CERIA …Lajim ketika menyerahkan replika kunci di program Rumah Mesra Rakyat sumbangan Yayasan Sabah kepada salah seorang penerima di majlis tersebut
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
JABATAN Air diminta mencari makanisme jangka pendek bagi menangangi masalah bekalan air yang sering terputus di daerah Kuala Penyu terutamanya sekali semasa masyarakat Islam merayakan sambutan hariraya aidil fitri tahun ini.
Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, isu gangguan bekalan air di daerah itu bukannya masalah baru; malah telah bertahun dialami oleh sebahagian penduduk, terutamanya di daerah kecil Menumbok. Pelbagai cadangan dan teguran telah dilakukan, namun isu ini masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Menurut beliau, semasa umat Islam menyambut hariraya aidil fitri ini, keperluan air semakin meningkat kerana ramai keluarga akan berkumpul. Sehubungan itu katanya, bekalan air perlu mencukupi agar tidak menjejaskan dan menyusahkan mereka yang menyambut hari raya aidil fitri.
“Bukan sahaja semasa sambutan hari raya ini, namun langkah proaktif untuk menanganinya perlu dilakukan berterusan. Jika perlu membuat catuan berjadual, maklumkan kepada penduduk terlibat lebih awal agar mereka dapat menyimpan stok belakan air secukupnya,” katanya ketika ditemui media dan diminta mengulas isu bekalan air di daerah tersebut yang kerap kali terputus.
Sebelum itu, Lajim yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort) menghadiri majlis ziarah Ramadhan dan berbuka puasa bersama masyarakat Islam setempat di masjid kampong Temporong yang turut dihadiri oleh Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing; Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Alimuddin Kaida dan Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abdul Rahim Yakub.
Lajim menambah Jabatan Air juga perlu mengambil langkah proaktif terutamanya di kawasan kawasan tinggi dan jauh yang sukar menerima bekalan air dengan membekalkanya melalui hantaran menggunakan tangki lori air.
“Jika perkara ini dapat kita lakukan pada musim kemarau, kenapa dalam keadaan gangguan bekalan air yang agak kritikal ini kita tidak dapat melakukanya?” katanya.
Sambil tidak mahu mendengar pelbagai alasan seperti paip pecah, tekanan air rendah dan sebagainya, Lajim yang juga Ketua Umno bahagian Beaufort ini berharap Jabatan Air lebih komited melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya agar isu gangguan bekalan ini ditangani sepenuhnya.
“Sekiranya ia melibatkan kurangnya komitmen pegawai yang bertugas yang sambil lewa sahaja melaksanakan tugasnya mereka, wajar ditukarkan ke tempat lain,” tegas Lajim.
Terdahulu berucap di majlis tersebut Lajim berkata program Ziarah Ramadhan dan Majlis Berbuka Puasa di negeri ini turut menjadi pemangkin kejayaan Gagasan 1 Malaysia kerana bukan sahaja dihadiri masyarakat Islam, namun turut disertai oleh mereka yang bukannya beragama Islam.
“Inilah yang uniknya kita di Sabah yang perlu dipertahankan dan dijadikan ikon dalam melestarikan perpaduan bangsa, walaupun kita terdiri dari pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Di majlis tersebut selain menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, lajim juga turut menyampaikan replika kunci di bawah Program Rumah Mesra Rakyat sumbangan Yayasan Sabah kepada beberapa orang penerima yang layak di daerah tersebut.
No comments:
Post a Comment