RENDAH….Contoh iklan di bas ini dengan tawaran harga yang rendah menimbulkan kekeliruan kepada pengusaha.
Oleh: KREW SABAHKINI.NET
PENGUSAHA-PENGUSAHA bas perlu berhati-hati dengan kehadiran beberapa syarikat individu yang menawarkan pengiklanan di bas dengan tawaran harga yang sangat rendah kerana ini tidak memberi manfaat kepada mereka.
Bendahari Agung Persatuan Pengusaha Bas Bumiputera Sabah (PPBBS), Mursidi Ridi, mendakwa akhir-akhir ini ada syarikat dan individu tertentu mendatangi pengusaha menawarkan pengiklanan di bas serendah RM100 sebulan.
Katanya, harga ini adalah terlalu rendah berbanding tawaran harga daripada agen pengiklanan melalui persatuan yang mencecah nilai RM400 sebulan.
“Kadar harga RM400 adalah munasabah tetapi pihak yang menawarkan harga RM100 sebulan seolah-olah memperbodohkan pengusaha dan ia sepatut tidak berlaku.”
“Sebab itu kita menggalakkan mana-mana agen pengiklanan melalui kita (persatuan) bagi membolehkan penyelarasan iklan dapat dilakukan di samping mengelak penipuan berlaku terhadap pengusaha,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu, Bendahari Agung PPBBS itu meminta kerjasama Lembaga Pelesenan Kenderaan (LPKP) Sabah supaya tidak memberi kelulusan pemasangan iklan kepada mana-mana syarikat atau individu sebelum mereka mengadakan perbincangan dengan pihak persatuan.
Menurutnya, ini bagi membolehkan pihak persatuan dapat membantu pihak LPKP memantau pemasangan iklan itu dengan lebih teratur dan mengelak sebarang penipuan oleh pihak pengiklan terhadap pengusaha bas.
“Berdasarkan pengalaman yang lepas, banyak aduan kita terima mengenai pemasangan iklan di bas tanpa mendapat kerjasama pihak persatuan timbul pelbagai masalah. Kita tidak mahu perkara seumpama itu berulang dan sebab itu kita mahu LPKP mengambil kira pembabitan pihak persatuan bagi membantu memantau pemasangan setiap pemasangan iklan di bas,” tegasnya.
Mursidi berkata, pihak persatuan sudah memaklumkan pendirian berhubung perkara ini kepada Pengarah LPKP Sabah, Ariffin Samsuddin dan diharapkan beliau memberi perhatian terhadap perkara ini.
No comments:
Post a Comment