JEMPUTAN…...Kain rentang jemputan kepada orang ramai ke majlis rumah terbuka Pemuda Umno dan BN Tenom.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
LEBIH 4,000 dijangka menghadiri rumah terbuka Pergerakan Pemuda Umno dan Barisan Nasional Tenom yang akan diadakan pada malam 3 September (sabtu) bermula dari jam 7.00 malam sehingga jam 11.00 malam di perkarangan Pejabat Pemuda Umno bahagian Tenom.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan BN Tenom Jamawi Jaafar berkata, majlis terbuka kepada orang ramai dan bakal dihadiri oleh pemimpin-pemimpin parti komponen BN.
Menurut Jamawi, sambutan kali ini akan memperkenal, sekali gus memperkukuhkan konsep 1Malaysia kepada rakyat, sejajar dengan usaha mengeratkan lagi hubungan sesama kaum di Negara; antara sebab utama majlis rumah terbuka ini dianjurkan oleh Pemuda BN Tenom.
“Kali ini kita namakan Rumah Terbuka AidilFitri Pemuda BN agar konsepnya lebih meluas ketika kita menjayakan Gagasan 1Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni melalui konsep perkongsian perayaan,” katanya ketika ditemui di sini pagi kelmarin.
Menurut Jamawi yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, walaupun soal perpaduan dan hubungan kaum di Sabah selama ini cukup intim dan mesra, namun perlu sentiasa dilestarikan dan melalui konsep rumah terbuka dan budaya kunjungi mengunjungi agar mampu menjadi wadah untuk memperkukuhkan hubungan silatulrahim.
Sambil mengucapkan Selamat Hari Raya AidilFitri Jamawi bersama keluarga turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke majlis rumah terbuka ini kerana menurut beliau, pelbagai jenis hidangan makan akan disediakan. Selain daripada itu, tetamu juga bakal dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan oleh artis jemputan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sambutan kali ini juga tidak menekankan kepada formaliti bagi membolehkan orang ramai mengambil peluang untuk bertemu para pemimpin dengan lebih dekat.
No comments:
Post a Comment