Tuesday, 30 August 2011

MERAYAKAN MERDEKA ATAU MEMERDEKAKAN RAYA?



Oleh : MUTALIB M.D

HARI ini diistiharkan Hari Raya Aidilfitri dan cuti umum di seluruh Malaysia, tetapi bukan cuti bagi para blogger yang terpaksa ’bertugas secara sukarela’ sekalipun di malam Lailatul Qadar atau malam Takbir; sama seperti Mungkar dan Nakir yang tidak pernah bercuti.

Esok kita akan menyambut ulang tahun yang entah keberapa Kemerdekaan Malaysia (?). Maaf saya tidak dapat menentusahkan angka yang tepat kerana pelbagai teori tarikh Kemerdekaan Malaysia dan rasanya tidak wajar menyambut kemerdekaan Malaya; sekalipun saya dilahirkan di Mukim Lanai, Baling, Kedah pada 1962, setahun sebelum Malaysia diistiharkan.

Mungkin tidak wajar bagi saya menyambut hari raya dengan gembira kerana banyak masalah negara yang gagal diselesaikan Kerajaan Persekutuan sekalipun dititah dan diperintah oleh ’Bapa Transformer’ tetapi belum berjaya melakukan ’Transformasi Total’ di Malaysia.

Apatah lagi, kerajaan yang diketuai oleh ’Bapa Transformer’ tidak mempunyai suara lebih dua pertiga di Dewan Rakyat sehingga kelulusan Akta atau rang-undang dibuat melalui undi belah bahagian ahli yang hadir di dalam dewan dan bukannya ’Dua Pertiga’ daripada Keseluruah Ahli Dewan Rakyat sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Isu Krisis Identiti yang melanda Sabah sejak 1970-an dan telah saya perjuangkan sejak 1997 sehingga kini masih belum menampakkan cahaya di hujung terowong; walaupun telah melalui perjuangan berliku, termasuk menulis empat buah buku; IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah, Pengundi Untuk Disewa, IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; malah telah menemui dan menyerahkan Memorandum ke bawah DYMM Yang Di Pertuan Agong dan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti.

Kerajaan Persekutuan yang digantungkan harapan oleh rakyat Sabah untuk menyelesaikan isu PATI dan seangkatan dengannya; turut membuatkan rakyat Sabah trauma dengan mimpi ngeri melalui pemberian kerakyatan secara tidak sah kepada lebih 1.7 juta PATI sejak 1970-an sehingga kini.

Ketiadaan pemimpin Sabah yang benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat dan masa hadapan Sabah, menyebabkan perjuangan saya dan rakan tidak menemui titik temu; malah hampir sia-sia kerana 99.99% pemimpin yang bersuara mengenai isu ini hanya memperjuangkan kepentingan politik mereka dan langsung tidak mempunyai kekuatan untuk menentang kehendak Kerajaan Persekutuan melalui saluran dan kuasa politik.

Ketakutan mereka terhadap ISA dan bimbang tidak dipilih oleh pengundi yang kebanyakannya PATI, menyebabkan mereka seperti ’Kambing yang dikembiri’ (kambing jantan yang dibuang telur atau testis); sehingga tidak ada ’Political Will’ mendasari perjuangan nasionalisme mempertahankan Sabah daripada dominasi PATI dan wilayah baru menternak pengundi untuk mempertahankan Simpanan Tetap yang tidak mungkin tergugat.

Perjuangan mendapatkan ’Autonomi’ untuk Sabah bagaikan meminta ikan daripada kucing; sehingga tidak ada kesinambungan untuk meneruskan perjuangan belum selesai yang ditinggalkan pemimpin terdahulu; apatah lagi terpaksa menjaga periuk nasi masing-masing; bagi mengelak daripada dicantas pemimpin Persekutuan yang selama ini memegang tali teraju politik Sabah.

Ujian demi ujian dilakukan sehingga Kerajaan Persekutuan melalui Task Force (sebuah entiti Adhoc yang diwujudkan secara haram) menubuhkan Makmal PATI, tetapi hasilnya PATI bertambah ramai di Sabah; termasuklah formula penyelesaian mutakhir melalui Sistem Biometrik.

Sistem Biometrik yang dibuat ala kadar ini gagal menjadi radar untuk memantau pergerakan warga asing kerana majoriti kemasukan PATI melalui ’Pintu Belakang’ atau ’Laluan Nyamuk’ dan bukannya melalui Pos Imigresen; apatah lagi kebanyakan PATI yang bermastautin di negara ini telah mempunyai koloni di kawasan setinggan, sehingga ramai daripada generasi PATI menjadi Ketua Anak Negeri, Pengerusi JKKK, Ketua Kampung, Anggota Rela, Polis, Kastam dan Penolong Pegawai Daerah.

Jika di Filipina, Kerajaan boleh mengesan kedudukan penculik dalam masa 20 saat berdasarkan sim kad telefon bimbit; namun di Malaysia walaupun diwajibkan para pemegang telefon mendaftar identiti mereka, namun agensi penguatkuasa gagal mengesan organisasi haram mereka termasuk pemerdagangan orang dan penyeludupan; saling tak tumpah seperti kerana mendapat bunga.

