Sunday 20 March 2011

JANGAN BERSELINGKUH ATAU BERSELINDUNG



Oleh: MOHD YATIM SUHAILI

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) disarankan agar tidak berselingkuh atau berselindung dengan pelaksanaan format sijil kelahiran yang berbeza antara warganegara dan bukan warganegara berkuatkuasa 1 Julai 2011 bagi mengalihkan perhatian dan mengendurkan desakan rakyat Sabah agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD).

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu ketika mengulas pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjelaskan bahawa inisiatif yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara itu melibatkan perbezaan beberapa ciri format, termasuk warna sijil; iaitu berwarna merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warganegara dan hijau bagi warganegara.

Bagaimanapun Patrick bersetuju bahawa taraf kewarganegaraan kanak-kanak ditentukan berdasarkan kepada taraf kewarganegaraan ibubapa semasa kelahiran tersebut berlaku; terutama bagi anak-anak PATI yang dilahirkan ketika ibu bapa mereka belum mendapat IC Projek.

“Kita hendak dia (Hishamuddin) pegang pada janji dengan tidak membenarkan sebarang pembetulan atau pengesahan taraf bagi anak PATI yang lahir ketika ibu bapa mereka masih berstatus pendatang asing, terutama bagi surat lahir yang dicap sebagai Warga Asing,” ujar Patrick yang bimbang dengan pelan tindakan kedua ini setelah tindakan pertama memberikan kad pengenalan projek kepada PATI telah berjaya.

Walaupun keputusan itu merupakan satu daripada 22 syor dan inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah, yang laporannya telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin, namun kata Patrick tidak menyelesaikan masalah PATI yang semakin meruncing di Sabah.

“Isu sebenar yang wajar diambil perhatian oleh KDN ialah pemegang kad pengenalan yang tidak mempunyai sijil lahir atau dengan kata lain PATI yang mendapat IC Projek dan bukannya mengalih perhatian terhadap anak-anak warga asing yang tidak sepatutnya lahir di Sabah,” ujar Patrick yang kesal kerana Kerajaan Malaysia gagal menyelesaikan isu PATI di Sabah sejak 1970-an lagi kerana terlalu berlembut adan beragenda.

Patrick bimbang kerana begitu ramai kanak-kanak yang dilahirkan sebagai bukan warganegara dan kemudiannya disahkan sebagai warganegara Malaysia melalui proses Pengesahan Taraf Kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan; menyebabkan sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan akan ditukar dengan sijil kelahiran berwarna hijau, sekalipun dicatatkan indikator yang menunjukkan perubahan status kewarganegaraan itu.

“Kenapa KDN membenarkan pengesahan taraf jika semasa lahir ibubapa mereka tidak memiliki sebarang dokumen sedangkan mengikut peraturan kerakyatan kanak-kanak ditentukan status ibubapa ketika kanak-kanak itu lahir dan bukannya diubah setelah ibubapa mereka mendapat IC Projek,” ujar Patrick yang mempelekehkan pelaksanaan makmal khas itu, yang dianggotai 27 pegawai dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri berkaitan di Sabah.

Makmal Khas tersebut kata Patrick, tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu warga asing khususnya PATI, yang telah berlarutan sekian lama di Sabah dan merupakan isu yang amat dekat dengan rakyat Sabah kerana cuba melakukan penyimpangan terhadap perkara pokok iaitu penubuhan SSD.

“Dulu ada Task Force dan kini Makmal Khas. Dulu ada IC Projek, apakah makmal khas ini akan keluar Sijil Lahir projek pula?” tanya Patrick yang risau kerana ramai PATI telah memohon pengesahan taraf untuk anak mereka yang masih berstatus Warga Asing!

No comments:

Post a Comment