Monday 22 August 2011

776 PENEROKA FELDA BAKALTERIMA GERAN



SERAMAI 776 peneroka di Rancangan Felda Umas di Tawau akan menerima geran tanah masing-masing seluas 5.6 hektar setiap lot sebelum akhir tahun ini, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran.

Nasir yang merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Felda negeri Sabah berkata langkah itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan kehendak rakyat di samping usaha berterusan membangunkan ekonomi masyarakat peneroka.

Katanya, dengan pemberian geran berkenaan kelak, beliau berharap para peneroka mampu mengusahakan tanah terbabit dengan penanaman kelapa sawit atau penternakan yang boleh mendatangkan hasil untuk menjana pendapatan.

Nasir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa sempena Program Rahmat Ramadan di Masjid Nurul Hidayah Anjung Teduh, Felda Sahabat Lahad Datu semalam.

Bagaimanapun Nasir menasihatkan peneroka yang bakal menerima geran itu supaya sentiasa berdampingan dengan Felda bagi memastikan sebarang masalah berkaitan pembangunan tanah mereka dapat diatasi.

Mengenai pemberian geran kepada 1,647 peneroka di Felda Sahabat, Lahad Datu, Nasir yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Senalang, berkata ia kini sedang diproses dan akan dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Mohd Suhaili Said dan Pengurus Besar Felda Wilayah Sahabat, Juany Salleh itu, Nasir turut menyampaikan bantuan Felda sebanyak RM400 sempena hari raya kepada peneroka Anjung Teduh Sahabat 1 hingga 5 serta sumbangan kepada saudara baru, anak yatim, golongan kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan peneroka uzur.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment