Monday, 29 August 2011

‘YB PAPANTANDA’ JUAL NAMA MUSA AMAN



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

‘YB PAPANTANDA’, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur kini mula menjaja nama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman melalui kempen besar-besaran Billboard Ucapan Selamat Hari Raya setelah diwar-warkan akan digugurkan pada pilihanraya umum akan datang.

Walaupun dimalukan dengan dua kes surau PPRT, Bukit Belacon dan Kampung Lamak Bukit, namun Nasrun dengan muka tembok tetap berbangga mempamerkan lebih 10 Billboard di seluruh Bandar Lahad Datu tanpa rasa bersalah mengabaikan kebajikan rumah ibadah umat Islam di daerah yang tercatat dalam sejarah sebagai Pusat Pengembangan Ajaran Islam; apabila orang Idahan pertama, Abdullah memeluk Islam pada 1404.

Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Citra Masadi yang berkunjung ke Lahad Datu untuk majlis berbuka puasa kesal dengan sikap talam dua muka Nasrun kerana mengabaikan kebajikan rumah Ibadah Umat Islam di Lahad Datu kerana hampir kesemua surau yang dilawati tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Negeri ini (Sabah) Yang Di Pertua Negerinya; kawasan ini yang Adun serta Ahli Parlimennya orang Islam, tetapi surau dan Masjid seolah-olah belum diIslamkan kerana tidak mempunyai kemudahan asas yang mencukupi untuk menunaikan fardu kifayah dan fardu ain,” kata Citra yang meminta agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menutup mata dengan sikap menunjuk-nunjuk Nasrun yang mendirikan Billboard yang berharga lebih daripada RM10,000 setiap satu.

Kata Citra, apa hubungan Nasrun dengan Musa Aman sehingga memaparkan gambar Ketua Menteri Sabah bersama gambarnya?

“Kalau mahu membodek pun biarlah kena pada tempatnya dan bukannya melalui papantanda yang boleh menjatuhkan imej BN kerana tidak prihatin dengan rakyat yang menanggung kos hidup yang tinggi; sedangkan YBnya bermewah-mweah dengan papantanda yang langsung tidak memberikan hasil,” ujar Citra yang mendesak Ketua Menteri menilai KPI buruk Nasrun agar tidak terpedaya dengan puja puji melangit.

Sebagai Ketua Bahagian UMNO Silam, Nasrun, kata Citra sewajarnya sensitif dengan masalah Bandar Lahad Datu yang sudah lama mati, jika bukan kerana peranan pihak swasta yang membangunkan kawasan berkenaan dengan pesatnya; namun menghadapi masalah kerana prasarana yang mundur.

“Kemudahan asas mundur 200 tahun di belakang. Jalanraya berkembar dua hala persekutuan yang baru disiapkan tidak boleh dibanggakan kerana kesemua jalan dalam Bandar Lahad Datu berlubang dan berbahaya kepada pengguna, termasuk Jalan Kastam Baru dan Jalan Singgamata yang akan putus pada bila-bila masa,” kata Citra yang menggesa agar Majlis Daerah Lahad Datu merobohkan beberapa papantanda haram yang didirikan Nasrun tanpa permit.

No comments:

Post a Comment