Saturday 27 August 2011

PEMBODOHAN TERHEBAT SISTEM PENDIDIKAN NEGARA



Oleh : NASPAZI

ALKESAH, maka tersebutlah yang empunya riwayat tentang suatu seminar yang diadakan di sebuah Kotaraya antah berantah yang telah menjemput tiga orang professor bagi membentangkan kertas kerja yang berhubung dengan pembangunan pendidikan.

Ketiga-tiga professor jemputan tersebut telah disediakan bilik penginapan yang istimewa buat mereka di tingkat yang ke 90 dari 100 tingkat salah sebuah hotel yang terkemuka di Kotaraya antah berantah gamaknya.

Selepas mereka usai membentangkan kertas kerja yang begitu meletihkan hingga ke larut malam, maka mereka pun terus saja ke hotel penginapan untuk berehat dan tidur. Malangnya, bekalan elektrik hotel tiba-tiba terputus dan tentunya lift hotel tidak berfungsi.

Sesudah sekian lama mereka menunggu dan bekalan elektrik masih gagal berfungsi, lantas mereka mengambil keputusan untuk pergi ke bilik mereka dengan menapak menaiki tangga.

Sambil berjalan professor Abas menawarkan diri untuk menyanyi dari tingkat 1 hingga ke tingkat 30, professor Baba pula menawarkan cerita lucu dari tingkat 31 hingga ke tingkat 60 dan professor Cona pula menawarkan cerita sedih dari tingkat 61 hingga ke tingkat 90.

Sesudah mereka bersetuju dengan ketetapan yang diambil, maka professor Abas mula menyanyi sambil memulakan langkah demi langkah sehingga tingkat yang ke 30 lepas. Seterusnya, professor Baba mula bercerita lucu sehingga mereka bertiga ketawa terbahak-bahak dan tidak terasa mereka sudah sampai di tingkat yang ke 60. Akhirnya, professor Cona memulakan cerita sedihnya: “Saya tertinggal kunci bilik kita di dalam kereta!” katanya.

Demikianlah hakikat yang berlaku kepada sistem National Key Results Areas (NKRA) Pendidikan yang kononnya hendak meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan melalui Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang hanya seakan ‘want to look good, but didn’t want to be really good’. Dalam Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) kononnya mendukung empat perkara pokok dalam pendidikan sebagai berikut:

1. Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah bertujuan untuk mengumpul, menyimpan dan menganalisis data peperiksaan dalaman setiap sekolah di Malaysia.

2. Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah dibangun atas talian yang boleh dicapai oleh semua pihak termasuklah KPM, JPN, PPD dan Sekolah.

3. Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah menyimpan data yang boleh digunapakai oleh semua pihak terutama PPD, JPN dan KPM untuk membuat sebarang analisis.

4. Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah menjadi ‘Early Warning System’ kepada pihak pengurusan melalui Analisis TOV (Take Of Value), AR (Actual Result) dan ETR (Expected Target Result).

Sesungguhnya program Key Result Areas (KRA) secara benarnya adalah idea asal Peter Ferdinand Drucker. Kemudian, kononnya dijadikan dasar membangunkan Malaysia, termasuklah dalam bidang pendidikan dengan penambahan National menjadi (NKRA) dalam konteks ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ gamaknya dengan slogan 1Malaysia yang ada persamaan dengan 1Israel.

Key Performence Index (KPI) dalam pendidikan pula ditentukan oleh orang politik dan bukannya jawatankuasa pendidikan yang bebas politik. Di negara-negara maju seperti Finland, Jepun dan Korea Selatan, pertukaran pemimpin politik negara tidak menggangu dasar pendidikan walaupun menteri dan parti politik bertukar.

Justeru, pendidikan yang diperlukan dalam konteks Sabah, bukannya perlumbaan merebut Grade tertinggi, bahkan Discipline tertinggi. Yang demikian, saya yakin bahawa KPI pendidikan dalam NKRA bakal mengalami kehancuran sama seperti PPSMI.

