk Dompok meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berkaitan Integriti pada 2006 disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada saksi-saksi yang terdiri daripada kakitangan di bawah agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dompok, yang merupakan bekas ahli Parlimen Ranau hari ini dipanggil memberi keterangan sebagai saksi ke - 139 RCI berkata terdapat keengganan saksi daripada pegawai-pegawai untuk memberikan keterangan dalam PSC yang diketuainya pada 2006 menjadi punca beliau meletakkan jawatan.

"Ada banyak kengganan pegawai beri keterangan dan saya buat keputusan letak jawatan ... dan juga kerana saya tidak mendapat bukti daripada mereka," katanya kepada panel RCI, di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di sini.

Pada 16 Mei, 2007, Dompok meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa itu atas perbezaan pendapat mengenai fungsi dan skop jawatankuasa, khususnya, atas keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk hadir di hadapan jawatankuasa itu.

"Mereka rasa tidak wajar khusus panggil sesetengah jabatan sahaja dan wajar dirujuk kepada Majlis Keselamatan Negara," katanya merujuk kepada JPN dan juga beberapa agensi kerajaan lain.

"Mula-mula mereka muncul ... kemudian bila ia (PSC) berjalan, mereka tak hadirkan diri, saya dimaklumkan atas arahan Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. (TMI)

5 comments:

  1. Biarpun berada dalam komponen Barisan Nasional (BN), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) tidak akan berselindung dalam menyuarakan masalah rakyat dan negeri ini termasuk yang membabitkan isu sensitif.

    ReplyDelete
  2. Tan Sri Bernard Dompok berkata ia selari dengan pendirian dan perjuangan parti untuk menjaga kebajikan rakyat dengan mengambil kira masalah yang mereka kemukakan.Katanya masalah itu disampaikan kepada kerajaan dengan baik, mengikuti saluran yang betul, sesuai dengan kerjasama yang dijalin antara parti dalam komponen BN.

    ReplyDelete
  3. "Kita akan suarakan sesuatu isu sebagai rakan seperjuangan dalam BN dan kadangkala ada yang tidak dipakai tetapi ada juga yang diambil perhatian oleh kerajaan. Tidak semua kita hurai dan sampaikan kepada kerajaan menjadi kenyataan tetapi banyak juga sampai kepada mereka," katanya.

    ReplyDelete
  4. Dompok juga berkata sebagai contoh masalah pendatang tanpa izin yang dikemukakan kepada kerajaan sejak sekian lama telah mendapat perhatian oleh kerajaan.Katanya ia membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah.

    ReplyDelete
  5. Dompok turut berkata, perjuangan UPKO dalam BN adalah berhasil dan berada di landasan yang betul terutama dalam mmperjuangan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut. Penglibatan UPKO dalam politik mesti menghasilkan sesuatu terutama untuk memperjuang dan menjaga kebajikan rakyat serta pembangunan negeri ini.

    ReplyDelete