Pengenalan Sistem Biometrik yang saya cadangkan sejak 2000 hanya ditertawakan oleh Task Force dan Jabatan Imigresen; namun setelah 11 tahun berlalu, barulah mereka sedar bahawa Sistem Biometrik paling ampuh untuk menangani keganasan dan memantau pergerakan PATI.

Tetapi pelaksanaan ala kadar dan enggan melakukan Misi X-Files seperti yang pernah dilakukan Dato’ Seri Megat Junid Megat Ayub dalam ’Projek Ops Gembleng’ menyebabkan sistem ini sia-sia.

Jika rakyat Malaysia dipaksa membawa cip 64kb di dalam MyKad mereka, kenapa Kerajaan enggan bertindak menanam cip dalam tubuh PATI (Lengan, Gigi atau Kuku) bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa?

Bukankah sejak dari kecil menanam cacar adalah satu kewajiban bagi setiap rakyat Komanwel? Bagi rakyat Sabah, kesan menanam cacar pada kulit adalah bulat, tetapi bagi PATI mereka mempunyai kesan menanam cacar yang memanjang. Formula ini juga boleh digunakan untuk membasmi PATI; melainkan kerajaan berniat serong untuk menternak PATI sebagai pengundi untuk disewa?

Oleh itu, Sistem Biometrik (sama ada melalui cap jari atau iridologi @ anak mata) yang digunapakai di Malaysia hanya membazirkan wang rakyat; sama seperti KPT (Kad Pengenalan Bermutu Tinggi @ Bunga Raya) dan MyKad yang kononnya mempunyai ciri-ciri keselamatan dan berharga ribuan ringgit setiap satu; tetapi begitu mudah dipalsukan oleh Sindiket MyKad.

Ramai PATI yang berpeluang lahir dua kali, satu kali di negara asal mereka dan kali kedua di bawah pokok pisang atau di bawah tangga pejabat JPN; kini menjadi individu yang hebat dan ternama sehingga ada yang menjadi ADUN, PKR, Pegawai Kanan Kerajaan; malah menjadi isteri Ahli Parlimen.

Apa hebatnya Sistem Biometrik, selain untuk memperkayakan kroni dan proksi menteri? Masalah PATI di Sabah tidak mungkin dapat diselesaikan secara tuntas kerana terlalu banyak ’Cocoon’ yang menjadi sebuah koloni besar untuk melindungi PATI yang baru tiba melalui pantai yang tidak dikawal; malah di Pelabuhan Tawau, PATI bebas keluar masuk melalui pintu imigresen, asal ada wang tunjuk atau RASUAH!

Beranikah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengarahkan JPN memadamkan rekod PATI yang memperolehi MyKad atau kad pengenalan biru sebelum ini?

Mampukah Kerajaan Persekutuan menyerahkan kembali kuasa Imigresen Sabah (20 Perkara) yang dirampas secara tidak sah oleh Kerajaan Persekutuan sedangkan berbilion ringgit dipungut dalam bentuk levi dan bayaran pasport daripada PATI yang didaftarkan melalui pelbagai operasi selama ini?

Jika isu kedaulatan Sabah menjadi bahan dagangan Kerajaan Persekutuan, bagaimana isu berantai, PATI, yang menjadi ’Ibu Segala Masalah’ dapat diselesaikan secara bijaksana oleh Kerajaan Malaysia yang tidak pernah mengiktiraf Sabah sebagai sebuah negara di dalam Persekutuan?

Sempena Hariraya Aidil Fitri dan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan, saya bagi pihak krew Sabahkini.net di seluruh Sabah dan luar negara menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika terpaksa menegur Kerajaan dan Pemimpin Negeri yang membudayakan rasuah dan menyalahguna kuasa.

Sabahkini.net ditubuhkan bukan untuk memuji kerajaan atau pembangkang, sebaliknya sebagai medan kepada rakyat untuk menyuarakan apa juga pandangan mereka; hatta sekadar mengutuk Sistem Pemerintahan ’Ala Yahudi’ yang membelakangkan kepentingan rakyat demi mempertahankan kapitalis di sebuah bukan negara sosialis; tetapi menjadikan Demokrasi Berparlimen sebagai belati untuk menyembelih leher rakyat yang tidak berdosa; terutama dalam isu tanah adat dan agehan kek ekonomi yang tidak seimbang.

Sebagai Media Baru, Sabahkini.net yang memegang prinsip ’Dasar Langit Terbuka’ tegas dengan pendirian menyokong Bil 7 (Bill of Guarantee) iaitu tidak akan menyunting Internet; mengamalkan kebebasan 100 % kepada para pembaca atau pengomennya.

Mungkin kelantangan ini disalahertikan oleh sesetengah pihak sehingga mendakwa Sabahkini.net menjadi ’Alat Pembangkang’ untuk menumbangkan Kerajaan atau menyebarkan propaganda pembangkang.

Sehubungan itu, dikesempatan ini, saya mengalu-alukan sumbangan berita dan dana daripada semua pihak bagi memperkasa media tanah air, khususnya Sabah dan Sarawak, dengan satu sasaran yang jelas menjadi MEDIA RAKYAT YANG MERDEKA!

No comments:

Post a Comment