Sementelahan, sistem pendidikan Sabah & Sarawak tidak tertakluk kepada sistem pendidikan Malaya sebagaimana yang dinyatakan dalam perjanjian 20 perkara point 15 jika tidak dikhianati oleh melayu UMNO bahawa, “Sistem Pendidikan Borneo (Sabah & Sarawak) yang sedia wujud hendaklah dikekalkan dan atas sebab ia haruslah terletak di bawah kuasa Negeri”.

Dalam siri paradigma saya yang lepas, saya pernah menyatakan bahawa pendidikan bagaikan sungai yang mengalir menuju ke samudera luas yang akhirnya lenyap dan yang tinggal hanya nama dan jejaknya sahaja. Demikian nyata jejak sistem pendidikan Jepun yang dimulakan pada tahun 1872 oleh Maharaja Meiji yang melancarkan pembinaan Sekolah Rendah sebanyak 54,000 di seluruh Jepun.

Sistem persekolahan di Jepun, dari Prasekolah hingga ke Darjah 6; pergi ke sekolah dan balik ke rumah hanya dengan berjalan kaki secara berkelompok. Pelajar Menengah pula, pergi ke sekolah dan balik ke rumah hanya dengan berjalan kaki atau sekadar menaiki basikal.

Dengan kata lain, betapa kaya dan mewah sekalipun ibu bapa di Jepun, anak-anak mereka atau para pelajarnya tidak dibenarkan sama sekali menaiki motosikal, apatah lagi memandu kereta sendiri ke sekolah.

Hasilnya, hanya dalam tempoh 40 tahun sahaja Jepun telah muncul sebagai antara 5 negara yang terkuat di dunia. Sebab itu saya kata, Sabah dan Sarawak memerlukan Discipline Tertinggi dan bukannya Kegilaan Tertinggi kepada istilah sistem analisa, lonjakan, prestasi dan kemenjadian di samping pembahagian guru kepada pelbagai kategori, seperti guru biasa, guru kanan, guru wibawa dan pendeta guru gamaknya.

Lantarannya, pimpinan Sabah dan Sarawak wajib insaf bahawa, tugas seorang guru yang mengajar dan mendidik minda untuk memandaikan manusia bukannya perkara mudah atau main-main yang boleh dicampur adukan dengan hal-hal kecerian atau keserasian kononnya.

Justeru, ramai dari kalangan Badut Politik yang tidak mampu pun menjadi guru atau tidak layak pun menjadi guru, tetapi hendak menjadi diktator dalam menentukan dasar hala tuju sistem pendidikan negara.

Oleh itu, pakar-pakar sebenar pendidikan di Sabah dan Sarawak jangan diperbodoh oleh sistem pendidikan melayu UMNO sehingga pemikiran warga guru menjadi berkecamok dan biul dengan ‘jutaan jam masa’ terbuang sia-sia hanya untuk membincangkan atau memikirkan dasar urustadbir sistem pendidikan negara yang hanya akan menjadi ‘agen penyebaran dosa sosial’ demikian intipati paradigma Mahatma Gandhi terhadap salah kelola pendidikan.

Betapa salah kelola pendidikan laksana kelakuan tiga orang professor di atas yang gara-gara ingin cepat sampai ke bilik, maka kunci untuk membukanya dilupakan. Demikianlah hakikat yang berlaku kepada sistem pendidikan negara. Hanya kerana gian dan kagum kepada istilah NKRA dalam pendidikan, maka dasar Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) menjadi priority atau lebih diutamakan.

Pada hal, masalah 576 buah sekolah usang, sekolah tumpang, sekolah kabin, sekolah tidak siap, sekolah daif, sekolah plaster, yuran sekolah yang semakin tinggi, harga makanan di kantin sekolah yang semakin mahal diabaikan.

Dengan ungkapan lain, tatkala negara-negara yang sistem pendidikannya menduduki ranking terbaik dunia, menganggap peperiksaan hanya sebagai penghancur pemikiran pelajar, yang nyata begitu berlawanan atau bertentangan dengan sistem pendidikan melayu UMNO yang menganggap peperiksaan amat penting sehingga Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dijadikan sandaran kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan yang berkemampuan atau berdaya maju apanama kononnya.

