Monday 29 August 2011

AHLI USIA DIAJAK LAKUKAN TRANFORMASI


MESYUARAT…Lajim ketika mempengerusikan mesyuarat Agung Usia Bahagian Beaufort.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEPIMPINAN Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di semua peringkat perlu melakukan tranformasi bagi memperkasakan pertubuhan itu dalam usaha membantu ahlinya serta menggerakkan syiar Islam dengan lebih berkesan.

Ketua USIA Bahagian Beaufort, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, tranformasi itu termasuklah melibatkan setiap ahli memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan; malah idea, tenaga dan masa dalam menjayakan matlamat penubuhan USIA.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan USIA Bahagian Beaufort, petang kelmarin.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut merayu ahli-ahli USIA kembali kepada matlamat perjuangan asal Pertubuhan itu.

Beliau percaya sekiranya setiap ahli USIA menyumbang dan melakukan pengorbanan untuk USIA, tidak mustahil kegemilangan USIA yang suatu ketika dahulu dihormati dan disegani bukan sahaja dalam negara malah luar negara akan kembali menyerlah.

BERBUKA ....Lajim bersama ahli-ahli Usia Beaufort turut berbuka puasa selepas merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tersebut Lajim yang juga Pengerusi Sukarelwan PERKIM Sabah, menyarankan pucuk kepimpinan USIA di semua peringkat Bahagian mahupun cawangan supaya menumpukan aktiviti yang bermanfaat kepada ahli-ahlinya dan ia harus dilakukan secara tersusun dan bukan bermusim.

Katanya, biro-biro yang diwujudkan harus berperanan merancang aktiviti secara berterusan seperti lawatan ziarah ke kampung-kampung, kursus mualaf dan program bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Beliau turut menyarankan kepimpinan USIA untuk bersama-sama dengan NGOs Islam seperti YADIM dan ABIM dalam perjuangan memartabatkan umat Islam di Sabah.

Ini kerana, menurut beliau perjuangan memartabatkan umat Islam tidak hanya tertumpu kepada sesebuah pertubuhan sahaja malah ia harus melibatkan kerjasama secara menyeluruh dengan pertubuhan lain yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

Selepas majlis tersebut Lajim turut bersama-sama ahli USIA bahagian Beaufort berbuka puasa dan juga solat berjemaah maghrib.

No comments:

Post a Comment