Menurut kajian Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) dengan kerja sama Programme for International Student Assessment (PISA) yang mengukur kemampuan pelajar seantero dunia dalam bidang matematik, sains dan membaca, ranking pendidikan negara terbaik di dunia adalah Finland, yang juga merupakan negara yang paling tidak rasuah di dunia.

Sistem pendidikan Finland bukan sahaja cemerlang dalam mendidik kanak-kanak normal, bahkan unggul juga dalam mendidik kanak-kanak yang lemah mental dengan sistem persekolahannya, hanya 30 jam seminggu. Berikut kedudukan ranking lima negara sebagai peneraju sistem pendidikan terbaik dunia.

BIDANG MATEMATIK

· Hong Kong

· Finland

· Korea Selatan

· Belanda

· Liechtenstein

BIDANG MEMBACA

· Finland

· Korea Selatan

· Canada

· Australia

· Liechtenstein

BIDANG SAINS

· Finland

· Jepun

· Hong Kong

· Korea Selatan

· Liechtenstein

BIDANG PENYELESAIAN MASALAH

· Korea Selatan

· Hong Kong

· Finland

· Jepun

· New Zealand

KEDUDUKAN RANKING TERBAIK DUNIA

· Finland

· Korea Selatan

· Hong Kong

· Jepun

· Liechtenstein

Justeru, Melayu UMNO jangan mencuba hendak bermain sifir dua dalam soal masa depan pendidikan negara, pendidikan negara adalah pelaburan jangka panjang bagi kelangsungan ribuan tahun masyarakat waktu muka.

Betapa warga Malaysia amnya dan warga Sabah khususnya mampu menjadi masyarakat yang maju dan kebaikan akan menang dalam dinamika sosial jika masyarakat berani dan bijaksana menggunakan ruang dan kesempatan demokrasi sebagai arena untuk menyatakan yang salah itu salah kepada pimpinan melayu UMNO yang sekian lama bertahan atas dasar penipuan dan pembohongan.

Pembentukan Malaysia melibatkan suatu kerangka besar yang mencakupi urusan muamalah antara yang negara yang bergabung, seperti dalam soal kemasyarakatan, suku kaum, keagamaan dan pendidikan sangat wajar dilaksanakan sebagaimana yang dinyatakan dalam Akujanji 20 Perkara yang menjadi tiang seri kewujudan Malaysia dengan rasa tanggungjawab bersama sepenuhnya. Tidak dinafikan bahawa, setiap aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara tentunya ada norma dan realitinya.

Justeru, realiti yang jauh dari norma semangat asal pembentukan Malaysia itulah yang wajib dikembalikan kepada norma idealnya. Sesunggunya konsep kenegaraan Malaysia yang batas dan sempadannya dipagar oleh Akujanji 20 Perkara, atas persetujuan negarawan terdahulu dilaksakan setulusnya, nescaya realiti pengwujudan Malaysia dapat dikembalikan kepada norma asalnya, khususnya yang ada kaitan dengan bidang keagamaan, pendidikan, perkerjaan dan kedaulatan antara wilayah demi keamanan dan kebaikan bersama bermasyarakat dan bernegara.

Yang demikian, betapa kuasa yang dibangun diatas politik kemaluan hanya akan menjadikan martabat ‘Malaysia’ menjadi paria di persada dunia. Hence, cendekiawan Sabah mesti bersatu untuk menetapkan parti komponen yang bakal mengemudi Sabah pasca PRU 13.

Maksudnya, cendekiawan Sabah atau politikus Sabah jangan tamak atau mementingkan diri sendiri dalam soal amanah dan tanggungjawab memilih dan menyediakan bakal pemimpin yang sunnguh-sungguh dinamik, komprehensif dan menepati impian bermasyarakat dan bernegara yang damai dan sejahtera untuk Sabah keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment